Malam ini, program realiti, Akademi Fantasia 9 (AF9) bakal melabuh tirai.
Konsert berlangsung di Dataran Putrajaya, ini pastinya dikenang memandangkan AF akan ditamatkan setelah bersiaran sejak sembilan musim lalu.
Selain menanti kelainan yang akan ditampilkan Astro untuk konsert berkenaan, tentunya gelaran juara menjadi tumpuan.
Saingan di pentas akhir menyaksikan pertembungan dua peserta lelaki dan dua peserta wanita iaitu Hazama, Azri, Fina dan Lena.
Melihatkan senarai ini, kesemua peserta ternyata mempunyai kehebatan tersendiri dan layak ke peringkat akhir.
Pujian tentunya diberikan kepada Hazama dan Fina kerana berjaya membuktikan kemasukan mereka ke AF9 tidak sia-sia.
Sebelum ini, mereka hanya tersenarai sebagai calon baru sebelum dibawa masuk menggantikan Amir dan Aida yang disingkir melalui Operasi Gugur.
Sementara, Azri dan Lena yang berjuang dari minggu pertama sudah membuktikan kesungguhan bergelar juara dengan persembahan konsisten setiap minggu.
Selain menyanyikan lagu penyanyi lain, setiap finalis juga akan diberi peluang membawakan lagu baru yang dicipta khas untuk mereka iaitu Cinta Teragung (Hazama), Menangis Lagi (Fina), Niskala (Azri) dan Sisa Kisah Kita (Lena).
Berdasarkan tinjauan yang dibuat di ‘pan fage’ Facebook AF9, kebanyakan penonton memilih Hazama untuk menjadi juara AF9.
Mengekori rapat ialah Fina yang dijangka mendapat tempat kedua, sementara Azri dan Lena dikatakan hanya boleh menduduki tempat ketiga dan keempat.
Namun, ramalan hanyalah ramalan kerana perlu diingat, kedudukan undian boleh berubah dan sesiapa saja berpotensi menggenggam trofi juara.
Siapa jua yang merangkul gelaran juara, nama mereka sudah selangkah untuk berdiri sebaris dengan juara AF musim lalu iaitu Vince (AF1), Zahid (AF2), Mawi (AF3), Faizal (AF4), Mila (AF5), Stacy (AF6), Hafiz (AF7) dan Shahir (AF9).
Konsert yang bermula jam 9 malam ini menampilkan juri tetap, Fauziah Ahmad Daud dan Hattan. Pemenang akan ditentukan seratus peratus melalui undian SMS oleh penonton.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: