|
|
Penyanyi Shila Amzah membawa misi penting tatkala berangkat ke Kunming, Yunnan China. Pemergiannya atas jemputan khas Pusat Penyiaran Yunnan TV bagi membuat persembahan pada Anugerah Festival Peringatan Seni TV Asia Tenggara Kali Kedua pada 5 hingga 8 Jun lalu.
Sememangnya ini adalah satu penghormatan buat diri penyanyi muda berkenaan apabila dapat berkongsi pentas dengan lebih 15 artis seluruh dunia yang turut membuat persembahan di tempat yang sama.
Kesempatan tersebut merupakan peluang kedua Shila beraksi di luar negara selepas mewakili negara ke konsert Asia Star Session sempena Festival Voice of Astana pada awal tahun lalu.
Keraian itu berlangsung sempena temasya sukan musim dingin Asian Winter Games kali ketujuh di Astana, Kazakhstan.
“Saya tidak sangka rezeki membuat persembahan ke luar negara datang sekali lagi. Sudah pasti, peluang sebegini tak akan disia-siakan.
“Lebih menggembirakan bila pihak penganjur memberitahu saya diberi peluang untuk membuat persembahan solo,’’ ujarnya yang mendapat penajaan sepenuhnya dari Yunnan TV sepanjang berada di sana.
Pemilik nama Nur Shahila Amir Amzah ini juga telah mengumandangkan sebuah lagu Melayu berjudul Nafas Cinta. Lagu tersebut dipilih oleh pihak penganjur kerana ia mempunyai elemen tradisi dan layak untuk tatapan masyarakat China.
Pemergian Shila ke Anugerah Festival Peringatan Seni TV Asia Tenggara Kali Kedua ini turut disertai oleh kedua-dua ibu bapanya iaitu penyanyi 80-an, ND Lala dan Fauziah Sarman.
Skeptikal usia
Dalam perkembangan berlainan, anak sulung dari tiga beradik ini menyatakan rasa sedih apabila masih ada pihak yang memandang usianya sebagai pengukur kepada kerjaya seni.
Malah ada cubaan untuk mempertikaikan bakat semulajadinya dan pengalaman yang diperolehi setelah bergelar anak seni sejak 12 tahun lalu.
“Terus terang, saya dah lali bila ada orang yang memperkecil-kecilkan bakat saya. Biarlah mereka nak cakap apa pun. Sebab saya tahu kemampuan diri sendiri.
“Tak payah juga nak umumkan secara rasmi kepada semua tentang kemampuan diri. Selalunya pandangan skeptikal itu datangnya daripada pihak yang masih belum mempercayai saya.
“Orang masih melabel saya sebagai artis baru walaupun berada dalam industri sejak berusia sembilan tahun lagi. Cuma, umur saya saja yang muda,’’ katanya.
Ditanya adakah pernah berputus asa dengan perjalanan seni yang dikatakan tidak lancar meski pun sudah lama bertapak dalam bidang ini, wanita ini punya alasan sendiri.
Katanya, dia cukup yakin dengan perjalanan karier seni yang dilalui. Apa yang pasti, Shila cukup optimis dengan ketentuan rezeki kurniaan Illahi. Tak kira bila, pasti akan tiba bahagiannya tadi.
“Ada banyak contoh artis yang lambat naik. Tapi bila dia ada hasil karya bagus, ditambah dengan masa yang tepat, tiba-tiba dia meletup dan terus dikenali.
“Saya yakin, satu hari nanti saya akan menjejak mereka ini. Cuma buat masa sekarang ini, saya tak akan putus asa dengan apa juga usaha selama ini,” katanya bersemangat.
Dalam pada itu, naib juara musim kedua rancangan realiti nyanyian realiti One In A Million (OIAM) ini menyatakan bahawa dia semakin matang dalam menentukan karier masa depannya.
Shila kini perlu bekerja keras setelah tidak terikat dengan sebarang syarikat naungan yang selalunya bertangungjawab menguruskan jadual kerjayanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: