Saturday, June 18, 2011

Mila mahu luaskan bisnes


SETELAH letih bersenam di gimnasium, Mila memulakan paginya dengan bersarapan di Restoran O’Brien’s.


DIARI gadis kecil ini yang bernama Norsyarmilla Jirin atau Mila begitu padat sehinggakan penulis yang mengikutinya sepanjang hari berasa amat keletihan.

Tidak padan dengan saiz badannya seberat 47 kilogram, anak gadis berusia 24 tahun kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu dilihat sangat berjiwa besar bagi memastikan empayar perniagaannya kukuh bertapak sebagai sumber kewangan keluarganya kelak.

Berkesempatan meluangkan masa seharian bersama juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) itu, penulis teruja mendengar betapa tingginya azam Mila untuk meluaskan bisnes miliknya, LuvMILA Corporation Sdn. Bhd., ke mata dunia umumnya.

Lazimnya, Mila gemar meluangkan masa paginya di gimnasium untuk menjaga stamina seperti mana yang dilakukan oleh kebanyakan penyanyi lain.

Kemudian, menurut Mila, dia akan bersarapan di sebuah restoran makanan segera kegemarannya yang terletak tidak jauh dari gimnasium kunjungannya yang terletak di pusat membeli-belah Empire Subang, Selangor.

“Saya sangat sukakan roti sandwich yang dijual di sini. Ia bersaiz besar, sangat lazat dan mengenyangkan. Kadang-kadang, saya tidak boleh menghabiskannya.

“Jadi supaya tidak membazir, saya akan bungkus untuk dimakan pada tengah hari. Kiranya, ia macam satu pakej, sarapan dan makan tengah hari,” ujar Mila berseloroh.

Seperti kebiasaannya, jika tidak mempunyai sebarang undangan menyanyi, Mila memberitahu, dia akan berjumpa dengan pihak atau organisasi yang banyak memberi kerjasama terhadap kerjaya seninya.

Baru-baru ini, Mila dipilih oleh Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) sebagai rakan kerjasama untuk menjayakan produk terbaru institusi kewangan tersebut iaitu Akaun Simpan Cheeky.

“Saya berterima kasih kepada MBSB kerana menyokong dan memberi kerjasama demi keuntungan kedua-dua pihak.

“Selain membantu mempromosikan karier saya, pembabitan saya sebagai artis juga membantu MBSB menjual produk mereka dengan mempengaruhi peminat saya,” kata Mila kepada S3.

Seharian bersama Mila, dia sempat menghadiri sesi taklimat bersama pegawai MBSB sempena kerjasama yang bakal dijayakan di ibu pejabat institusi berkenaan yang terletak di Jalan Dungun, Damansara, Selangor.

Usai menyelesaikan komitmennya dengan MBSB, Mila terus menuju ke destinasi yang berikutnya iaitu School Fashion of Lilian, yang merupakan butik pilihan Mila untuk menempah baju-bajunya.

“Di sini, tukang jahitnya amat memahami kehendak saya dan begitu toleransi dalam meletakkan harga yang berpatutan.

“Jadi saya tidak perlu mengeluarkan kos yang banyak untuk membeli baju yang ingin digunakan bagi persembahan atau kegunaan sendiri.

“Pada masa yang sama, sekiranya saya kesuntukan masa untuk mencari kain bagi menyiapkan baju saya, Lilian tidak begitu berkira untuk mencuri masanya membeli kain yang saya inginkan.

“Sebab itulah saya begitu senang untuk bekerjasama dengan Lilian kerana dia begitu fleksibel,” jelas Mila memuji tukang jahitnya itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: