Monday, June 20, 2011

Memori di sawah bendang




“Apa yang sedang mereka lakukan dan kenapa mereka membongkokkan diri ke kawasan berlumpur itu?” Demikian antara soalan yang dilontarkan kepada penulis oleh rakan-rakan wartawan luar negara yang mengikuti program International Journalism Fellowship (IJF) 2010 sejenak kami menjejakkan kaki ke Laman Padi yang terletak di Pulau Langkawi.

Kemudian, seorang wartawan dari akhbar Filipina, Myla Iglesias, 26, pula minta penjelasan tentang anak patung yang dipacakkan di sawah bendang berkenaan. Rupa-rupanya apa yang dirujuk merupakan orang-orang yang digunakan untuk menakut-nakutkan haiwan daripada merosakkan padi.

Sebenarnya, agak sukar untuk penulis menjawab satu persatu. Mengapa? Ini disebabkan penulis sendiri terlepas peluang menikmati pengalaman indah bersawah padi di kampung halaman di Melaka.

Seingat penulis, momen yang paling melekat di hati cuma sekadar teringat gelagat segerombolan pesawah padi di hadapan rumah sewaktu penulis masih kecil.


PERTANDINGAN menanam padi turut dijalankan di Laman Padi Langkawi bagi memberikan pengalaman baru kepada pengunjung.


Memori itu secara perlahan-lahan lenyap daripada ingatan. Barangkali faktor mengejar ilmu di ibu kota ditambah transformasi desa kepada urban membuatkan kerja-kerja tradisi itu luput daripada pandangan anak muda sekarang.

Lamunan penulis tadi terhenti apabila wartawan dari Uzbekistan, Ilshat Mustafin, 25, tanpa jemu berterusan bertanya soalan. Tanpa menunggu lama, penulis membawanya serta rakan-rakan dari Mongolia, Filipina, Brunei dan Indonesia menuruni tangga menuju ke petak sawah padi. Kami mendekati seorang wanita lengkap bertopi dan wajahnya dibasahi peluh. Walaupun sibuk melakukan aktiviti membanting padi, dia masih mampu melemparkan senyuman dan berkongsi kisah mengenai Laman Padi.

Imbauan seni tanam padi


SEORANG lelaki berpakaian seperti pesawah pada zaman dahulu di Laman Padi Langkawi.


Menurutnya yang hanya mahu dikenali sebagai Mak Jah, 40-an, Laman Padi atau lebih dikenali sebagai Muzium Laman Padi merupakan satu-satunya lokasi yang mengetengahkan proses penghasilan beras dengan kaedah lama.

Sambungnya lagi, laman itu yang berkeluasan 8.6 hektar adalah berkonsepkan 100 peratus alam semula jadi dan mengadaptasikan senario asli sebuah perkampungan.

“Di laman padi kita menunjukkan proses penghasilan beras bermula di sawah bendang lagi. Kita secara jelas menunjukkan kepada orang ramai bagaimana kita menanam anak padi, kemudian selang beberapa bulan, kita membanting padi kemudian beralih kepada proses menampi hingga mengisar padi dengan menggunakan pengisar tradisional,” jelasnya.


KANAK-KANAK juga tidak ketinggalan melibatkan diri dalam pertandingan menangkap ikan di Laman Padi.


Sewaktu kehadiran kami pada November tahun lalu, aktiviti membanting padi di Laman Padi yang terletak di Pantai Cenang dan 10 minit dari lapangan terbang Langkawi sedang giat dijalankan.

Kami turut difahamkan, padi di sana ditanam secara berperingkat-peringkat dengan tujuan mahu memastikan tanaman tersebut sentiasa wujud untuk tujuan lawatan mahupun penyelidikan.

Semasa kunjungan jurufoto, Abdul Razak Latif (pada Mac lalu) pula, ia lebih istimewa dan sememangnya membangkitkan kenangan silam. Beliau bersama ahli rombongan media lain anjuran Lembaga Pemasaran dan Pertanian Pertanian Persekutuan (FAMA) dihidangkan dengan pelbagai aktiviti termasuk acara menanam padi.


BERANI. Seorang pelancong tanpa rasa takut cuba untuk menangkap ikan di sawah.


Pesona kepada program itu sangat terserlah. Para peserta daripada anak-anak kecil hingga dewasa yang kebanyakannya adalah penghuni Pantai Cenang mengambil bahagian. Masing-masing mengenakan pakaian ringkas yang bersesuaian dengan karakter pesawah.

Semangat kerjasama yang ditonjolkan dan hilai tawa mereka ketika menanam anak pokok di tapak semaian membangkitkan rasa keterujaan. Suara mereka juga berjaya menenggalamkan siulan burung yang terbang di ruang udara Laman Padi.

Menghangatkan lagi atmosfera di sana, demonstrasi memasak kuih yang dikenali sebagai jemput-jemput yang dikatakan menjadi hidangan pesawah di Kedah dilakukan secara beramai-ramai berhampiran tapak semaian.

Tangkap ikan sawah


SEPASANG suami isteri dari luar negara mempelajari bagaimana mengeluarkan bunyi daripada batang padi.


Jiwa penghuni-penghuni desa sangat berbeza. Mereka tidak kisah untuk beraksi dalam lumpur. Pacat atau lintah hinggap di kaki atau tangan, itu sudah dianggap perkara biasa.

Barangkali seperti dapat menyelami fikiran si jurufoto, adik Mohd. Haikal Hazami Azhar, 8, dengan bersahaja memperkenalkan satu peralatan menangkap ikan yang di panggil serkap.


MOHD. HAIKAL menunjukkan ikan keli yang berjaya ditangkapnya dengan cara menyerkap di Laman Padi Langkawi.


Serkap lazimnya digunakan untuk menangkap atau dengan lebih tepat, menerkap ikan di sawah. Budak lelaki itu nampak berani dan membenarkan pergerakannya yang penuh skil dalam menangkap ikan sawah dirakam Abdul Razak.

Selang 10 minit, budak lelaki itu menjerit kegirangan apabila usahanya berhasil apabila berjaya menangkap seekor ikan betuk dan sepat. Kemudian, dia berjaya mendapatkan seekor ikan keli yang punya 1,001 khasiat untuk kesihatan tubuh badan.

Sebenarnya, aktiviti menangkap ikan dengan menggunakan peralatan tradisional seperti serkap dan bubu juga antara program yang dirancang oleh pihak FAMA untuk media.

Ada media yang berani namun, tidak kurang juga yang gementar. Penulis sememangnya awal-awal lagi hanya memerhati gelagat pesawah di pangkin di tengah bendang saja.


WARTAWAN-WARTAWAN dari negara Asia begitu kagum dengan usaha Malaysia mewujudkan Laman Padi.


Laman Padi itu bukan sekadar diliputi oleh sawah bendang saja kerana terdapat sebuah Galeri Padi yang memperkenalkan alatan tradisional pertanian seperti tampi padi, tong membanting padi, bajak, kepelbagaian jenis benih padi selain serkap dan bubu.

Di sini juga, pengunjung boleh menikmati pemandangan sawah yang aman damai dari atas bangunan yang ditanam secara bertingkat.

Satu sudut yang dikenali sebagai Laman Variasi pula membuka ruang kepada orang ramai merasai kehidupan pesawah sebenar. Tidak rugi untuk membayar sejumlah RM3 kerana segala aktiviti untuk menanam padi bermula dari mencabut semaian anak pokok padi dapat dirasai oleh anda.

Jika anda bernasib baik, kemungkinan pengunjung turut berkesempatan membajak sawah menggunakan kerbau.

Ketika itu, penulis dan beberapa rakan wartawan lain sempat mempelajari bagaimana cara menyemat atap rumah dengan menggunakan daun nipah.

Pengalaman ini sesungguhnya sangat bererti lebih-lebih lagi kepada pelancong luar yang semestinya sangat asing dengan aktiviti tradisional begini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: