Monday, June 27, 2011

Selepas Fasha, Aaron Aziz pula

Jika sebelum ini, aktres Fasha Sandha pernah mencetuskan kontroversi setelah memarahi Iqram Dinzly menerusi laman Twitternya, hanya kerana lewat hadir ke lokasi penggambaran, kini aktor kacak, Aaron Aziz pula berdepan perkara yang sama.

Pelakon KL Gangster itu dikatakan ‘bengang’ dengan seorang pelakon baru wanita yang hadir lewat ke lokasi penggambaran dan menggunakan medium sama untuk meluahkan perasaan.

Merahsiakan identiti pelakon itu, Aaron, berkata, dia bukanlah mahu mensensasikan cerita itu, namun sekadar memberi pengajaran kepada pelakon itu agar menghargai masa dan lebih berdisiplin.

“Bagi saya, adalah satu tindakan yang agak tidak sopan apabila ‘dia’ sering datang lewat ke lokasi penggambaran, sedangkan pelakon yang lebih senior hadir lebih awal.

“Untuk bersemuka dan menegur sikapnya mungkin tidak manis, kerana bimbang disalah ertikan pula, jadi saya luahkan di Twitter. Harap-harap dia baca dan berubah,” katanya kepada Zass.

Walaupun diasak pertanyaan siapa gerangan pelakon baru itu, namun Aaron tetap ‘mengunci mulutnya’.

“She is new! Tak perlulah saya dedahkan siapakah orangnya. Saya bukannya sengaja mahu menjatuhkannya, tetapi ia sudah menjadi tanggungjawab senior seperti saya.

“Jika dia mahu terus dengan perangainya itu, mungkin dia boleh buat kepada pelakon-pelakon baru sepertinya, tapi bukan pada pelakon senior. Kalau dia nak berjaya, dia harus berubah sikap,” ujarnya sinis.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: