Tuesday, June 7, 2011

Sekolahku terbaru di TVIQ


AZRUL Raja Lawak bersama beberapa pelajar sekolah yang dilawati ketika program Ada Berani? Cubalah! baru-baru ini.


DALAM menarik minat kanak-kanak untuk terus meminati aspek pendidikan sekali gus mendekatkan golongan cilik berkenaan kepada sukatan matapelajaran yang agak membosankan, Astro TVIQ tampil membawakan segmen Sekolahku sebagai percaturan terbaru mereka.

Sedar akan kepentingan pendidikan perlu diterapkan sedari awal usia, segmen berkenaan menyajikan rancangan berbentuk pendidikan yang sesuai dengan kanak-kanak.

Menyasarkan golongan cilik berusia lima sehingga 15 tahun, Ada Berani? Cubalah! (ABC) menjadi taruhan awal yang diketengahkan oleh TVIQ bagi menarik minat kanak-kanak kearah pendidikan dengan menyelitkan unsur hiburan agar ia lebih menarik.

Memulakan siaran pada 28 Mei lalu, ABC akan menjelajah ke beberapa buah sekolah luar bandar sekitar Lembah Klang untuk mencabar kanak-kanak sekolah berdasarkan sukatan pelajaran akademik dan pengetahuan am mereka.

Rancangan yang akan dikendalikan oleh Azrul Raja Lawak itu dilihat dapat mendorong kanak-kanak untuk membina sikap positif dalam diri mereka selain menarik lebih ramai kanak-kanak untuk turut sama dalam rancangan berkenaan.

"Kita tidak ada uji bakat dalam rancangan berkenaan. Kita pergi ke sekolah-sekolah dan memilih beberapa kanak-kanak yang berminat untuk menguji tahap pengetahuan mereka.

"Dalam rancangan ini, kanak-kanak akan diberikan soalan tetapi mereka tidak boleh menjawab soalan itu secara terus.

"Mereka diminta untuk memberikan jawapan dalam bentuk permainan yang telah dirancangkan," ujar Ketua Pendidikan Astro, Ravi Gopal ketika majlis pelancaran segmen Sekolahku baru-baru ini.

Selain ABC, segmen Sekolahku turut membariskan tiga lagi rancangan baru yang berteraskan pendidikan sains di mana dua daripadanya adalah rancangan yang diadaptasi dari rancangan luar negara.

Dua rancangan berkenaan adalah Syoknya Sains, disiarkan sejak 28 Mei lalu setiap Sabtu dan Ahad. Rancangan itu diadaptasi dari Jepun manakala Backyard Science (versi bahasa Melayu) diadaptasi dari Australia dan telah disiarkan sejak Jumaat lalu.

Sementara itu dalam usaha menarik golongan kanak-kanak untuk terus mendekati sains, TVIQ menampilkan sebuah rancangan yang akan menunjukkan kaedah-kaedah eksperimen kepada penonton iaitu Sains Comot.

Rancangan itu disiarkan setiap hujung minggu, bermula Sabtu lalu.

"Kami percaya bahawa pelajaran adalah sebuah perjalanan yang tidak akan terhenti dan ia perlu disemai di dalam jiwa kanak-kanak. Kita mahu kanak-kanak lihat bahawa pendidikan juga merupakan suatu yang menyeronokkan," ujar Ravi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: