Sunday, June 19, 2011

R2 Sukar Jangka Juara Maharaja Lawak

Aksi R2 dalam sebuah persembahan Maharaja Lawak di minggu kesembilan.

PETALING JAYA: Selepas tersingkirnya kumpulan R2 dari program Maharaja Lawak di Dewan Tertutup Majlis Perbandaran Johor Bahru, malam Jumaat, kini Nabil, kumpulan Jozan, kumpulan Sepah dan kumpulan Jambu yang layak ke peringkat akhir.

Kemuncak program yang disiarkan di Astro Warna (saluran 132) itu akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Jumaat ini.

Bagi R2, sukar mereka untuk menjangkakan peserta mana yang bakal bergelar juara memandangkan di kalangan mereka semuanya memberikan saingan yang sengit.

“Secara peribadinya, kami tidak dapat menjangkakan peserta yang akan memenangi gelaran juara setelah melihat purata setiap persembahan mereka. Pada kami, mereka semua layak untuk menang.

“Kami berharap mereka yang berjaya ke peringkat akhir dapat melakukan yang terbaik. Setelah menonton persembahan mereka pada malam tadi (Jumaat), mereka memang layak kekal ke peringkat seterusnya,” kata Rahim Mat Ali, 41, ketika dihubungi mStar Online.

Empat peserta yang tinggal itu akan bersaing untuk memenangi hadiah berupa RM300,000 untuk juara, RM200,000 (naib juara) dan RM100,000 (tempat ketiga).

Menyentuh tentang kekalahan mereka, R2 sudah menjangkakan bahawa mereka pasti tersingkir di persembahan jelajah di Johor Bahru setelah melihat markah mereka yang sentiasa menduduki tangga terendah sejak jelajah di Kuantan, Pahang dan Pulau Pinang.

“Pada mulanya, apabila diundi masuk, saya rasa orang ramai masih percayakan kami lagi. Namun setelah melihat kekuatan dan persaingan daripada peserta lain, kami bersedia untuk terkeluar pada bila-bila masa.

“Kami akan tetap berkarya dan melawak dalam industri seni selepas ini. Selain itu, saya bersyukur apabila mendapat tawarajn berlakon beberapa telefilem,” katanya lagi.

Namun, Rahim berkata tawaran yang diterima tidak bersama-sama adiknya, Ridhuan Mat Ali, 22, yang juga merupakan anggota R2.

“Walaupun bekerja sebagai orang seni, saya masih akan bekerja di syarikat logistik seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Namun, tawaran yang saya dapat tidak sama seperti adik saya, jadi kami terpaksa bergerak secara individu,” katanya yang tinggal bersama-sama adiknya di Shah Alam.

R2 turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan peluang untuk mereka menunjuk bakat dan sokongan dalam program itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: