Tuesday, June 7, 2011

Sekinchan ke-14 di Ampang



Restoran Sekinchan Ikan Bakar Sdn Bhd (RSIB) kini meluaskan rangkaiannya dengan membuka cawangan ke-14 di Ampang Waterfront, Kuala Lumpur selepas pembukaan cawangan di Shah Alam pada akhir Mei lalu.

Pembukaan cawangan itu dibuat sejajar dengan penerimaan sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Pengasas merangkap Pemilik RSIB, Datuk Jamal Md Yunos berkata, pembukaan cawangan di Ampang adalah antara strategi untuk memantapkan perniagaan seiring hasrat mereka untuk membuka 30 cawangan menjelang akhir tahun ini.

“Matlamat kami adalah untuk membuka 30 cawangan di seluruh negara terutamanya di sekitar Lembah Klang bagi menyediakan kemudahan kepada pelanggan yang ingin menikmati kesegaran makanan laut yang dibakar bersama sos ramuan turun temurun istimewa dari Sekinchan.

“Selain itu, pembukaan lebih banyak cawangan RSIB juga dapat membuka peluang kerjaya kepada orang ramai terutamanya belia dari Sekinchan sendiri,” katanya semasa pelancaran cawangan ke-14 RSIB di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jamal berkata, sehingga 3 Jun ini, RSIB mempunyai seramai 650 pekerja di seluruh cawangan sedia adanya.

“Pembukaan cawangan ini adalah antara usaha kami dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk membantu anak bangsa kita melibatkan diri dalam bidang perniagaan dan pengurusan restoran,” katanya.

RSIB turut menganjurkan promosi sepanjang Jun ini untuk menghargai pelanggan yang berterusan memberikan sokongan kepada mereka.

Antara promosi dijalankan sepanjang bulan ini, adalah promosi Hari Bapa dengan penawaran pelbagai diskaun menarik.

Selain itu, RSIB turut menawarkan tempahan secara dalam talian di laman sesawang; www.sekinchanikanbakar.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: