Monday, June 13, 2011

Pelajar berbakti cegah ancaman denggi


PELAJAR dan guru SMK Sinar Bintang berbincang cara terbaik menghapuskan nyamuk Aedes pada program 'cari dan nasihat' pembawa wabak denggi itu di Rumah BAKTI, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.


PELAJAR Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sinar Bintang, Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini telah mengambil inisiatif membantu Rumah BAKTI yang menempatkan kanak-kanak terbiar, warga tua dan ibu tunggal.

Inisiatif para pelajar berkenaan adalah usaha memberikan khidmat nasihat kepada penjaga dan penghuni rumah tersebut dalam usaha untuk menghapuskan pembiakan nyamuk Aedes seterusnya mengekang ancaman denggi.

Pengurus Pemasaran, Sara Lee Malaysia Sdn. Bhd., Putri Shireen Syed Othman berkata, pihaknya gembira melihat komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar dalam usaha memerangi denggi.

"Dedikasi mereka dalam meluaskan usaha menyebarkan kesedaran terhadap denggi bukan sahaja di kawasan kejiranan tetapi juga di rumah kebajikan seharusnya dicontohi," katanya yang turut hadir pada program tersebut di Rumah BAKTI, Kota Damansara, Selangor, baru-baru ini.

BAKTI atau Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri telah mempelopori banyak projek kemasyarakatan dan kebajikan untuk membantu pelbagai aktiviti amal yang menyokong golongan miskin dan kurang bernasib baik di negara ini.

Menurut Putri Shireen lagi, para pelajar bersama dua guru sekolah berkenaan menjalankan misi 'cari dan nasihat' dengan meninjau tempat yang berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk Aedes dan menasihati penjaga Rumah BAKTI tentang kepentingan mencengah penyebaran denggi.

Beliau berkata, sungguhpun bilangan kes denggi yang dilaporkan beberapa bulan lalu telah berkurangan namun kita tetap perlu menjaga keselamatan persekitaran dan mengawal wabak denggi dengan menghapuskan tempat pembiakan Aedes.

"Walaupun menyedari bahaya penyakit yang boleh membawa maut ini, malangnya tidak ramai yang berusaha untuk melindungi diri, orang tersayang dan jiran mereka.

Inisiatif periksa-dan-nasihat ini adalah sebahagian daripada misi sekolah itu untuk memenangi pertandingan anti Aedes bagi memeriksa 100,000 rumah di kawasan hotspot sekitar Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Pertandingan selama enam bulan ini menawarkan hadiah utama bernilai RM10,000 kepada pemenang yang dipilih berdasarkan bilangan paling banyak rumah yang dilawati dan diperiksa serta kebersihan kawasan sekolah mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: