Sunday, June 12, 2011

Gara-gara Spanar Jaya, Radhi dicop 'Mat Bangla'

Radhi Khalid, 47, cukup sinonim dengan watak Mat Bangla. Malah lakonannya sebagai ‘Abdulla’ menerusi sitkom popular, Spanar Jaya, yang bersiaran di NTV7, satu ketika dulu, meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

Akui sebati dengan watak Mat Bangla, bagi Radhi, karakter itu sebenarnya jauh berbeza dengan dirinya yang sebenar. Namun hakikatnya, watak itulah membuatkannya dikenali ramai.

“Saya mula berkecimpung dalam dunia seni sejak tahun 1987. Sitkom Sofea adalah lakonan pertama saya. Ketika itu saya membintangi sitkom itu bersama Allahyarham Mahmud June. Selepas itu, saya membintangi bermacam drama dan filem.

“Namun masyarakat lebih mengingati lakonan saya dalam Spanar Jaya. Mungkin kerana rancangan itu ditayangkan setiap hari dan bertahan selama tujuh tahun lamanya. Bagi menjayakan watak ‘Abdulla’, saya membuat perbagai kajian dan bergaul dengan golongan ‘Mat Bangla’ di kedai mamak, belajar cara bercakap, berjalan dan lenggok bahasa mereka,”
“Ketika itu, pengaruhnya sangat kuat sehingga di luar orang memanggil saya dengan gelaran ‘Abdulla’. Saya tak kisah kerana itu tanda orang menerima lakonan saya,” katanya yang menerajui Spanar Jaya bersama Wardina Saffiyah, Ahmad Idham, Zaibo dan Opie Zami.

Terima pengiktirafan

Zaman kegemilangan pelakon kelahiran Pulau Mutiara ini, tidak berakhir di situ, sebaliknya terus mengukir kejayaan menerusi beberapa drama dan filem.

Sitkom Kopitiam, Pua Chu Kang dan drama bersiri ‘Di Bawah Ketiak Isteri’ antara lakonannya cukup berkesan kepada penonton.

Lebih bermakna, apabila kerja kerasnya selama 25 tahun terbukti setelah dinobatkan sebagai anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18 menerusi watak Sadek dalam filem Qaisy & Laila.

Meskipun pada asalnya, Radhi, lebih cenderung dengan watak komedi, namun dengan kemenangan itu menunjukkan Radhi seorang pelakon serba boleh.

“Selepas memenangi anugerah itu, saya mendapat tawaran berlakon dalam filem arahan Afdlin Shauki bertajuk Sumolah.

“Walaupun filem itu kurang sambutan, tapi saya bertuah kerana dapat berlakon filem itu dengan pelakon-pelakon hebat seperti Awie, Gurmit Singh, dan juga pelakon Thailand Nang Nak, Intira Jaroenpura,” katanya yang pernah membintangi teater Anak Kerbau Mati Mak.


Sedia tamat zaman bujang

Tidak mengharapkan lakonan semata-mata, Radhi optimis meluaskan kariernya dengan membina syarikat produksi sendiri, Radhikal Films Sdn. Bhd.

Walaupun baru beroperasi, namun ia sudah melakar kejayaan dan bakal menghasilkan filem kerjasama dua negara, Malaysia dan India menerusi filem Raju Raja.

“Sebelum tubuhkan syarikat sendiri, saya pernah bekerja dengan produksi, Nizarman Sdn. Bhd, dengan pengalaman yang ada itulah saya gunakan untuk membuka syarikat sendiri.

“Walaupun sudah ada syarikat sendiri, ia tidak bermakna saya akan berhenti dari berlakon kerana lakonan sudah sebati dalam jiwa saya dan akan diteruskan sehingga akhir hayat saya,” katanya yang bakal menjalani penggambaran filem ‘Brotherhood of Potatoes’, arahan Bront Palarae.

Dalam pada itu, Radhi turut berkongsi khabar gembira. Setelah lama hidup membujang, dia bakal ke jinjang pelamin tidak lama lagi.

“Kami dah kenal lama dan akan berkahwin pada hujung tahun ini,” katanya enggan mengulas lanjut.

Menyentuh tentang muka-muka baru dalam industri seni tanah air, Radhi tidak pernah menganggapnya sebagai masalah besar untuknya terus memenangi hati peminat.

“Kita yang lama sudah rasai kemanisan dan cabaran beraksi suatu ketika dulu dan kini beri peluang kepada mereka menunjukkan kebolehan.

“Mungkin masih ada watak yang sesuai dengan usia dan pengalaman yang kita ada walaupun ianya sekadar watak ‘picisan’, kita harus terima kerana mutu lakonan tidak mengira besar atau kecil sesebuah watak,” katanya yang turut meminjamkan suaranya dalam kartun animasi Boboi Boy.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: