Tuesday, June 28, 2011

Permohonan perkahwinan boleh dibantah

Papan pemberitahuan perkahwinan untuk Kaveat.

SESIAPA yang tidak bersetuju dan ingin membuat bantahan terhadap mana-mana permohonan perkahwinan boleh mengemukakan permohonan Kaveat (bantahan) di mana-mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpilih.

Kaveat terdapat dalam peruntukan undang-Undang di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976.

“Kaveat hanya boleh dibuat terhadap permohonan perkahwinan yang belum dikeluarkan perakuan untuk perkahwinan iaitu dalam tempoh sekurang-kurangnya 21 hari dipamerkan di papan pemberitahuan JPN,” kata Penolong Pegawai Pendaftaran Perkahwinan dan Perceraian JPN, Pek Siew Ber.

Menurut Pek, setiap pasangan yang memohon mendaftar perkahwinan di JPN akan dipamerkan nama, gambar dan butiran peribadi masing-masing di papan pemberitahuan JPN atau melalui sistem yang disediakan.

Dalam tempoh 21 hari selepas permohonan, ibu bapa atau mana-mana pihak yang tidak bersetuju perkahwinan dilangsungkan dan ingin membuat bantahan dikehendaki membayar sebanyak RM20 dan mengisi Borang JPN.KC04.

Pek yang mempunyai 30 tahun pengalaman dalam pendaftaran perkahwinan dan perceraian serta melangsungkan upacara perkahwinan bukan Muslim berkata kebanyakan Kaveat diterima daripada ibu bapa dan pasangan kepada suami atau isteri yang mendakwa mereka telah berkahwin dengan pemohon perkahwinan.

“Biasanya ramai ibu bapa tak setuju dengan pasangan pilihan anak mereka dan tak mahu merestui perkahwinan yang bakal dijalankan.

Pek Siew Ber

“Terdapat juga Kaveat yang diterima ibu bapa kerana anak-anak membuat permohonan perkahwinan di luar pengetahuan mereka,” katanya.

Restu ibu bapa di luar kawalan JPN

Sebaik sahaja permohonan Kaveat diterima, JPN akan menjalankan siasatan terhadap bantahan yang dikemukakan.

Pek berkata sifat permohonan Kaveat yang terbuka menuntut JPN supaya menjalankan siasatan yang teliti terhadap setiap bantahan yang diterima.

“Kita akan siasat sama ada bantahan itu berasas atau tidak, mempunyai alasan yang kukuh dan mengapa mereka mahu membantah.

“Jika ada Kaveat yang sengaja diada-adakan atau dilakukan sewenang-wenangnya, pemohon boleh dikenakan ganti rugi,” katanya.

Menurut Pek, disebabkan bantahan oleh ibu bapa yang enggan merestui perkahwinan anak mereka paling kerap diterima, JPN sering mengambil jalan tengah dengan meminta kedua-dua pihak membuat penyelesaian dengan cara baik sebelum melangsungkan perkahwinan secara sah dan berdaftar.

Tambahnya JPN tiada kuasa untuk menghalang pasangan yang mempunyai cukup syarat untuk berkahwin daripada melangsungkan perkahwinan.

Berdasarkan undang-undang, pemohon yang genap 21 tahun boleh berkahwin dengan sukarela.

“Disebabkan ramai ibu bapa yang membuat bantahan, kita akan panggil mereka untuk berbincang dengan pasangan yang memohon untuk berkahwin.

“Jika pasangan nekad untuk berkahwin dan ibu bapa terus membantah walau rundingan telah dibuat, kita tetap akan memproses permohonan dan melangsungkan perkahwinan mereka kerana berdasarkan undang-undang, mereka layak untuk berkahwin,” jelasnya.

Sepanjang melangsungkan upacara perkahwinan bukan Muslim, Pek tidak dapat melupakan pengalaman melihat ibu bapa pasangan yang selesai berkahwin mencampakkan beras terhadap anak mereka sebagai tanda putus talian kekeluargaan.

Bukti kukuh batal permohonan

Menurut Pek, JPN akan membatalkan permohonan perkahwinan sekiranya terdapat bantahan daripada pemohon yang dapat membuktikan bahawa individu yang membuat permohonan perkahwinan sebenarnya telah berkahwin.

“Pemohon-pemohon ini biasanya berkahwin mengikut adat sebelum akta berkuat kuasa pada 1 Mac 1982.

“Kita akan minta bukti seperti kad jemputan atau sijil perkahwinan yang dikeluarkan oleh kuil, tokong atau gereja tempat mereka berkahwin dulu.

“Kalau benar pemohon sudah berkahwin dan belum bercerai, permohonan oleh pemohon Kaveat dianggap berjaya dan upacara perkahwinan tidak akan dilakukan,” katanya.

Faktor-faktor lain yang sering dikaitkan dengan Kaveat termasuklah permohonan perkahwinan bawah umur, pasangan tidak bekerja dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: