SEMAKIN cantik dan langsing. Itulah yang dapat dirumuskan saat penyanyi dan pelakon kelahiran Pulau Pinang, Nurul Huda Abdul Wahab atau Nurul hadir ke sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini untuk mempromosikan filem terbarunya, Tolong! Awekku Pontianak.
Wajahnya juga semakin berseri-seri berbanding sebelum ini. Wartawan Kosmo! menyoal, adakah hatinya sudah berbunga kembali selepas lima tahun menjanda dan cintanya bersama lelaki yang dikenali sebagai Ryzal terputus di tengah jalan.
Mendengar soalan itu, Nurul hanya memberi senyuman isyarat enggan menceritakan kisah peribadinya kepada khalayak.
Balas wanita berusia 34 tahun itu lagi, dia bukan ingin menyembunyikan kisah peribadi sebaliknya kejujurannya dan keterbukaannya sebelum ini memakan dirinya sendiri. Justeru, dia kini mengambil langkah menutup mulut mengenai kisah peribadi dan memberi fokus kepada kerjayanya sahaja.
“Bukan saya tidak mahu kongsi tetapi kejujuran saya membuatkan orang mengata dan menabur fitnah, jadi untuk mengelakkan perkara itu, lebih baik saya zip mulut.
“Dulu memang saya kongsi kisah peribadi kerana sedar saya hak masyarakat tetapi sekarang hal peribadi adalah hak saya sahaja,” ujarnya minta dimengerti.
Rahsia langsing
Berbalik kepada badan langsing yang diperolehnya, ia adalah hasil usahanya menjaga makan dan melakukan senaman serta hobi terbaharunya menari tarian bachata.
“Saya baru beberapa bulan mengikut kelas tarian bachata, tariannya mirip tarian salsa. Jika ada masa lapang saya pasti akan ke kelas tarian, selain menyihatkan badan saya juga berazam untuk memahirkan diri dalam tarian itu,” katanya tentang rahsia badan langsingnya.
Bukan itu sahaja, Nurul juga melakukan pekerjaan sampingan sebagai jurulatih kecergasan yang membantu orang ramai terutama peminatnya untuk mendapatkan badan yang sihat dan langsing.
“Dulu badan saya susah nak turun, syukur sejak saya amalkan pemakanan yang sihat, kini berat badan saya turun sebanyak tujuh kilogram dan sekarang berat badan saya adalah 51.5 kilogram.
“Jadi, saya ingin berkongsi pengalaman dengan wanita-wanita lain. Saya berkomunikasi dengan mereka menerusi akaun Facebook saya, selain dekatkan diri dengan peminat saya juga boleh menyihatkan mereka,” tuturnya yang juga duta kepada pusat pelangsingan Glow & Glamour serta produk kanta lengkap, ColourVue.
Filem puntianak
|
|
Kali terakhir kelibat Nurul beraksi di layar perak adalah pada 15 tahun lalu menerusi filem Sate, lakonannya bersama Hairie Othman dan Faizal Hussein. Ketika itu usianya baru menjangkau angka 20 tahun.
Sejak itu, dia tidak pernah terlibat dalam mana-mana produksi filem, cuma beraksi dalam drama sambil memberi fokus kepada bidang nyanyian.
Katanya, bukan dia tidak mendapat tawaran sebaliknya tawaran sering tiba tidak kena dengan waktu ataupun, watak yang ditawarkan tidak bersesuaian.
Namun, tawaran yang diterima daripada rumah produksi Tayangan Unggul untuk terlibat dalam filem seram komedi Tolong! Awekku Pontianak arahan James Lee tidak dapat ditolaknya.
“Kebetulan saya memang berminat untuk berlakon dalam filem seram komedi, jadi tawaran yang diberikan Tayangan Unggul tepat pada waktunya.
“Lagipun watak yang ditawarkan berbeza dengan watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Watak saya sebagai Nadia merupakan puntianak wanita yang jahat dan mangsanya semuanya lelaki,” ceritanya.
Menariknya dalam filem kedua lakonannya itu, Nurul melakukan sendiri semua lagak ngeri termasuklah terbang dan tergantung selama lima jam pada ketinggian bangunan enam tingkat.
“Saya memang seorang yang gayat, jadi bila disuruh terbang dan tergantung pada ketinggian itu, saya akui saya takut. Tetapi ketakutan itu yang mencabar saya untuk melakukan yang terbaik,” ucapnya yang menjalani penggambaran selama enam hari.
Bagaimanapun, sebelum bersetuju untuk melakukan aksi lagak ngeri sendiri, Nurul terlebih dahulu memastikan aspek keselamatan supaya tiada kejadian tidak diingini terjadi.
“Bayangkan kalau terjatuh dari ketinggian enam tingkat bangunan. Tetapi ketika dapat terbang, saya memang seronok sangat sebab bila lagi saya boleh terbang (ketawa).
“Saya bersyukur kerana mendapat tenaga produksi dan tenaga kerja untuk aksi lagak ngeri yang terbaik. Tiada sebarang kecederaan berlaku dan semua orang seronok ketika berada di set penggambaran,” katanya yang mengimpikan untuk memegang watak utama dalam filem pada masa akan datang.
Dalam filem Tolong! Awekku Pontianak yang akan ditayangkan di pawagam pada 7 Julai depan, ia mengisahkan Bob (Zahiril Azim) jatuh cinta kepada Maya (Sazzy Falak).
Maya memiliki seorang adik perempuan bernama Liyana (Liyana Jasmay) yang aktif menjalankan aktiviti puntianak di sekitar kawasan perumahan mereka. Tetapi keadaan menjadi kecoh apabila seorang puntianak bernama Nadia (Nurul) datang dari Johor ke Kuala Lumpur untuk mencari Maya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: