Tuesday, June 7, 2011

Rahsia 25 tahun MAY


(dari kiri) Man, Mus, Abu dan Yus meniup lilin sempena ulang tahun ke-25 MAY.


MEI merupakan bulan yang cukup penting buat penubuhan kumpulan rock, MAY. Ini kerana, pada bulan Mei 25 tahun lalu, kumpulan yang berasal dari Manjoi, Perak itu ditubuhkan.

Ia yang kini dianggotai oleh Mus selaku vokalis, Abu (gitaris), Yus (bassis) dan Man (dram) masih lagi bertahan di persada muzik rock tanah air.

MAY bukan sahaja masih unggul, tetapi mereka merupakan salah satu kumpulan rock tempatan yang paling lama ditubuhkan selain kumpulan Search dan Wings.

Dalam meniti perjalanan lebih dua dekad dalam bidang muzik, MAY telah melalui pelbagai pengalaman pahit dan manis.

Menurut Mus, persefahaman setiap anggota merupakan resipi utama mereka kekal bersama. Tanpa persefahaman MAY mungkin hanya tinggal nama sahaja.

"Tipulah kalau orang kata kami tidak pernah bergaduh. Mana boleh dalam satu kumpulan yang ada empat anggota mempunyai karakter yang sama. Masing-masing ada ego sendiri.

"Tetapi sebagai kawan-kawan sekampung yang sudah kenal lama, ia banyak membantu kami. Kalau ada masalah kecil atau besar kami akan selesaikan bersama-sama secara muafakat.

"Kalau kami berselisih faham pun sekejap. Esok lusa buat-buat lupa sahaja. Apatah lagi, sekarang ini kami pun semakin berusia, masing-masing sudah matang," katanya kepada Mega.

Jelas Mus, biarpun dia pernah meninggalkan MAY sewaktu penghasilan album kelima sehingga ke-10 di mana tempatnya digantikan Yantzen dan Oney tetapi kumpulan itu terus utuh.

Kata Mus atau Mustaffa Din, 43, ketiadaannya sedikit pun tidak melemahkan MAY. Sebaliknya, ia memberi kepelbagaian nafas dalam lagu-lagu kumpulan itu dengan dua vokalis hebat terbabit.

"Biarpun saya pernah keluar daripada MAY dan menyertai kumpulan Wings tetapi MAY paling dekat di hati saya. Saya adalah vokalis asal MAY. Kami berasal dari kampung yang sama.

"Bagi saya, MAY lebih serasi dengan saya. Begitu juga dengan anggota-anggota MAY yang lain. Apatah lagi, Abu, Man dan Yus pula memang dari dulu sampai sekarang masih dengan MAY.

"Setelah sekian lama, kami semakin rapat, kenal perangai masing-masing dan sudah seperti adik beradik. Hubungan yang rapat itu juga antara rahsia kami kekal bersama sehingga kini," ujarnya.

Pernah di bayar RM10

Sebagai kumpulan ditubuhkan suku abad lalu, MAY layak dikategorikan sebagai legenda. Namun, sebelum mengecapi kejayaan itu, mereka juga melalui pelbagai kepayahan.

Semua itu bermula sebelum MAY bergelar juara pertandingan Juara-Juara Rock Malaysia pada 1 November 1986.

Jelas Abu, ketika itu, mereka banyak menumpang persembahan SYJ (singkatan kepada Syed Yusof Jamalullail).

Kumpulan SYJ yang sedang popular ketika itu banyak menerima undangan mengadakan persembahan di funfair di mana MAY turut diselitkan sebagai artis jemputan.

"Pengurus SYJ ketika itu, arwah Pak Syed telah membawa MAY mengikuti persembahan-persembahan SYJ di merata-rata tempat seluruh Malaysia.

"Daripada situlah MAY menimba pengalaman dan merasai pelbagai keperitan termasuklah pernah mendapat bayaran RM10 setiap seorang untuk satu persembahan," katanya.

Bagaimanapun, selepas muncul juara pertandingan Juara-Juara Rock Malaysia 1986, bintang MAY mula menyerlah. Mereka diberi peluang merakamkan album sulung berjudul Dilema pada 1987.

Sejak itu, nama MAY katanya, semakin mengharum dan menjadi sebutan ramai peminat. Sekali gus, peluang merakamkan album dan menjayakan konsert juga semakin bertambah.

Sepanjang ditubuhkan MAY telah melahirkan 15 album termasuk yang terbaru MAY 25th. Anniversary terbitan Sinar Studio sempena ulang tahun ke-25 kumpulan terbabit.

Album yang berada di pasaran pada pertengahan Mei lalu itu mengandungi 11 lagu baru dan lama MAY yang diberi nafas baru. Ia sebagai penanda aras kewujudan mereka dalam dunia muzik rock.

Jelas Mus, album yang turut memuatkan buku biografi perjalanan penubuhan MAY dan DVD persembahan termasuklah klip video terbaru itu sebagai hadiah buat peminat yang menyokong selama ini.

"Kami memang mahu menjadikan tahun ini istimewa dengan kemunculan album, DVD dan buku biografi khas sempena ulang tahun ke-25 MAY. Tahun ini yang paling sesuai sekali.

"Untuk menjayakan projek ini, saya telah membuat pinjaman melalui Dana Industri Kreatif sebanyak RM100,000 yang diusahakan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia.

"Kami puas hati dengan kemunculan produk terpenting MAY itu. Daripada situlah para peminat boleh mengikuti perjalanan MAY sepanjang 25 tahun lalu," jelasnya.

MAY bukan tidak biasa mengadakan persembahan. Sama ada persembahan kecil-kecilan di funfair sehinggalah konsert-konsert besar di merata-rata tempat.

Namun, 25 tahun usia MAY amat bermakna kepada kumpulan itu yang pada asalnya dikenali sebagai Exit.

Untuk itu, menurut Mus, dia dan MAY kini sedang merancang mengadakan konsert ke seluruh negara.

"Saya sudahpun siapkan kertas kerja untuk konsert bergerak terbesar MAY ini. Buat masa ini, kami sedang mencari penaja. Kami mahu konsert itu diadakan di seluruh negara.

"Konsert itu termasuklah di Manjoi, Ipoh, Perak iaitu tempat MAY ditubuhkan. Ia memberi makna dan memori tersendiri buat kami. Selepas itu, konsert terakhir akan diadakan di Kuala Lumpur.

"Kami tidak meniru konsert bergerak kumpulan lain seperti Konsert Double Trouble yang dijayakan oleh Search dan Wings. Setiap kumpulan ada cara masing-masing," ujarnya.

Jelas Mus, MAY juga sudah bersedia mengadakan konsert bergerak terbesar mereka itu berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini. Sebabnya, pentas memang tidak asing lagi bagi MAY.

Sehingga kini undangan mengadakan persembahan pentas untuk mereka tidak pernah putus.

"Paling laris sewaktu kami muncul dengan album baru. Kalau laku album itu maka undangan mengadakan persembahan juga semakin banyak. Contohnya, album Hakikat pada tahun 1988.

"Album yang dijual lebih 200,000 unit itu misalnya, menyebabkan kami banyak mendapat undangan mengadakan konsert di seluruh negara. Dari situ kami banyak menimba pengalaman.

"Kalau dihitung kami telah mengadakan ratusan persembahan sepanjang 25 tahun ditubuhkan. Semua pengalaman itu menjadikan kami yakin untuk menjayakan konsert tersebut," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: