Saturday, June 18, 2011

Tun M inspirasi Abby Fana


ABBY Fana lebih gemar menghabiskan masa lapangnya dengan membaca buku ilmiah ataupun novel.


BERTUGAS di stesen radio nombor satu negara, Sinar FM, ia semestinya memberi tekanan yang tinggi kepada para penyampai untuk mengekalkan reputasi punca rezeki mereka itu.

Bagi salah seorang deejay popular stesen radio milik AMP Radio Network itu, Abby Fana, 45 atau nama sebenarnya, Habsah Omar, dia mengakui, bukan mudah untuk menarik minat pendengar apatah lagi untuk menambahkan bilangan pendengar setia.

Jadi, menurut pengacara senior program bual bicara Malaysia Hari Ini itu, para penyampai dikehendaki membentangkan pelbagai idea demi memastikan rating pendengar Sinar FM tidak jatuh malah terus meningkat.

Justeru, setelah kepenatan berada di konti, Abby memberitahu, cara terbaik untuknya melepaskan tekanan adalah dengan membaca.

“Bagi mendapatkan bahan bacaan, saya selalunya akan mengunjungi toko buku MPH Bookstore untuk membeli beberapa naskhah buku serta keperluan lain.

“Pada usia sebegini, saya selalunya suka membaca buku yang mendekatkan diri dengan Allah.

“Buku keagamaan adalah antara buku yang menjadi pilihan saya selain meminati buku-buku biografi tokoh-tokoh ternama dunia.

“Selain menghilangkan tekanan, melalui pembacaan, saya juga berpeluang untuk mencambahkan idea bagi topik yang ingin dibicarakan dengan pendengar ketika bertugas,” kata ibu kepada dua anak itu.

Menceritakan sedikit mengenai pengalamannya membaca buku biografi bekas Perdana Menteri Malaysia berjudul A Doctor In The House - The Memoirs Of Tun Dr. Mahathir Mohamad(Tun M), Abby mengatakan, tokoh politik itu banyak memberikan inspirasi kepadanya.

“Pengalaman yang diceritakan oleh beliau sepanjang kariernya sebagai ahli politik memberikan saya semangat untuk diinterpretasikan terhadap kerja saya.

“Walaupun dicemuh dengan pelbagai tohmahan, beliau tetapkan pendirian untuk mengetepikan segala khabar angin demi menggalas tanggungjawabnya sebagai pemimpin negara,” kata pengendali segmen Sembang Sinar yang ke udara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 10 pagi itu.

Dalam pada itu, selain meluangkan masa sebulan sekali untuk ke toko buku bagi mencari buku bacaan kegemarannya, Abby juga akan membeli beberapa kelengkapan alat tulis yang akan digunakannya tidak kira sama ada di pejabat atau pun di rumah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: