Tuesday, June 28, 2011

Menjejak yang kurang berkemampuan


Zawahir Abdullah (tiga dari kiri) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kawasan Pantai Timur, Etiqa Takaful Berhad, Tengku Saifuddin Tengku Zainal Abidin (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan berbentuk pek makanan kepada 215 buah keluarga di sekitar daerah Pasir Mas, Kelantan.


SETIAP manusia memiliki naluri pelbagai dan berbeza-beza. Tetapi, semuanya menginginkan yang terbaik dalam kehidupan dan ia dituntut dalam Islam. Allah SWT menganugerahkan nikmat dan memudahkan manusia memperoleh kejayaan, kebahagiaan dan keberkatan dalam hidup.

Namun dalam realiti kehidupan, tidak semua umat manusia dikurniakan kekayaan. Ada juga di antara mereka diuji dengan kesusahan dan kesempitan hidup.

Sebagai insan yang reda akan ketentuan ini, seharusnya bersyukur dengan apa yang telah dikurniakan. Orang yang tidak pandai bersyukur terhadap nikmat Allah adalah orang kufur nikmat.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan ingatlah tatkala tuhan kamu memberitahu, demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras. (Ibrahim: 7)

Pernyataan syukur kepada Allah atas nikmatnya itu tidaklah memadai menerusi pengucapan semata-mata tetapi mestilah dilakukan dengan beramal soleh dan membuat kebajikan dengan hati yang ikhlas.

Selain itu, mestilah nikmat itu digunakan pada jalan yang diredai Allah. Lebih bermakna andai nikmat rezeki yang dikurniakan ini dikongsi bersama mereka yang lebih memerlukan.

Sebagaimana firman Allah SWT: Dan juga mereka yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tidak pula bakhil kedekut, dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (bakhil dan kedekut) itu. (al-Furqan: 67)

Melihat senario semasa, di celah-celah kehidupan di arus pembangunan ini masih ada lagi golongan yang perlu dibantu. Kehidupan mereka ini, serba tidak mencukupi dan sering berada dalam kekurangan dan ada yang mengharapkan ihsan orang ramai untuk membantunya.

Menjejaki mereka yang kurang berkemampuan dan membantu mereka mengurangkan beban penderitaan yang dihadapi merupakan satu usaha berterusan Pertubuhan Bantuan Kemanusiaan Islam Malaysia (Pertubuhan IRM) dalam melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat tempatan.

Rentetan itu, Pertubuhan IRM dan Etiqa Takaful Berhad menjalin kerjasama strategik dengan mengadakan program kemanusiaan bagi membantu masyarakat setempat yang memerlukan melalui program 'Jejak Prihatin & Projek Pembaikan Rumah' - Fasa 1 Peringkat Negeri Kelantan' bertempat di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini.

Program amal ini, merupakan antara projek kemanusiaan peringkat tempatan Pertubuhan IRM di bawah program 'Komuniti Setempat'. Melalui program ini, Pertubuhan IRM telah menggunakan konsep ziarah bagi melihat sendiri dan merasai kesusahan serta penderitaan yang mereka hadapi.

Malah melalui program ini juga, ia turut menyediakan platform kepada masyarakat Malaysia yang prihatin terutama pihak korporat dan golongan individu yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan dan berganding bahu bagi mewujudkan sifat keprihatinan dan semangat sukarelawan.

Sebagai rakan kemanusiaan, pihak Etiqa Takaful Berhad turut menyumbang dalam membiayai sumbangan berbentuk pek makanan kepada 215 buah keluarga di sekitar daerah Pasir Mas, Kelantan.

Penerima sumbangan hari itu terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan juga golongan orang kelainan upaya (OKU) miskin yang telah dikenalpasti layak menerima bantuan dari Kg. Alor Mengkuang, Kg. Bujuk, Kg. Sungai Tendong, Kg. Kubang Agil dan Kg. Kubang Batu.

Pek makanan itu mengandungi makanan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, susu, makanan dalam tin dan lain-lain lagi. Mereka juga diraikan dengan jamuan makan tengah hari oleh rakan sukarelawan Pertubuhan IRM dan wakil Etiqa Takaful Berhad.

Rata-rata mereka yang hadir ini menyatakan rasa kesyukuran kerana masih lagi ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka walaupun berada di kawasan luar bandar.

Lanjutan daripada program tersebut, turut diadakan lawatan ke Kg. Kiat Bunut Susu, Kg. Binjai Pulau dan Kg. Rambutan Rendang.

Ziarah ini bertujuan menyampaikan bantuan kepada tiga rumah terpilih untuk terlibat di dalam 'Projek Pembaikan Rumah'.

Presiden Pertubuhan IRM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Syarikat Etiqa Takaful Berhad yang memberi kepercayaan kepada mereka dan juga prihatin terhadap usaha-usaha kemanusiaan sebegini.

'Kami berusaha melakukan yang terbaik dalam menyalurkan sumbangan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka.

"Terima kasih kami ucapkan kepada pihak Etiqa Takaful Berhad kerana telah memberi peluang kepada kami untuk mengagihkan sumbangan tersebut," katanya.

Menurut Zawahir, lawatan itu juga bukan sekadar membawa bantuan pek makanan tetapi menjadi titik permulaan bagi pihak Pertubuhan IRM untuk membuat penilaian jangka panjang bagi membimbing serta membantu penerima manfaat untuk berdikari.

Jelasnya, program ini juga akan diteruskan ke negeri-negeri lain seperti; Kedah, Perak, Johor dan Pahang bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa Takaful Berhad.

Zawahir turut merakamkan ucapan terima kasihnya kepada rakan sukarelawan Pertubuhan IRM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

"Saya menyeru lebih banyak syarikat korporat dapat mencontohi usaha Etiqa Takaful Berhad dalam menjayakan misi-misi kemanusiaan kelolaan pertubuhan ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: