Tuesday, June 28, 2011

Jimmy nekad mahu terus jaga anak

Walaupun dugaan melanda hidupnya selepas mendirikan rumah tangga, namun hati pengacara Jimmy Shanley kembali terubat apabila isterinya, Nursuhaila Eliani selamat melahirkan anak perempuan pada 24 Jun lalu di Hospital Putera Medical Centre, Sungai Buloh secara pembedahan.

Jimmy memberi nama Zahrah Shanley kepada puterinya. Ketika dihubungi, Jimmy begitu gembira dengan kehadiran cahaya mata itu dan berharap kehadiran Zahrah akan memberi sinar baru dalam hidupnya.

“Saya terlalu gembira sekarang. Alhamdulillah, semua doa saya termakbul dan saya dapat melihat wajah anak saya.

“Ini yang saya tunggu sekian lama. Saya akan menjaga anak kami, ketika isteri dalam pantang dan menjadi ayah terbaik buat anak kami,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Walaupun sedikit kekok, namun Jimmy sudah bersedia untuk menjaga sendiri anaknya.

“Selepas isteri habis pantang nanti, saya akan membawa Zahrah tinggal bersama saya. Saya sudah sediakan semua kelengkapan untuknya.

“Sudah tiba masanya saya lunaskan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Saya akan memberikan yang terbaik untuk Zahrah dan akan mengajarnya hidup dalam sederhana,” katanya.

Menurut Jimmy, apa berlaku di antaranya dan isteri hanyalah kisah lama dan mahu memulakan kehidupan yang baru.

“Bagi saya, apa yang berlaku antara kami sudah tamat kisahnya. Saya tidak mahu lagi mengenang kisah itu dan bersedia menghadapi hari esok.

“Apa sahaja tanggapan orang terhadap saya, saya terima seadanya. Zahrah adalah segala-galanya buat saya. Membesarkan Zahrah adalah perkara paling penting dan saya tidak mahu lagi memikirkan kisah lama.

“Saya tidak pernah menyesal dengan apa yang berlaku kerana saya tahu ada hikmah di sebalik semua ini,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: