Monday, June 20, 2011

Perginya seorang pejuang

Nama Zami Ismail atau lebih dikenali sebagai Pak Uda merupakan seorang insan seni yang tidak pernah kenal erti jemu. Watak Pak Uda sudah sebati dengannya. Sejak sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu ke udara pada era 80-an, nama ini terus melakar nama dalam pentas lakonan.

Berusia 67 tahun, pelakon ini sudah membintangi hampir 17 filem dan puluhan drama tempatan. Allahyarham pernah dinobatkan Pelakon Komedi Terbaik Festival Filem Malaysia ke-9 (FFM9) melalui filem Mat Som.

Bermula sebagai pengarah sewaktu zaman persekolahannya, Allahyarham meneruskan aktiviti seninya di kampung di Ipoh, Perak selepas tamat persekolahan.

Mengadakan persembahan pentas, Allahyarham juga bertindak sebagai pelakon. Banyak persembahan pentas yang dilakonkan mendapat pujian dan bermulalah destinasi berikutnya untuk insan bergelar anak seni.


Pernah dibuang kerja kerana berlakon

Diterima bekerja di Biro Angkasa pada tahun 70-an, Allahyarham semakin ligat dalam bidang seni. Pelbagai undangan lakonan diterima dan membawa rombongan pelakonnya ke merata tempat.

Kerana itulah Allahyarham tidak dapat memberi fokus kepada kerja tetapnya. Mengambil cuti yang lama dan tidak dapat menyiapkan kerja membuatkan dia dibuang kerja oleh majikannya yang ketika itu di bawah pentadbiran Ungku Aziz.

Dari sebuah kampung kepada kampung yang lain, Allahyarham tidak pernah mengeluh dengan membawa rombongan pelakonnya mengadakan persembahan pentas. Ternyata usahanya itu membuahkan hasil apabila meraih pelbagai anugerah.

Sehinggalah pada awal 80-an, Allahyarham mengambil keputusan untuk menerima bekerja sebagai kakitangan Felda. Tugasnya mudah, hanya membawa persembahan pentas ke beberapa buah Felda sebagai hiburan untuk penduduk.

Usahanya membuahkan hasil dan berjaya melahirkan ramai bakat-bakat baru untuk diketengahkan sebagai pelakon.


Terima watak Dollah untuk drama Opah

Menerima pelawaan pihak RTM untuk berlakon drama Opah sekitar tahun 1985. Watak Dollah yang dipegangnya mendapat sambutan begitu menggalakkan. Biarpun tidak biasa dengan set dan pencahayaan di lokasi, itu semua tidak menjadi halangan untuknya mempamerkan bakat sebagai pelakon.

Mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya di Felda, Allahyarham yakin telah bertemu tempat yang betul untuk berkarya.

Dari sebuah drama, Allahyarham berlakon pula filem. Daripada filem kepada sitkom. Semuanya tidak menjadi masalah kepadanya.


Baju senget secara tak sengaja

Paling diingati adalah sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Dengan imej berbaju senget, Allahyarham akan terus dikenang dengan karakter sebegitu.

Ramai yang tidak tahu, baju senget itu sebenarnya adalah antara babak-babak yang tidak sengaja pada awalnya. Kerana kelam kabut menukar baju untuk babak seterusnya, Allahyarham tidak perasan telah tersalah butang pada bajunya.

Daripada tidak sengaja itu, ia melekat dan terus menjadi imejnya. Ternyata auranya masih kekal hingga ke hari ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: