Kerajaan bersedia mendengar cadangan daripada sektor swasta mengenai kaedah dalam meningkatkan kecekapan penjanaan dan penggunaan tenaga dan menangani bebanan yang ditanggung oleh golongan perniagaan dan orang ramai.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rundingan antara kerajaan dan sektor swasta di peringkat kebangsaan sentiasa diambil kira sebelum sebarang perubahan dibuat terhadap tarif, subsidi infrastruktur dan kemudahan awam.
“Saya menyedari kebimbangan sektor swasta terhadap impak ke atas kos pengeluaran serta kos hidup akibat kenaikan tarif elektrik dan gas,” katanya pada perasmian mesyuarat agung tahunan ke-65 Gabungan Dewan Perniagaan dan Industri China Malaysia (ACCCIM).
Menurutnya, halangan utama dalam merealisasikan pencapaian transformasi ekonomi negara mungkin disebabkan sikap puas hati terhadap pentingnya pembangunan modal insan dalam masyarakat, oleh itu, Malaysia mesti memulakan program menyeluruh untuk melatih generasi muda supaya mempunyai sikap ingin tahu dan dinamik dalam bidang ekonomi.
“Golongan muda wajar lebih fokus dan bekerja keras untuk mencapai kualiti hidup yang lebih baik untuk manfaat mereka sendiri serta kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata, hasrat itu hanya boleh direalisasikan menerusi penguasaan ilmu, yang boleh digunakan untuk meningkatkan produk dan perkhidmatan, melakukan inovasi dan meningkatkan rangkaian nilai.
“Kita memerlukan sekumpulan besar bakat untuk merangsang momentum dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam pelbagai sektor ekonomi dan untuk itu, saya menggesa sektor swasta supaya meningkatkan pelaburan dalam bidang R&D ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: