
Bagi kumpulan yang menggelar diri mereka Sofazr ini, kesabaran dan keyakinan dengan bakat diri adalah kunci kejayaan mereka.
Masakan tidak, sepanjang tujuh tahun pembabitan dalam bidang seni, laluan ditempuhi cukup berliku.
Hanya pada 2006, Sofazr mampu membuka mata penggemar muzik tempatan menerusi lagu berhantu mereka ‘Janjiku’ yang dipetik dari album dengan judul sama.
Sejak itu, kemampuan Sofazr di pentas nyanyian semakin terserlah.
Sofazr yang merupakan simbolik daripada nama Shah (gitar utama), Zimi (gitar kedua), Wan (dram), Fairuz (bass), Aremeer (vokalis), dan Rodie (keyboard) semakin berani mengorak langkah.
Penubuhan syarikat sendiri, Global Record Sdn Bhd bukan bermakna mereka melupakan jasa syarikat rakaman terdahulu, Suria Record.
Namun, enam anak muda itu ingin berdiri di kaki sendiri sambil merasai pengalaman menjadi ahli perniagaan.
Kini, Sofazr melebarkan penglibatan dalam cabang seni dengan membintangi filem berjudul ‘Sofazr The Movie: Jiwa Kacau’ (STM:JK) sebagai teraju utama.
Mengulas lanjut, Zimi berkata, filem bergenre komedi itu adalah terbitan Nusanbakti Corporation Sdn Bhd yang diterajui Isma Akademi Fantasia (AF) 7 dengan kerjasama Global Record.
Zimi berkata, Sofazr terbabit dalam filem berkenaan hasil cadangan rakan rapat mereka, Mohd Atlas.
“Selepas Isma menerbitkan filem ‘Hello....Inginku Mengenalmu’ , syarikatnya mahu menerbitkan filem komedi pula dan Mohd Atlas mencadangkan kami berlakon dalam filem itu.
“Kemudian Sofazr, Mohd Atlas dan krew produksi lain mengadakan perbincangan untuk menghasilkan jalan ceritanya,” katanya.
Walaupun setiap anggota akan memegang watak dengan nama sendiri, namun filem STM:JK bukanlah mengenai perjalanan kumpulan itu.
“Filem ini mengisahkan sebuah kumpulan popular mengalami satu kejadian yang mengakibatkan jiwa mereka kacau.
“Kami tampil dengan kelainan kerana karakter yang akan dibawa dalam filem ini berbeza, menampilkan sisi komedi ahli Sofazr,” katanya.
Sofazr juga mempunyai alasan tersendiri apabila berani berlakon dalam filem arahan Isma dan Tauke (Raja Lawak) yang masih hijau dalam bidang pengarahan.
“Kemampuan Isma sudah terbukti kerana sebelum ini dia sudah mempunyai pengalaman sebagai penerbit dalam filem ‘Hello....Inginku Mengenalmu’.
“Manakala, Tauke sebagai pelawak terkenal hadir dengan idea tersendiri yang gila-gila sesuai dengan filem STM:JK,” katanya.
Acap kali tampil di depan peminat menghidangkan persembahan muzik, penampilan Sofazr sebagai pelakon pastinya dinanti-nantikan peminat.
“Tidak dinafikan pada mulanya terasa janggal untuk berlakon kerana kebiasaannya kami bermain muzik.
“Mujur setiap ahli pernah berlakon dalam drama Dakwah Muharam (TV3) dan pengalaman itu banyak membantu,” katanya.
Menurutnya, sejak itu mereka mula merasai keseronokan berlakon dan turut menjalani kelas lakonan untuk memantapkan setiap watak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: