Saturday, June 18, 2011

Revolusi Subaru Impreza


REKABENTUK luaran Subaru kali ini dilihat tidak seganas generasi sebelumnya.


JENAMA Subaru agak asing di Malaysia. Satu ketika dahulu, van Subaru E10 banyak digunakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB). Saya fikir itu sahajalah yang boleh dikaitkan dengan jenama dari Jepun itu.

Buat penggemar kereta berprestasi tinggi dan sukan rali, pasti model Impreza selalu bermain di bibir mereka. Namun begitu, model itu tidak semayshur Mitsubishi Evolution. Berbeza dengan negara tetangga iaitu Singapura, kereta Subaru boleh dikatakan begitu banyak di sana.

Jika ada jolokan yang boleh diberi, Subaru Land adalah untuk Singapura, manakala Mitsubishi Land pula sesuai untuk Malaysia.

Dalam kalangan penulis automotif pula, mereka gemar mengapi-apikan pengikut setia Evolution dan Impreza dengan membuat banyak laporan perbandingan. Daripada apa yang dapat diperhatikan, sudut positifnya lebih memihak kepada Evolution.

Paling dahsyat, ada wartawan antarabangsa terkenal mengutuk habis-habisan rekaan Impreza generasi ketiga yang merupakan revolusi rekaan Subaru.

Walaupun begitu, Impreza tetap mempunyai kelebihan tersendiri, bunyi enjin boxernya adalah ibarat nota muzik yang mengasyikkan!

Pada April lalu di New York, Subaru telah memperkenalkan kepada umum model Impreza empat dan pintu pintu terbaru. Model itu juga merupakan produk di bawah slogan baru mereka iaitu Confidence in Motion.

Kereta Global

Model Impreza generasi keempat itu dibina mengikut konsep Redefining Value, Redefining Class. Keselesaan yang sinonim dengan model Impreza sejak 1992 diperhalusi lagi. Di samping mengekalkan ketahanan, pengendalian dan ciri-ciri keselamatan yang terdapat pada teknologi Subaru iaitu Symmetrical AWD dan enjin Boxer. Impreza mahu ditonjolkan Subaru sebagai kereta global yang berkualiti tinggi.

Semasa proses menghasilkan model itu, pasukan pembangunan memberi fokus kepada alam sekitar dan kehendak pelanggan. Impreza lama dirombak semula bagi menjadikan model baru lebih jimat bahan api, lebih seronok dipandu, ruang dalaman yang luas, selesa dan berkualiti.

Menariknya, semakan semula ruang kabin dibuat tanpa membesarkan saiz keseluruhan kereta. Pereka dan jurutera menganjak bahagian bawah tiang A sebanyak 200mm ke depan, manakala jarak titik roda pula dibesarkan kepada 25mm. Struktur pintu yang direka semula pula menjadikannya lebih luas dan meningkatkan ruang bahu dan siku. Ruang kaki juga turut dibesarkan.

Dimensi bukaan pintu juga diluaskan supaya proses keluar-masuk kereta lebih senang dan mesra penumpang. Panel instrumen dan tingkap yang direndahkan serta cermin sukuan yang dianjak ke depan pula menjadikan penglihatan lebih jelas dan terasa lebih luas.


RUANG kokpit jentera ini tetap mengetengahkan teknologi dan rekaan canggih daripada Subaru.


Identiti unik Subaru

Model empat pintu mempunyai ruang but yang cukup untuk memuatkan empat beg golf dan mampu dibesarkan lagi dengan kerusi belakang jenis lipat 60:40.

Model lima pintu pula mampu memuatkan tiga beg golf dan kereta sorong bayi bersaiz besar. Bahagian hujung bumbung pula direka semula dengan lantainya direndah dan diratakan untuk menambah kapasiti penyimpanan barang, selain daripada kerusi jenis lipat 60:40.

Dengan konsep rekaan Smart & Classy, Impreza direka supaya tampil dengan perincian. Rekaan yang ekspresif pula menampakkan kualiti yang tinggi. Rekaannya menonjolkan dominasi jalan raya, keluasan dan kebolehgunaan.

Gril heksagon dengan sayap yang berkembang di tengah, lampu helang dan arca roda pula mencorakkan karakter dan keupayaan model AWD Subaru yang terkenal. Malah, itulah identiti unik kenderaan Subaru.

Enjin Boxer generasi ketiga pula ialah enjin baru yang diperkenalkan pada tahun lepas. Enjin itu lebih cekap bahan api dengan prestasi ekzos yang lebih baik. Enjin bersesaran 1,995cc mempunyai kuasa 148hp pada 6,200rpm. Ia dipadankan dengan transmisi baru Lineartronic CVT atau 5 kelajuan manual.

Tidak terjangkau fikiran

Pelik sungguh apabila Impreza menggunakan transmisi CVT. Walaupun dikatakan tidak agresif, hakikatnya transmisi CVT lebih menjimatkan minyak. Walau bagaimanapun, transmisi itu disertakan dengan pedal anjakan mode enam kelajuan manual dengan respon tukaran gear yang cemerlang bagi melahirkan rasa sporty yang sudah sinonim dengan Impreza.

Kesimpulannya, apa yang dibuat oleh Subaru terhadap Impreza itu mungkin suatu yang tidak terjangkau fikiran pengikut setia Impreza. Sebuah model yang terkenal dengan imej buas dalam perlumbaan rali dijinakkan menjadi kereta pemanduan harian.

Mungkin ada peminat Impreza yang menangis! Ini mungkin ada kena mengena dengan rasionalisasi bisnes oleh pemegang saham Subaru iaitu Toyota. Perubahan itu juga adalah selari bagi memenuhi kehendak pasaran umum dan mungkin untuk memanjangkan hayat Subaru supaya tidak terus terkubur.

Model-model Impreza sebelum ini dengan skup bonet depan yang ternganga dan spoiler tinggi di but belakang memang nampak gah. Namun, apa guna semua itu jika ia hanya dimiliki oleh segelintir orang. Dalam erti kata lain, produk yang bagus, tetapi tidak boleh dijual!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: