ALOR SETAR – Seorang pekerja kedai kek yakin biskut Jelapang Padi Daisy yang bakal dipertandingkan pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 peringkat Zon Utara di pusat beli-belah Star Parade di sini Sabtu ini mampu menambat hati juri.
Suzana Abdul Aziz, 28, berkata, biskut istimewa itu dihasilkan dengan menggunakan minyak jagung Daisy, emping jagung dan oat.
“Kesemua bahan berkenaan menjadikan biskut lebih rangup dan berbau wangi yang pasti akan membuatkan semua pengunjung termasuk juri terliur,” katanya ketika ditemui di kedai kek Arisya Home Bakery di Taman Mergong di sini semalam.
Pada cabaran itu, markah untuk kreativiti adalah 30, 20 untuk ketulenan dan 50 markah untuk rasa.
Menurut Suzana, selain rasa, dia juga menitikberatkan soal persembahan luaran dan memilih warna hijau untuk hiasan bahagian atas biskut.
“Saya akan cuba gunakan konsep sawah padi dengan menggunakan banyak warna hijau memandangkan Kedah adalah negeri jelapang padi.
“Selain itu, saya juga akan tambah dengan warna-warna ceria bagi menonjolkan kreativiti hiasan biskut,” jelasnya.
Katanya, walaupun menaruh keyakinan dengan hasil biskutnya, dia tetap berdebar untuk bersaing dengan peserta-peserta lain yang mungkin mempunyai kelebihan tersendiri.
“Saya percaya semua peserta yakin untuk menang dan masing-masing ada kelebihan untuk menarik hati juri,” katanya.
Tema Flora uji kreativiti peserta
ALOR SETAR – Kemahiran 30 peserta Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 untuk Zon Utara pada Sabtu ini bakal diuji dalam menghasilkan kek dan biskut mengikut tema Flora.
Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharudin memberitahu, pemilihan tema Flora itu bersesuaian dengan persekitaran di utara tanah air yang kaya dengan flora dan kehijauan alam semula jadi termasuk tanaman padi.
“Peserta boleh menjadikan persekitaran yang ada di Kedah sebagai ilham untuk menghias kek atau biskut masing-masing,” katanya ketika dihubungi semalam.
Peserta bagi Zon Timur minggu lalu diuji dengan tema Kesenian dan Kebudayaan, tema Alam Fantasi bagi Zon Tengah pada Ahad lalu manakala peserta Zon Selatan bakal berdepan dengan cabaran tema Dasar Laut dan tema Hari Raya Aidilfitri bagi peringkat akhir di Shah Alam.
Menurut Nizam, setiap peserta akan disediakan sebuah meja untuk diletakkan kek atau biskut yang mereka hasilkan daripada resipi sendiri dengan menggunakan minyak jagung Daisy.
Katanya, peserta perlu membawa dua set kek atau biskut yang sudah siap dimasak ke tempat pertandingan dan mereka diberikan masa 45 minit untuk menghiasnya.
“Peserta perlu menggunakan daya kreativiti dalam menghias hasil masakan mereka dengan tema Flora bagi menarik perhatian juri.
“Begitu juga dengan meja perlu dihias cantik menerusi kehijauan dan bunga-bungaan,” katanya.
Tambahnya, hiasan pada meja dan kulinari yang cantik mampu memberi lebih markah kepada peserta selain keenakan masakan, kebersihan dan kreativiti.
“Juri akan memberi markah yang baik kepada resipi kek dan biskut yang asli dan diadun menggunakan minyak jagung Daisy,” katanya.
Peluang terbuka untuk lima lagi peserta di Zon Utara
ALOR SETAR – Peluang untuk menjadi lima peserta terakhir pada Cabaran Daisy Sehebat Chef 2011 bagi Zon Utara yang bertemakan Flora masih lagi dibuka.
Eksekutif Iklan Kosmo!, Nizam Baharudin berkata, seramai 25 peserta telah mengesahkan penyertaan setakat ini dan pengambilan lagi lima peserta untuk peringkat utara akan berakhir hari ini.
“Kami masih membuka penyertaan kepada lima peserta terakhir yang mempunyai resipi istimewa untung dipertandingkan pada Sabtu ini,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, pertandingan yang akan berlangsung di tingkat satu pusat beli-belah Star Parade, Alor Setar, Kedah itu mendapat sambutan memberangsangkan apabila turut menerima penyertaan dari negeri-negeri jiran iaitu Perak, Perlis, dan Pulau Pinang.
Katanya, kebanyakan peserta dari utara begitu teruja untuk menyertai pertandingan itu setelah melihat kemeriahan cabaran tersebut bagi Zon Tengah di Kuala Lumpur minggu lalu.
Menurut Nizam, mereka yang berminat untuk menyertai cabaran itu tidak perlu menghantar borang permohonan atau nama resipi melalui pos sebaliknya boleh terus menghubunginya di talian 017-8722262.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: