|
|
Pemenang pertandingan menulis cerita pendek Publish It! menerima biasiswa untuk mengikuti pembelajaran di Cambridge English For Life Sdn. Bhd. (CEFL) selama satu tahun yang bernilai RM5,000 setiap seorang.
Ketua Pegawai Akademik CEFL, Keith Harris berkata, pertandingan itu diharapkan telah memberi keseronokan kepada murid-murid dan pada masa yang sama membantu mereka mengaplikasikan penggunaan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.
"Bahasa Inggeris perlu dipraktikkan selalu melalui aktiviti seperti menulis, bertutur, membaca dan sebagainya supaya penguasaannya dapat dipertingkatkan dari masa ke masa," katanya pada majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Dua pemenang utama pertandingan itu ialah Ng Jo Yee dari Sekolah Antarabangsa Tenby, Kelang, dan Abrar Na'eemi Mohd. Lutfi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raya, Hulu Langat, Selangor.
Pemenang utama serta tujuh lagi pemenang sagu hati pertandingan yang dianjurkan dengan kerjasama Unit Pendidikan Utusan Malaysia ini turut menerima sijil penyertaan dan beg cenderamata.
Pertandingan yang bermula sejak Februari lalu itu disasarkan kepada murid sekolah rendah dari seluruh negara berumur antara sembilan hingga 12 tahun.
Menurut Harris, murid-murid tidak perlu takut untuk menggunakan bahasa Inggeris atau melakukan kesilapan ketika menggunakannya kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.
"Apabila melakukan kesilapan, kita akan berusaha untuk membetulkan kesalahan itu maka dari situ kita telah mempelajari sesuatu yang baru dan kesalahan sama tidak mungkin akan diulangi," jelasnya.
Pertandingan ini, katanya, sedikit sebanyak membantu meringankan beban guru di sekolah kerana, murid akan belajar menulis dengan gaya lebih formal selain dapat mengekalkan kemahiran berbahasa di kalangan mereka.
Sementara itu, Jo Yee berkata, dia begitu gembira dan langsung tidak menjangka akan terpilih sebagai pemenang utama pertandingan itu.
"Saya sememangnya suka menyertai pertandingan menulis seperti ini ditambah pula dengan galakan daripada ibu dan guru CEFL,"ujarnya .
Manakala Abrar Na'eemi pula berkata, pertandingan yang pertama kali disertainya itu merupakan sesuatu yang sangat bermakna kerana terpilih sebagai pemenang utama.
"Ibu merupakan pendorong utama untuk saya menyertai pertandingan ini dan kemenangan ini akan saya kongsikan dengan kawan-kawan serta guru apabila kembali ke sekolah nanti," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: