Monday, June 27, 2011

'Perjuangan filem mendidik penonton'!



Nama Profesor Hatta Azad Khan bukan asing di kalangan penggiat seni tanah air. Meskipun bergelar pendidik, beliau tidak betah sekadar mengajar. Sebaliknya turut meluangkan masa untuk merealisasikan minat dalam dunia pengarahan teater mahupun filem.

Filem sentuhannya, Wayang mendapat 11 pencalonan untuk Festival Filem Malaysia yang ke 21 dan turut mendapat tempat di Festival di India, Korea dan China.

Begitu juga filem pertama arahannya, Mak Som yang diterbitkan sekitar tahun 90-an. Meskipun kurang memberangsangkan di negara sendiri, filem Mak Som mewakili negara ke festival di Tokyo, Amsterdam, Banglor, Hanoi, Taiwan dan Jakarta.

“Secara jujurnya saya begitu berpuas hati dengan karya yang telah saya hasilkan. Meskipun tidak mendapat tempat di negara sendiri, saya bersyukur kerana filem saya beberapa kali tercalon di festival luar negara.

“Secara tidak langsung, saya tahu filem saya mendapat tempat di luar negara. Namun bukan hadiah mahupun anugerah saya kejar, tetapi saya mahu orang lain menghargai dan menerima karya saya,” katanya kepada Zass.

Mengimbau detik penglibatannya di dalam bidang seni, Hatta berkata, beliau sudah mula mengarah teater sejak dari zaman sekolah lagi. Namun hanya mula mengarah filem pada awal tahun 90-an.

“Setakat ini, saya hanya berkesempatan mengarah empat buah filem. Kalau boleh saya memang mahu mengarah banyak filem seperti orang lain. Tapi masa yang saya ada sangat terhad. Kalau dapat mengarah sekalipun, ia akan dilakukan pada cuti semester,” katanya yang pernah mengarah filem Kembar Siang dan Senario Asam Garam.

Meskipun khidmatnya lebih diperlukan dalam pendidikan, namun beliau sentiasa mengintai peluang untuk mengarah. Terkini, Hatta, berusaha mencari penerbit yang sudi menerbitkan filem kenegaraan yang berkisarkan Mak Yong.

“Saya sedikit kesal kerana bukan segelintir penerbit di negara ini hanya memikirkan apakah filem itu boleh membawa keuntungan tanpa melihat sejauh mana kualiti karya itu.

“Pada pendapat saya sebagai seorang pengkarya kita harus mendidik penonton dan bukan sekadar menghasilkan filem yang boleh membawa keuntungan atau membodohkan penonton,” tegasnya.

Tambahnya lagi, penonton zaman kini juga seharusnya berfikir ke hadapan dan mula menerima filem yang bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi filem yang mampu menambah ilmu pengetahuan mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: