BAGAIKAN mimpi jadi kenyataan. Hanya itu ungkapan mampu diucap tatkala kaki penulis menjejaki pintu masuk Universal Studio Singapore (USS) pada 26 Mei lalu. Perjalanan 55 minit di awangan seperti tidak terasa kerana diri ini terlalu teruja untuk melihat dan merasai keajaiban dunia USS yang hebat diperkatakan orang ramai serta tidak ketinggalan beberapa rakan sebelum ini.
Walaupun kunjungan penulis pada kali ini atas urusan kerja kerana mengikuti jemputan Kumpulan Genting dan Resort World Sentosa sempena pembukaan rasmi USS, ia tetap memuaskan hati.
Kunjungan tiga hari dua malam di sana tidak sia-sia kerana ia sentiasa terisi dengan aktiviti dan pengalaman menarik. Sejurus tiba di Lapangan Terbang Changi menerusi pesawat MI319 Silk Airline, penulis dan 22 rakan media dari Malaysia dijemput pihak Resort World Sentosa (RWS) dengan menaiki sebuah bas menuju ke tempat penginapan kami, Hard Rock Hotel, Singapore.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah semua delegasi media Malaysia kerana diberi layanan kelas pertama. Selain kami yang mewakili Malaysia, ada juga rakan media dari Filipina, Taiwan, Korea Selatan, Indonesia, China dan Hong Kong.
Kesempatan itu membolehkan kami berkenalan di antara satu sama lain bagi mengeratkan dan memperluaskan jaringan hubungan serantau.
Selepas mendengar beberapa penerangan daripada Pegawai Perhubungan Awam RWS, Robin Goh dan diberi peluang berehat satu jam di bilik masing-masing serta makan tengah hari, tiba masanya kami melawat USS.
Belum pun memasuki USS, kemeriahan dirasai di depan pintu masuknya kerana kebanyakan pengunjung tidak lupa melakukan acara wajib jika ke sana iaitu mengambil peluang bergambar berlatarbelakangkan 'globe' tertera peta Singapura yang menjadi 'trade mark' USS.
Untuk memasuki USS, pengunjung mempunyai pelbagai pilihan jenis tiket, antaranya pas sehari berharga $66 (RM165) bagi orang dewasa, $48 (RM120) bagi kanak-kanak dan $32 (RM80) bagi warga tua.
Pada hujung minggu, cuti umum, sehari sebelum cuti umum dan tempoh sangat sibuk, harganya $72 (RM180/dewasa), $52 (RM130/kanak-kanak) dan $36 (RM90/warga tua).
Ada juga pas dua hari (bagi dua hari berturut-turut) berharga $118 (RM290/dewasa), $88 (RM220/kanak-kanak) dan $58 (RM145/warga tua) untuk semua hari. Umumnya, kadar ini masih tinggi bagi sebahagian besar keluarga.
Bagi keluarga empat orang (dua dewasa dan dua kanak- kanak), jumlah harga masuk mencecah $228 (RM570) bagi pas sehari (pada hari biasa) atau $248 (RM620) bagi hujung minggu dan cuti.
Cuma jika kita congak-congak, ia masih berbaloi dan jauh lebih rendah berbanding kita pergi ke Disneyland Hong Kong dengan menaiki kapal terbang dan menginap di hotel.
Taman tema pertama dan terbesar di Asia Tenggara ini bertaraf antarabangsa dengan pelbagai permainan bermutu disediakan yang menjanjikan pengalaman menakjubkan. Justeru, bayaran masuknya juga tidak boleh disamakan dengan tempat menarik yang normal di rantau ini.
Di USS, lebih 24 permainan dan tarikan bertaraf dunia di tujuh zon tema menarik disediakan untuk diterokai.
Hollywood adalah zon pertama menyambut kedatangan pengunjung. Anda seperti berada di Hollywood kerana setiap bangunan yang ada mengadaptasi bentuk bangunan khas Hollywood.
Sebanyak 18 permainan dan tarikan bertaraf dunia itu adalah permainan baru atau disesuaikan khusus bagi Singapura.
Justeru, ia membawa keunikan tersendiri berbanding taman tema USS lain di Hollywood, California, Orlando, Florida dan Osaka, Jepun.
Selain menempatkan kedai cenderahati, pengunjung boleh melihat persembahan 'Live Show Monster Rock' di Pantages Hollywood Theater.
Puas bergambar dan menjelajah Zon Hollywood, kami ke Zon Madagascar dan berkesempatan menaiki bot air menyusuri dunia empat watak utamanya, Alex, Marty, Melman dan Gloria.
Anda pasti terhibur menyaksikan gelagat mereka bersama rakan sambil diiringi bunyi-bunyian rimba dan lagu tema filem popular mereka, 'I Like To Move It'.
Perjalanan diteruskan ke zon animasi popular, Shrek yang dikenali sebagai Far Far Away.
Di zon itu, kami berpeluang menyaksikan aksi Shrek menyelamatkan Puteri Fiona di Shrek 4D Adventure. Percikan air, tiupan angin dan tempat duduk yang bergerak membuatkan pengembaraan Shrek 'hidup'.
Kemudian, kami menaiki roller coaster mengeliling dunia Far-Far Away dengan Enchanted Airways selain Magic Potion Spin dan Donkey Live.
Pengembaraan disambung ke Zon The Lost World yang terbahagi kepada dua kawasan, Jurassic Park dan Waterworld. Di Jurassic Park, ia membawa pengunjung ke dunia dinosaur manakala Waterworld menawarkan persembahan 'live show' pertempuran di antara dua kumpulan yang cuba menunjukkan kuasa masing-masing.
Di Waterworld, pengunjung pasti berpuas hati dan terhibur dengan lakonan pelakon serta kesan bunyinya. Namun, pengunjung di bahagian depan perlu berhati-hati dan pandai mengelak terkena percikan air yang sengaja ditujukan ke arah pengunjung oleh pelakon.
Di kawasan Jurassic Park pula, penulis dan beberapa rakan sempat menaiki Jurassic Park Rapids Adventure yang mencabar.
Selain menyusuri sungai yang memiliki arus deras sehingga menyebabkan pelampung dinaiki melanggar tebing sungai buatan, percikan air dan curam yang boleh membuatkan baju basah, menunggu giliran untuk melakukannya juga satu daripada cabarannya.
Berikutan terlalu ramai pengunjung, kami terpaksa menunggu kira-kira sejam sebelum melakukan permainan itu. Bagaimanapun, penantian itu berakhir dengan seribu satu keseronokan.
Selain Jurassic Park Rapids Adventure, antara tarikan di The Lost World termasuk Canopyflyer, Amber Rock Climb dan Dino-Soarin.
Zon Ancient Egypt, zon yang penulis gemari dan geruni. Ia ibarat menjelajahi Mesir kuno dengan piramid serta patung yang berdiri gagah.
Di zon ini, pengunjung dicabar melawan ketakutan dengan menaiki roller coaster berkelajuan tinggi yang akan berhenti dan mengundur secara tiba-tiba, di dalam suasana gua yang gelap di Revenge of the Mummy.
Jika tidak mahu memasuki Revenge of the Mummy, Treasure Hunter juga sedia membawa anda mencari harta karun dengan menaiki jip tua ala Indiana Jones.
Sci-Fi City adalah zon keenam yang akan dilalui di USS. Sci-Fi City menawarkan tiga permainan iaitu roller coaster tinggi dengan dua landasan yang bergerak serentak, tetapi berlawan arah iaitu Battlestar Galactica Cyclon & Battlestar Galactica Human dan Accelerator.
Penulis hanya berani mencuba Battlestar Galactica Human dan Accelerator kerana selepas mencubanya, pening dan rasa mual terus menyebabkan diri ini bagai sudah tidak berdaya meneruskan perjalanan.
Hanya jeritan mampu dilakukan bagi menghilangkan ketakutan dan perasaan gerun.
Rasa mual dan loya turut ditambah selepas melihat roller coaster Battlestar Galactica Cyclon yang lebih mencabar dan kelihatan berbahaya apabila penunggangnya seakan-akan tergantung.
Jika mahukan pengalaman menyaksikan pembikinan filem ala pengarah Steven Spielberg dalam studio perfileman, Lights, Camera, Action! di New York adalah zon terakhir yang menanti di USS.
Lights, Camera, Action! membawa pengunjung melihat sendiri kesan khas luar biasa yang digunakan di dalam sesebuah filem Hollywood. Ia membuatkan anda seperti benar-benar di tengah badai dengan angin kuat serta kapal yang terbakar hingga akhirnya sebuah kapal besar tiba-tiba masuk dan menghentam dek tempat pengunjung berdiri.
Di zon itu juga, pengunjung berpeluang mengabadikan kenangan 'bergambar' bersama pelakon terkemuka dunia dari zaman silam seperti Marilyn Monroe.
Hari kedua penulis di sana, bermula jam 10 pagi sehingga 4 petang, jadual dipenuhi dengan sesi sidang media dan temu ramah bersama Pengerusi Kumpulan Genting, Tan Sri Lim Kok Thay, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Universal Parks & Resorts, Tom Williams dan Bekas Juri American Idol, Paula Abdul.
Pada sebelah petang, kami bersiap sedia untuk menghadiri malam gala sebagai pra pembukaan rasmi USS.
'Pemanas badan' malam gala itu dimulakan dengan barisan artis terkenal seperti Jet Li, Maggie Cheung, Vicki Zhou Wei, Paula Abdul dan juga artis tempatan Singapura seperti Adrian Pang, Chen Liping dan Michelle Chia berjalan menyusuri karpet merah sambil dipancari sinaran 'flash' kamera media dan tetamu jemputan.
Hari yang dinanti-nanti kini tiba iaitu pada tanggal 28 Mei 2011, USS secara rasminya dibuka kepada orang ramai dari setiap pelusuk dunia.
Berakhirnya majlis itu menandakan selesainya tugas penulis di sana, namun keseronokan dan pengalaman bekerja sambil berhibur bersama media asing memang menyeronokkan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: