|
|
DUA lelaki ini berbeza bangsa dan latar, namun kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu menghidap kanser hati. Positif dengan takdir yang tertulis namun mereka sesekali tidak mahu menyesali kerana percaya ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik dugaan yang dihadapi.
Seorang daripadanya, Ismail Zakri Md. Khalid berusia 62 tahun, bapa kepada tiga anak berusia antara antara 27 hingga 35 tahun. Wajahnya tenang tatkala menceritakan pengalaman bagaimana dia mula mengetahui dirinya menghidap kanser hati.
"Sebenarnya saya sudah disahkan menghidap penyakit Hepatitis B sejak tahun 1985 lagi namun saya tidak menjalani rawatan, tetapi kerap memantau keadaan diri dari masa ke semasa. Bagi mengelak keadaan lebih buruk, saya juga mengamalkan gaya hidup sihat dengan berlari dan mengunjungi gimnasium setiap hari," katanya dalam satu majlis anjuran Bayer Healthcare baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut katanya, sekitar November tahun lalu, dia tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri. Keluarga menjangka dia diserang sakit jantung. Bagaimanapun selepas menjalani pemeriksaan jantung, doktor menemui ketumbuhan besar berdekatan jantungnya.
Justeru beliau menjalani pembedahan jantung terbuka dan ketika itu baru mengetahui ia berasal daripada hati. Jelasnya, doktor menyatakan beliau tidak boleh menjalani pembedahan membuang tumor kerana ia sudah berada di tahap lanjutan (tahap 4) tetapi mencadangkan mengambil ubat terapi oral antikanser sorafenib.
Ismail memulakan rawatan jenis itu sekitar Februari lalu. Bagaimanapun dia mengalami pendarahan dalam perut (alahan akibat pengambilan ubat) ketika peringkat awal dan terpaksa menghentikannya.
Berdasarkan alahan itu juga, anak-anaknya tidak menggalakkan beliau meneruskan rawatan namun Ismail berasa jika tidak mengambil sorafenib mungkin kanser hati yang dihidapinya akan terus merebak dan dia akan menjadi semakin lemah.
Akhirnya dia percaya perlu berhadapan dengan kesan sampingan asalkan dia boleh mengatasi penyakit yang dihadapi serta menjalani hidup lebih bermakna dengan menghabiskan masa bersama insan tersayang.
"Sejak saya disahkan menghidap penyakit ini, hubungan antara saya dan anak-anak bertambah kukuh. Walaupun menderita kanser, saya sentiasa positif dan meyakinkan anak-anak bahawa ada perkara dalam hidup ini yang kita tidak boleh ubah, tetapi kita boleh menaruh harapan. "Setiap hari tambahan yang diberikan kepada saya untuk hidup adalah satu harapan dan saya mahu menjadikannya lebih bermakna," kata beliau yang bertugas sebagai penasihat perniagaan.
Seorang lagi bapa yang turut berkongsi pengalaman yang sama, Chong Yik Ing, merupakan pengurus sebuah syarikat dagangan kayu. Dia mempunyai tiga orang anak, menjalani gaya hidup sihat tanpa sebarang penyakit.
Namun langit tidak selalunya cerah. Pada November tahun lalu, dia mengalami sakit yang teruk di bahagian abdomen kanan. Dia dimasukkan ke hospital dan dipantau selama dua jam. Pada jangkaan mereka yang merawatnya ia mungkin berpunca daripada hempedu, lalu dia hanya diberi ubat tahan sakit dan dibenarkan keluar.
Namun lelaki ini sedar bahawa kesakitan yang dialaminya cukup luar biasa justeru beliau cuba mendapatkan pandangan kedua.
"Saya menjalani ujian darah dan ultrabunyi. Saya terperanjat apabila doktor memberitahu saya menghidap Hepatitis B dan kanser hati. Ia tidak boleh dibedah kerana berada pada tahap lanjutan dan doktor hanya memberi masa beberapa bulan untuk hidup," katanya.
Mendengar berita itu katanya, seluruh ahli keluarga terperanjat dan sedih malah salah seorang anaknya yang berkerja di United Kingdom mengambil keputusan melepaskan jawatan serta-merta dan pulang ke tanah air untuk menjaganya.
Yik Ing menjalani prosedur transertial chemoembolization (TACE) namun selepas 10 minggu dia mengalami demam dan kesakitan di bahagian abdomen yang teruk. Doktor mengesahkan ia disebabkan pendarahan dan jangkitan daripada tumor. Selepas itu dia perlu menjalani 10 sesi radioterapi untuk mengawal darah. Ini menjadikan dia semakin lemah.
Akhirnya doktor menyarankan agar beliau menjalani terapi sorafenib yang bukan hanya menyasarkan untuk memanjangkan kadar survival, tetapi meningkatkan kualiti hidup.
"Keluarga risau dengan kesan sampingan kerana saya pernah mengalami sejarah alahan pada kulit dan tangan. Namun setelah mempertimbangkan untuk berhadapan dengan kesan itu, kami sepakat untuk meneruskan rawatan sorafenib," kata beliau.
Kini walaupun tetap menghidap kanser, Yik Ing menjalani kehidupan yang lebih sihat dan mampu kembali berkerja seperti biasa.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: