Tuesday, June 7, 2011

Afdlin Shauki lepas geram


BAHAGIA... Afdlin Shauki bersama isterinya, Christina Orow Abdullah (kanan) dan tiga orang puteri mereka iaitu (dari kiri) Ileana Matin Shauki, Anais Shauki dan Mia Sara.


BARANGKALI menginjak ke usia 40 tahun adalah sesuatu yang digeruni tetapi bagi pelakon dan pengarah filem tersohor, Afdlin Shauki ia merupakan antara momen terpenting dalam hidupnya.

Biarpun sudah berderet anugerah yang dimenanginya namun, tiada kata yang dapat menggambarkan kepuasan Afdlin apabila setiap hasil karyanya diterima dengan baik oleh segenap lapisan masyarakat.

Justeru, apabila dia menyambut ulang tahunnya ke-40 pada 19 Mei lalu, Afdlin bersyukur dengan rahmat yang diberikan kepadanya selama ini terutama keluarga yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan padu padanya.

"Saya melihat usia 40 tahun ini ibarat tsunami yang tidak pernah berhenti terutama sekali apabila membabitkan hasil seni saya.

"Tidak pernah sekali pun saya menyesal dan mahu menoleh ke belakang kerana inilah jalan yang saya pilih. Lalu, saya hanya berjalan terus tanpa henti.

"Alhamdulillah, apa yang saya kecapi setakat ini benar-benar membuatkan saya rasa bertuah kerana masyarakat dapat menerima Afdlin Shauki seadanya," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahunnya ke-40 di Celebrities Club, Solaris Mont Kiara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujar anak jati Johor Bahru, Johor ini lagi, sepanjang menjadi anak seni, segala susah dan senang sudah dilaluinya sehinggakan dia pernah berjauh hati gara-gara filem keempat arahannya, Sumo-Lah gagal mendapat sambutan seperti mana tiga filemnya sebelum itu.

Sehinggakan dia terdetik untuk bersara daripada dunia seni namun, hatinya meronta-ronta dan perasaan untuk berkarya itu terus meluap-luap lalu dia dapat melupakan segala duka lara tersebut.

Berkat sokongan dan dorongan daripada keluarga serta teman-teman rapatnya membuatkan Afdlin terus maju ke hadapan dan membikin filem yang mampu meninggalkan impak.

Malah, Afdlin sedar bukan mudah untuk memuaskan hati semua pihak dan atas faktor itu, dia akan meneruskan perjuangannya walaupun ada yang mengeji di sebalik pujian yang diterimanya.

"Saya tidak mahu menghasilkan filem yang berjiwa kosong dan hanya sekadar menontonnya di pawagam tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan di hati penonton.

"Filem Papadom misalnya, ia cukup sarat dengan nilai kasih-sayang dan kekeluargaan yang membuktikan bahawa filem bercorak seperti itu dapat diterima dengan baik oleh masyarakat.

"Prinsip itu akan terus saya pertahankan selagi nyawa saya dikandung badan dan diberikan kudrat untuk terus berkarya kerana mahu legasi Afdlin Shauki dapat dikenang," ujar pemilik nama penuh Afdlin Shauki Aksan ini penuh jujur.

Dalam masa yang sama juga, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia sebanyak tiga kali ini masih menyimpan angan-angan untuk melihat filemnya dan juga filem anak tempatan ditayangkan secara meluas di Hollywood.

Mungkin akan ada yang mencebik dengan impian bapa kepada tiga orang anak itu tetapi bagi Afdlin, tiada yang mustahil seandainya usaha, kerja keras dan tawakal sentiasa mengiringi setiap hasil kerja yang dilakukan.

Bercerita tentang projek filem terbarunya pula, Afdlin yang mula menempa nama sebagai pelakon menerusi filem Mimpi Moon itu memberitahu dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran filem Papadom 2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: