|
|
PERSIDANGAN dan pameran Ekspo Hiburan Elektronik (E3) di Los Angeles, sememangnya satu pameran yang sentiasa dinanti-nantikan oleh para peminat atau 'kaki permainan' dari seluruh dunia.
Ketika itu, pengeluar peralatan permainan terkenal seperti Sony, Nintendo dan Microsoft serta pembangun permainan video seperti Electronic Arts (EA), Ubisoft, Sega dan lain-lain akan menjadi tumpuan.
Mereka akan menggunakan E3 sebagai wadah untuk mempamerkan teknologi permainan terkini serta tajuk-tajuk permainan baru untuk tatapan peminat.
Walaupun Sony, Nintendo dan Microsoft tidak banyak membuat kejutan tahun ini tetapi kemeriahan tetap dirasakan oleh para peminat permainan, terutama dengan pelancaran banyak tajuk permainan video baru untuk dimainkan di PlayStation, Nintendo atau Xbox.
Berikut ialah ringkasan mengenai produk dari tiga syarikat permainan terkenal yang terdapat di E3 tahun ini.
NINTENDO
Nintendo telah memperkenalkan alat kawalan permainan generasi baru yang dikenali sebagi Wii U. Alat yang mempunyai skrin sesentuh 6.2 inci (15.7 sentimeter) itu dijangka dilancarkan tahun depan.
Sebagai pengganti kepada Nintendo Wii, Wii U merupakan alat kawalan yang mempunyai pengesan pergerakan dan kamera yang menggabungkan pelbagai ciri-ciri seperti alat kawalan, televisyen, komputer tablet dan konsol permainan.
Alat kawalan yang boleh digunakan dengan aksesori dan permainan Wii sebelum ini itu berkomunikasi secara wayarles melalui sistem asasnya yang disambungkan ke televisyen.
Kamera pada alat tersebut boleh digunakan untuk pengguna melakukan sembang video melali televisyen.
Alat kawalan ini juga dikatakan akan dihubungkan kepada Google (Google TV dan Android) dan Apple (iPhone dan Apple TV) yang akan membolehkan skrin di alat kawalan anda memaparkan imej sama seperti di televisyen.
Selain itu, Nintendo tidak juga melupakan alat permainan bergeraknya 3DS yang akan dilancarkan hujung bulan ini.
SONY
Sony sudah tentu tidak mahu mengalah. Pada E3 kali ini, syarikat itu mengumumkan rancangannya untuk melancarkan permainan mudah alih terbaru, PlayStation Vita (PS Vita) bagi menggantikan PlayStation Portable (PSP).
PS Vita yang dijangka dijual dengan harga permulaan RM750 pada penghujung tahun ini sudah tentu akan berentap dengan Nintendo 3DS dan iPod Touch dari Apple.
Alat permainan itu mempunyai teknologi terbaru yang dijangka menarik peminat permainan seperti mempunyai dua pad analog di kiri dan kanan skrin, kawalan pergerakan, skrin sesentuh lima inci dan bahagian belakang sensitif sentuh.
Ia juga dijangka dilengkapi dengan rangkaian talian telefon mudah alih (dengan kerjasama AT&T), Wi-Fi, imej tiga dimensi (3D) dan navigasi sistem penentu kedudukan global (GPS).
PS Vita merupakan produk terbesar keluaran Sony sejak pelancaran PlayStation 3 (PS3) tiga tahun lalu.
Selain itu, Sony juga mengumumkan syarikat itu akan melancarkan skrin monitor 24 inci 3D, kabel HDMI dan cermin mata khas untuk digunakan bersama PS3 dengan harga kira-kira RM1,500.
MICROSOFT
Walaupun tidak banyak pengumuman produk baru dibuat, Microsoft tidak terkecuali mempamerkan teknologi dan pergerakan terkini untuk Xbox iaitu alat kawalan Kinect yang kini mempunyai ciri kawalan suara.
Dengan tambahan 'add-on', pengguna dapat melakukan pelbagai aksi ketika bermain dan pada masa yang sama boleh mengarahkan permainan itu berhenti sekejap (pause) dengan arahan suara.
Microsoft dilihat membangunkan konsol permainan Xbox 360 ke arah menjadi gajet serbaguna yang boleh digunakan sebagai pengganti perkhidmatan kabel tradisional apabila turut menghubungkan perkhidmatan Youtube, Bing, Netflix dan Hulu Plus bagi perkhidmatan dalam taliannya.
Selain itu, pengumuman terbesar Microsoft ialah mengenai permainan Halo 4 yang sememangnya dinanti-nantikan oleh para peminatnya.
Bagaimana pula dengan penerbit permainan di E3?
EA telah memperkenalkan 10 tajuk permainan barunya, iaitu Mass Effect 3, Star Wars: The Old Republic, SSX, FIFA, Madden, Need for Speed: The Run, The Sims: Social, Kingdom of Amalur: Reckoning, Battlefield 3 dan OverStrike.
Selain itu, Ubisoft juga memperkenalkan permainan terbaru mereka yang menarik seperti Rayman Origins, Farcry 3, Driver: San Francisco dan Brothers In Arms title called Brothers in Arms: Furious 4 yang dibangunkan oleh Gearbox.
Selain itu, terdapat juga permainan TinTin oleh Steven Spielberg and Peter Jackson ( video) dan permainan Trackmania baru serta Just Dance 3 dan Yourshape: Fitness Evolved.
Kesimpulannya, walaupun tanpa alat permainan seperti Sony, Nintendo dan Microsoft tetapi Unisoft dan EA yang menjadi perhatian ramai di E3 kali ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: