DAHULUNYA tempoh upacara daftar perkahwinan bagi pasangan bukan Islam di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah selama sejam.
Tempoh yang ditetapkan sejak lima tahun lalu bagaimanapun telah dipendekkan kepada 30 minit selepas beberapa tahun namun kini menjadi 20 minit.
Bekas Ketua Pengarah JPN, Datuk Alwi Ibrahim berkata, tempoh 20 minit bagi upacara pendaftaran perkahwinan di pejabat JPN mula diperkenalkan pada akhir tahun lalu.
“Ini membantu menjadikan perkhidmatan di Bahagian Perkahwinan dan Penceraian lebih cekap berbanding tempoh sebelum ini iaitu 30 minit dan sejam.
“JPN berusaha untuk mempercepatkan urusan pelanggan dari semasa ke semasa terutama pada hari-hari tertentu yang melibatkan tarikh-tarikh unik,” katanya.
Sehubungan itu katanya, persiapan lebih awal dilakukan bagi memastikan upacara pendaftaran perkahwinan pada hari berkenaan berjalan lancar.
“Walaupun bilangan permohonan pendaftaran perkahwinan pada tarikh-tarikh unik adalah lebih tinggi namun tempoh upacara selama 20 minit dikekalkan,” katanya.
Tempoh memproses Surat Pengesahan Taraf Perkahwinan juga dikurangkan daripada tujuh hari bekerja kepada satu hari pada 2009 dan tidak melebihi sejam pada 2010.
Berhubung tarikh-tarikh unik yang menarik perhatian pasangan untuk mendaftar perkahwinan, Alwi menjelaskan, JPN akan menambah bilangan pegawai termasuk pendaftar dan bilik upacara bagi menampung kapasiti tinggi itu.
“Bahagian Pendaftaran dan Penceraian merupakan salah satu daripada lima cabang perniagaan asas JPN maka perkhidmatan pelanggan perlu dilaksanakan secara terbaik.
“Urusan secara dalam talian turut diwujudkan selaras dengan dasar keselamatan rekod negara bagi memudahkan pelanggan dan mengurangkan kesesakan di JPN.
“Bagaimanapun, ia tidak melibatkan permohonan pendaftaran perkahwinan kerana perlu dilakukan di JPN dan dihadiri oleh kedua-dua pihak,” katanya.
Kaunter JPN di Putrajaya dan ibu negeri bagi permohonan pendaftaran perkahwinan dibuka pada setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi sehingga 2 petang.
Sebagai kemudahan kepada pemohon, mereka juga boleh memuat turun borang permohonan pendaftaran perkahwinan dari laman web JPN iaitu www.jpn.gov.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: