Tuesday, June 7, 2011

Gig tarik penonton TV9


KUMPULAN Gabba Gabba dengan gaya tersendiri semasa menyanyikan lagu Berdansa Bersama.


PELBAGAI usaha telah dilakukan oleh TV9 bagi menambah bilangan penonton saluran televisyen itu yang kini telah pun lima tahun bersiaran dalam dunia penyiaran tanah air.

TV9 misalnya, mengenal pasti remaja sebagai golongan penonton sasaran mereka di mana pelbagai aktiviti telah pun diatur bagi mencapai matlamat tersebut.

Pengurus Besar TV9, Sherina Mohamed Nordin berkata, antara konsert atau gig pada 9 dan 10 Julai ini yang membabitkan para pemuzik remaja itu diadakan di ICT, Shah Alam, Selangor.

"Pada 9 dan 10 Julai ini satu pertandingan kumpulan pemuzik indie akan diadakan di ICT, Shah Alam. Lapan kumpulan yang layak akan bersaing pada keesokan harinya.

"Ini salah satu aktiviti bagi mendekatkan para penonton remaja sebagai sasaran di saluran kami," katanya kepada Hits ketika di temui di Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada pertemuan itu, berlangsung Konsert Be Part Of The Movement anjuran TV9 sempena ulang tahun kelima stesen itu yang diadakan secara percuma kepada orang ramai.

Dengan disaksikan hampir 1,000 pengunjung dari pukul 5 petang hingga 10 malam itu sebanyak tujuh kumpulan telah mengadakan persembahan yang diadakan tanpa henti.

Kumpulan AwanBand, Gabba Gabba, Drama Band, Grey Sky Morning, Pesawat, Aizat dan Hujan merupakan artis remaja yang ditampilkan para konsert tersebut.

Jelas Sherina, penampilan artis-artis berkumpulan itu juga merupakan salah satu strategi TV9 bagi menarik perhatian para penonton terutamanya golongan remaja.

"Sasaran kami ialah yang berumur antara 15 sehingga 29 tahun. Kami mahu mendekatkan mereka dengan pelbagai aktiviti yang kreatif.

"Muzik salah satu cara kami mendekatkan TV9 dengan mereka. Kami juga mahu menggalakkan mereka aktif dan mengekspresikan diri mereka dengan aktiviti-aktiviti yang diadakan TV9.

"Selain itu, sasaran kami juga adalah penonton Melayu yang muda. TV9 tidak terlalu urban atau kebandaran sebaliknya ia berada di pertengahan antara penonton TV3 dan 8TV," ujarnya.

Tambah Sherina lagi, biarpun baru lima tahun bersiaran tetapi TV9 bukan sahaja meluaskan sasaran penonton Melayu di luar bandar tetapi ia kini menular sehingga ke bandar.

Malah, katanya jika dulu saluran TV itu dikatakan terlalu kekampungan tetapi ia kini ditonton oleh segenap lapisan penonton Melayu tanpa mengira latarbelakang di seluruh negara.

"Sekarang ini penonton TV9 tidak lagi setakat orang Melayu di kampung tetapi ia juga ditonton oleh golongan yang tinggal di bandar-bandar besar.

"Bilangan penonton di TV9 juga meningkat. Contohnya, rancangan kartun Upin & Ipin paling ramai peminat dengan 1.2 juta penonton dan yang tertinggi setakat ini di TV9," jelasnya.

Sepanjang konsert hampir lima jam itu berlangsung setiap kumpulan yang beraksi pada Konsert Be Part Of The Movement menyanyikan sekitar tiga buah lagu.

Kumpulan Hujan yang beraksi pada penghujung konsert itu paling dinanti-nantikan ramai peminat dengan menyanyikan lagu Muda, Inspektor Ramos, Empayar Mu dan Mencari Konklusi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: