Tuesday, June 28, 2011

Lisdawati Diminta Tarik Semula Saman Terhadap Nadia Mustafar

Lisdawati.

KUALA LUMPUR: Pelakon, Lisdawati diminta agar menarik semula saman fitnah yang difailkannya terhadap pelakon filem Jangan Tegur, Nadia Mustafa.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Yong Sazali membuat keputusan itu pada Isnin, selepas mendapati tuntutan yang difailkan oleh Lisdawati melebihi bidang kuasa mahkamah tersebut.

Keputusan itu dibuat pada prosiding pengurusan kes, di mana Lisdawati diwakili oleh peguam daripada firma guaman, Tetuan Karpal singh & Co manakala Nadia diwakili oleh peguam Siti Noor Julaini Mohd Shahar. Lisdawati memfailkan saman terhadap Nadia atau nama sebenarnya Siti Naziyah Sheikh Mustafa, 35, pada 21 April tahun lalu kerana mendakwa telah mengeluarkan kenyataan yang memfitnah dirinya.

Berdasarkan penyataan tuntutannya, Lisdawati atau nama sebenarnya, Nisdawati Nazaruddin, 33, mendakwa, Nadia dengan niat jahat telah memberikan wawancara yang mengandungi perkataan memfitnah kepada wartawan majalah Media Hiburan, Hanif Abdul Ghani.

Wawancara tersebut didakwa berlaku sekitar Januari 2005 dan Nisdawati mendakwa, majalah berkenaan telah menyiarkan wawancara itu dalam keluaran mereka bertarikh 8 hingga 14 Januari 2005.

Nadia.

Isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi itu mendakwa, dalam erti biasa artikel itu antaranya bermakna dan difahamkan bermaksud bahawa dia telah meminjam wang, berhutang dan gagal menjelaskan hutang yang dikatakan itu kepada Nadia yang dinamakan sebagai defendan.

Bagaimanapun, Nadia dalam pernyataan pembelaannya bertarikh 18 Mei lalu menyatakan bahawa artikel tersebut tidak mempunyai unsur ftnah, sebaliknya meminta agar orang yang berhutang untuk menjelaskan hutangnya.

Nadia juga menyatakan bahawa dia tidak pernah sekali-kali menyebut nama Lisdawati dan menyifatkan tuntutan tersebut sebagai tidak munasabah, mengaibkan, remeh dan menyalahgunakan kuasa mahkamah.

Sehubungan itu, Nadia memohon agar mahkamah menolak saman tersebut dengan kos.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: