Monday, June 13, 2011

Intracksee berdakwah melalui nasyid


AHLI kumpulan Intracksee merangkul piala kemenangan selepas menjuarai Festival Nasyid Universiti (FENU '11) 2011 baru-baru ini.


KITA imbas dan renung sejenak sejarah yang panjang dalam arena nasyid tanah air. Irama nasyid mula diminati ramai dengan kemunculan kumpulan Al-Jawahir, El Suraya dan Al-Mizan pada 1970-an, sebelum menyusul kumpulan Nada Murni, sekitar tahun 1980-an.

Pun begitu, senario kegemilangan industri nasyid mula menjadi fenomena sejak kemunculan kumpulan Raihan yang berjaya menggegarkan negara dengan jumlah jualan album sulungnya, Puji-pujian yang mencecah lebih 600,000 unit pada tahun 1996.

Sejak itu, masyarakat mula menunjukkan minat dan kecenderungan mendekati lagu-lagu nasyid . Ia adalah satu perkembangan yang cukup positif. Apa tidaknya, muncul pula nama-nama seperti, Rabbani, Hijjaz, Brothers, In-Team dan kumpulan baru yang tumbuh umpama cendawan selepas hujan.

Namun, pada satu peringkat, kita mula merasai kesuraman genre nasyid ini, bila mana kurang cerita-cerita mereka terpapar di dada-dada akhbar. Tiada lagi dimainkan lagu-lagu mereka di corong-corong radio.

Menyedari hakikat itu, Urusetia Kesenian Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpanggil untuk menubuhkan sebuah kumpulan nasyid Intracksee dengan bermatlamat dakwah dan misi memartabatkan kembali genre nasyid di persada seni tanah air.

Intracksee ditubuhkan dengan bimbingan salah seorang artis dari kumpulan nasyid tanah air NowSeeHeart, Huzaimi Zaini.

Pada awalnya, Intracksee telah mengorak langkah dengan ahli kumpulan yang kecil namun kumpulan terus berkembang menjadi 10 orang

Intracksee yang diketuai Mohd. Nurhakimi Md. Yaman berkata, kejayaan mereka merupakan hasil titik peluh pelbagai pihak yang komited dalam membawa kembali genre nasyid di USIM dan persada tanah air.

"Genre ini meliputi kualiti persembahan dan pendekatan kreatif mengikut peredaran masa memandangkan kebanyakan lirik dan lagu di hasilkan ahli kumpulan Urusetia Kesenian Pelajar USIM," katanya.

Menurut Mohd. Nurhakimi, lagu yang di hasilkan menceritakan tentang umat Islam yang alpa dan lalai dalam memperjuangkan agama bangsa dan negara.

Katanya, sebagai contoh, lagu dan lirik bertajuk Bangkitlah' hasil ciptaan Shukri Sahari yang mengajak umat Islam bangkit melakukan kebaikan.

Selain itu tajuk lagu 'Seperti Inikah Dunia' lirik Faiz Aziz yang merupakan pelajar sarjana Sains Komputer USIM, juga Pegawai Kebudayaan USIM Ismail Ahmed yang menceritakan tentang masalah pembuangan bayi yang makin menular dan menjalar dalam masyarakat kita.

Selain itu, untuk memberikan persembahan dari sudut vokal yang mantap ahli Intracksee diwajibkan untuk mengikuti kelas koir yang dipimpin oleh pelajar-pelajar daripada ASWARA.

Mohd. Nurhakimi menambah, Intracksee bakal menerbitkan sebuah album nasyid berkonsepkan 1Malaysia seperti mana gagasan yang telah diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: