Monday, June 20, 2011

Ceritera Mat London

Demi memastikan industri seni negara sentiasa hadir dengan pelapis baru, Mat London mengambil inisiatif untuk berkongsi pengalamannya selama 30 tahun dalam bidang pengarahan kepada bakat-bakat baru.

Menurut Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim meskipun minat utamanya pada bidang pengarahan, namun atas kesedaran yang timbul bagi memastikan industri seni tidak kering dengan bakat baru maka beliau setuju untuk berkongsi ilmu.

“Biasanya di pusat pengajian tinggi, mereka lebih berpandukan pada buku dan bukannya praktikal. Malah sukatannya pula di buat lima hingga enam tahun dahulu, jadi ia sudah banyak berbeza dengan peralatan yang digunakan di set penggambaran.

“Selain itu industri sebenarnya memerlukan banyak tenaga pakar di belakang tabir, contohnya seorang krew produksi terpaksa menampung kerja untuk dua orang. Jadi sebab itulah saya terpanggil untuk berkongsi ilmu dengan mereka,” katanya kepada Zass.

Mat London yang juga Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) berkata, dia akan terus mengarah sehingga khidmatnya masih diperlukan dan masih berdaya untuk mengajar.

“Sehingga kini saya masih lagi mengajar tapi secara separuh masa kerana kekangan waktu. Banyak juga tawaran mengajar yang saya terima tetapi saya terpaksa tolak,” katanya yang kini mengajar di Universiti Teknologi Mara, Universiti Utara Malaysia dan Aswara.


Mengarah dari kecil

Berkongsi cerita terhadap minat pengarahan, Mat London berkata, dia sudah mula menceburi bidang pengarahan semenjak berada di sekolah rendah lagi.

“Ketika itu saya menuntut di Primary English School, Selama dan menjadi penolong pengarah kepada guru saya dalam teater Cinderella dan ketika itu saya baru darjah tiga.

“Kemudian ketika darjah lima saya sudah mengetuai teater dan menjadi pengarah. Cuma ketika sekolah menengah saya tidak dapat untuk meluaskan bakat kerana sekolah itu cuma ada empat orang anak Melayu.

“Tetapi dalam masa yang sama saya bersama rakan-rakan menubuhkan kelab kebudayaan di kampung dan kami aktif dalam menyampaikan sajak, menyanyi dan tarian tradisional,” ujarnya.


Di sebalik nama Mat London

Ketika ditanya mengenai nama panggilannya, Mat London tertawa kecil. Nyata nama itu bukan sekadar nama kosong namun ia dipanggil teman tatkala pulang dari belajar di London.

“Saya pernah menuntut di National Film School, London pada tahun 1978 selama dua tahun. Sebelum itu saya belajar di Itali selama lima tahun dan di England selama tiga tahun.

“Sekembalinya saya dari London, saya bekerja di syarikat pengiklanan terbesar di dunia ketika itu dan ada tiga orang yang bernama Mat di situ. Jadi bagi membezakan saya mereka memanggil saya Mat London kerana saya baru pulang dari London,” ujarnya.


Lalui zaman suram

Walaupun pernah menuntut di luar negara, namun ia tidak bermakna Mat London tidak melalui zaman suram sebagai anak seni.

Malah kerana masalah ekonomi sekitar tahun 1989, Mat London yang ketika itu bergelar pengarah iklan terpaksa menutup syarikat pengiklanannya kerana masalah hutang dan menjual rumah untuk membayar segala hutang.

“Ketika itu belum ada lagi stesen RTM ataupun TV3, jadi permintaan untuk iklan agak kurang. Jadi kerana kurang permintaan maka saya terpaksa tutup kedai. Ketika itu memang terasa susahnya kerana untuk mencari kerja pun saya terpaksa berjalan kaki dan menaiki bas.

“Malah saya terpaksa berniaga secara kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan anak-anak yang masih bersekolah,” imbaunya.

Namun sekitar tahun 1996, Mat London berjaya kembali di dalam industri dan menceburi bidang pengarahan drama dan menjadi orang pertama �mengarahkan telefilem untuk siaran TV3 iaitu Aida Shada yang dijayakan oleh Allahyarham Hani Mokhsin dan Tiara.

“Selain itu drama arahan saya Pukul Dua Petang menjadi drama pertama yang disiarkan di NTV7 dan sehingga kini masih memegang rating tertinggi iaitu seramai 2.8 juta penonton,” katanya.

Semenjak itu, Mat London terus mengarah dan sehingga kini sudah menghasilkan berpuluh drama untuk siaran RTM, TV3 dan Astro.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: