Monday, June 13, 2011

Orang Asli kecewa belum pindah rumah baru

PERKAMPUNGAN baru masyarakat  Orang Asli Sungai Banang, Minyak Beku belum diduduki.
PERKAMPUNGAN baru masyarakat Orang Asli Sungai Banang, Minyak Beku belum diduduki.
BATU PAHAT: Seramai 67 keluarga Orang Asli di Kampung Teluk Minyak Beku, di sini, kecewa apabila mereka masih tidak dapat berpindah ke kediaman baru di perkampungan tersusun Kampung Orang Asli Sungai Banang berikutan kegagalan pihak berkenaan menyambung bekalan air dan elektrik di situ.

Projek perkampungan Orang Asli tersusun seluas 15 hektar yang dibangunkan dengan kos RM10 juta itu sudah siap dibina sejak Mac lalu bagi menempatkan semula keluarga dari Kampung Teluk Minyak Beku berikutan kawasan penempatan itu tidak lagi sesuai diduduki berikutan sering dinaiki air laut setiap kali air pasang.
Masyarakat Orang Asli Kampung Teluk adalah daripada suku Duanu yang sebelum ini menetap di Pulau Sialu, namun pada akhir 70-an, mereka berpindah ke kawasan penempatan baru di daratan tidak jauh dari situ yang diberi nama Kampung Teluk berikutan pertambahan penduduknya.
Tinjauan Berita Harian kelmarin, mendapati beberapa kawasan penempatan Orang Asli di situ bukan saja digenangi sisa air laut malah sampah sarap turut tersangkut di sekitar rumah penduduk menyebabkan keadaan di situ tidak selesa untuk didiami.

Ketua Kampungnya, Ahmad Karim, berkata masyarakat Orang Asli di situ amat menghargai dan berterima kasih dengan keprihatinan kerajaan negeri membangunkan perkampungan tersusun baru.

"Namun apa yang memusykilkan mengapa bekalan air dan elektrik masih belum dipasang walaupun projek berkenaan sudah siap sepenuhnya sejak Mac lalu, malah kami perlu menunggu sehingga Julai pula untuk berpindah.

"Penduduk kecewa kerana mereka dijadualkan berpindah ke situ Mei lalu namun masalah penyambungan bekalan utiliti yang masih tergendala menyebabkan mereka terpaksa bertahan dalam keadaan rumah sering ditenggelami air laut," katanya ketika ditemui.
Mohd Razali Madi, 26, pula berharap supaya pihak berkenaan dapat menyegerakan pemasangan bekalan air dan elektrik bagi memudahkan penduduk berpindah.

"Kalau boleh kami berharap proses pemasangan bekalan air dan elektrik disegerakan kerana rumah kami sentiasa lembab dan berbau malah bumbung rumah selalu diterbangkan ribut menyebabkan anak-anak ketakutan pada waktu malam ketika angin kuat.

"Kami bimbang pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri kepala paip di rumah baru ini pada waktu siang kerana pengawal keselamatan hanya bertugas pada waktu malam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: