EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) baru-baru ini memperkenalkan Nissan Grand Livina baru yang lebih baik dan dipertingkatkan. Ini sekali gus menawarkan para pelanggan MPV, model yang lebih sporty dan kontemporari dari segi penampilan serta penggayaannya.
Terkenal dengan ciri pemanduannya seperti sebuah sedan, pengendalian yang lancar serta boleh menempatkan tujuh orang penumpang dengan selesa, Grand Livina baru-baru ini dijangka mampu mengukuhkan lagi reputasinya selaku MPV yang berbaloi dimiliki dan berkualiti tinggi.
"Sejak diperkenalkan pada Disember 2007, Grand Livina telah menjadi salah satu MPV paling popular di Malaysia dengan lebih 43,300 unit berada di atas jalan raya. Kami berhasrat untuk meneruskan popularitinya dengan versi facelift ini," jelas Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng.
Grand Livina menerima pelbagai pengiktirafan termasuklah anugerah berprestij seperti Best Value For Money MPV oleh Asian Auto-VCA Auto Industry Awards dan The Best MPV daripada majalah Stuff.
Secara zahirnya, Grand Livina yang ditambah baik diserlahkan lagi menerusi gril hadapannya yang baru. Model 1.6L mengaplikasikan rekabentuk gril yang disalut dengan warna kelabu. Sementara model 1.8L menggunakan gril berwarna krom sepenuhnya.
Kedua-dua rekabentuk itu menambah tarikan penampilan luaran Grand Livina yang sudah sedia menawan. Ditambah pula dengan cermin sisi yang dilengkapi lampu isyarat LED.
Menjengah ke bahagian kabinnya, MPV bukan nasional terlaris ini mendapat kemasan berwarna hitam, memberikan ruang dalamannya yang luas itu dengan gaya sporty.
Penampilan itu diserlahkan lagi menerusi dial instrumen dengan latar berwarna putih agar lebih mudah dibaca. Varian 1.8L juga hadir bersama satu unit pemain audio dengan ciri input Auxiliary untuk kegunaan alat audio mudah alih.
Grand Livina dijana oleh unit enjin petrol empat silinder aluminium sepenuhnya buatan Nissan yang telah terbukti prestasinya. Enjin HR16DE 1.6L mampu menjana sehingga 77kW/105ps @ 5,200rpm dan tork 150Nm @ 4,400rpm, manakala enjin MR18DE 1.8L pula mampu menghasilkan kuasa 93kW/126ps @ 5,200rpm serta tork 174Nm @ 4,800rpm. Enjin-enjin itu menawarkan penjimatan bahan api menakjubkan tanpa mengorbankan aspek prestasi.
Harga di atas jalan (termasuk insurans, cukai jalan, yuran pendaftaran dan tuntutan pemilikan) bagi Semenanjung Malaysia adalah seperti berikut:
1.6 MT - RM86,800
1.6 AT - RM89,800
1.8 AT - RM98,800
Nissan Grand Livina baru ini juga didatangkan bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000 km (yang mana tiba dahulu). Maklumat lanjut, sila hubungi Hotline Perkhidmatan Pelanggan di talian bebas tol: 1800-88-8368 atau layari www.nissan.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: