Monday, June 20, 2011

Satu pasukan semuanya Melayu


PASUKAN tarian singa 1Malaysia bergambar selepas acara selesai.


HANYA kerana pasangannya tidak dapat bermain tarian singa, seluruh pasukan dalam dilema. Dilema kerana mungkin pasukan mereka yang mewakili Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota (SMKTM), Muar, Johor tidak boleh menyertai Kejohanan Tarian Singa Kebangsaan Kategori Junior (bawah 18 tahun). Kejohanan yang disertai oleh 21 pasukan daripada 17 buah sekolah di seluruh Malaysia itu adalah platform yang paling dinanti-nantikan oleh pasukan SMKTM untuk membuktikan kemampuan mereka.

Keistimewaan pasukan itu ialah tiada seorang pun kaum Cina, sebaliknya semua anggota pasukan yang menyertai kejohanan itu terdiri daripada kaum Melayu.

“Jurulatih kami, Tang Puay Sen memberitahu, tanpa pasangan penari singa, mustahil untuk kami sertai kejohanan yang bakal berlangsung dalam masa dua minggu sahaja,” kata pemain ekor singa, Syahdatul Azmi Bustaman, 18.

Bagaimanapun, pasukan itu akhirnya berjaya mendapatkan pengganti kepada pemain kepala singa utama yang menarik diri akibat kemalangan. Apa yang pasti, penggantinya Fairuz Amirul Yusof, 16, terpaksa berhempas pulas pada sesi latihan yang berbaki hanya dua minggu bagi memastikan satu-satunya pasukan yang disertai oleh pelajar Melayu itu dapat menyertai kejohanan tersebut.

“Sebenarnya tidak sukar untuk mengajar mereka yang bukan kaum Cina mempelajari tarian singa. Hanya semangat, minat dan keterujaan aspek yang paling penting untuk mereka menguasai tarian ini,” kata Puay Sen, jurulatih dari Kelab Tarian Singa Kun Seng Seng iaitu sebuah kelab tarian singa yang terkenal di Malaysia.

Katanya, beliau meletakkan harapan yang tinggi pada kumpulan itu walaupun bukan kaum Cina kerana mereka menunjukkan gaya persembahan dan semangat yang tinggi dalam tarian tersebut.

“Jika mereka berlatih bersungguh-sungguh dan memahami jalan cerita yang mahu disampaikan, tiada yang mustahil,” tambahnya yang mengakui sering menggunakan bahasa Malaysia dan Mandarin semasa latihan.

“Saya bermula sebagai pemain simbol, tetapi selepas pemain kepala singa tercedera akibat kemalangan dan tidak dapat menyertai latihan, saya dipilih untuk menjadi pengganti. Dengan pengalaman yang pernah berjinak-jinak menyertai tarian singa sejak empat tahun lalu, saya memberanikan diri.

“Menjadi penari kepala singa lebih sukar kerana saya perlu banyak melakukan koordinasi pergerakan, ekspresi muka dan membuat aksi. Tetapi saya berpuas hati kerana dapat memenuhi keperluan persembahan dalam masa yang singkat,” ujar Fairuz yang menyertai kelab tarian singa itu atas ajakan rakannya, Syahdatul.

Kemahiran setaraf


PASUKAN tarian singa 1Malaysia bergambar selepas acara selesai.


Dia juga berasa gembira apabila dapat membuat persembahan yang setaraf dengan rakan-rakan yang berketurunan Cina yang lebih mahir dalam tarian tersebut.

Namun, apa yang lebih menggembirakan pasukan SMKTM ialah dalam kesukaran membuat persiapan persembahan, mereka masih berjaya memperoleh tempat keenam dengan skor 8.08 daripada keseluruhan 10 markah.

Malah, pasukan itu juga berjaya memperoleh anugerah Pasukan Bersemangat Tinggi. Pakaian seragam pemain muzik pasukan itu yang hanya memakai pakaian seragam sekolah lengkap bertali leher menjadi satu lagi tarikan.

Semua pasukan lain dilihat lengkap berpakaian mengikut tema kecuali SMKTM.

Namun, persembahan yang ditonjolkan khususnya menggunakan peralatan bantuan dengan aksi-aksi yang lebih menarik menjadikan penonton di Arena of Stars, Genting Highlands tidak lekang menonton pertunjukan itu. Tarian singa pasukan SMKTM itu turut dibantu seorang lagi jurulatih, Ler Poh Ann, 38, dari Kelab Kun Seng Keng.

Kejohanan yang dianjurkan di pusat peranginan dan taman tema terkemuka, Arena of Stars, Genting Highlands itu bermula pada waktu pagi dan tamat lewat petang. Program tersebut dirasmikan oleh Timbalan Presiden Kanan Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam Genting Highlands Berhad, Datuk Anthony Yeo.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Peminat Tarian Naga dan Singa Malaysia, Leong Lik Thong dan Timbalan Presiden Tarian Singa dan Naga Selangor dan Wilayah Persekutuan, Lim Ah Chye.

“Objektif utama kejohanan itu adalah untuk mengembangkan bakat baru dan menyokong semangat kesukanan serta berpasukan menerusi tarian singa. Dengan hasil usaha ini, kita berjaya mengumpulkan 21 pasukan daripada 17 buah sekolah,” kata Anthony melahirkan rasa bangga apabila lima buah sekolah yang menyertai program itu datangnya dari sekolah kebangsaan dan selebihnya adalah sekolah jenis kebangsaan Cina.

Dalam pada itu, turut mengambil bahagian dalam acara tersebut ialah tiga orang peserta perempuan yang bermain alat muzik.

“Kami pelajar dari Sekolah Menegah Kebangsaan Sri Permata Petaling Jaya, Selangor dan sangat seronok dapat menyertai kejohanan seumpama ini,” kata Nurul Shahida Hassan dan Mariam Abdul Nazar masing-masing berumur 16 tahun.

Pertandingan itu mengukur peserta dalam 10 aspek. Setiap aspek menyumbang satu markah. Antaranya ialah kesopanan, tema, gaya gerak, aksi dan ekspresi singa, irama gendang, keistimewaan, susun acara, daya tarikan persembahan, taktik dan pakaian peserta.

Singa Juara

Dalam kejohanan sulung itu, Pasukan A Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa II, Alor Setar, Kedah berjaya meraih tempat pertama dengan skor persembahan 8.66.

Jurulatih pasukan, Cheah Kwong Leang, 40, berkata, dengan pengalaman selama dua tahun, impian mereka untuk menang menjadi kenyataan.

“Bagi pertandingan ini, kami berlatih sejak tiga bulan lalu. Dengan pengalaman sebelum ini yang pernah menyertai pelbagai pertandingan, kemenangan ini memberikan satu lagi keyakinan baru,” kata pemain kepala singa, Loo Mun Hong, 17.

Bagi pemain ekor singa, Chah Choo Fhong, 16, pula kemenangan itu disifatkannya sebagai sesuatu yang sudah dijangka.

Sekolah Menengah Kebangsaan Keat Hwa II ternyata boleh mendabik dada apabila naib johan pertandingan itu disandang oleh rakan mereka yang mewakili Pasukan B.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chi Ming 2, Tangkak, Johor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: