WALAUPUN perjalanan mencari nama pada dalam bidang nyanyian terhenti selama tiga tahun selepas tidak berjaya dalam program realiti Mentor musim ketiga, Keena tidak pernah berputus asa berusaha untuk mencapai impiannya.
Berkat usaha dan minat yang tidak pernah luntur, Keena atau nama sebenarnya, Suriana Ab Wahab yang pernah menjadi protege Awie ini kembali dengan single terbaru yang berjudul Cinta Luluh.
Keena yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Dream Music Sdn. Bhd. telah mendapat kerjasama daripada komposer baru, Y. Hamid dan masih lagi mengekalkan konsep rock yang dianggap sesuai dengan empunya diri.
“Syukur kerana akhirnya Keena dapat hasilkan dan lancarkan single Cinta Luluh ini dan Keena juga akan kekalkan konsep rock kerana bagi Keena, konsep ini sememangnya sudah sebati dan sesuai dengan diri.
“Mungkin juga satu hari nanti, Keena akan menggabungkan irama rock bersama genre yang lain seperti dangdut, irama tradisional dan sebagainya,” ujar Keena yang mana single terbarunya ini dimulakan dengan genre slow rock.
Tambahnya lagi, Cinta Luluh adalah sebuah single yang menggarapkan unsur-unsur cinta kepada Allah, keluarga, rakan dan sesama insan.
Menurut anak kelahiran Kelantan ini, lagu itu dipilih untuk menjadi single pertamanya kerana makna lirik lagunya yang begitu mendalam dan ia pasti boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat kerana mesej yang cuba disampaikan adalah menyeluruh.
Bicara Keena, single pertama mengambil masa tiga tahun kerana setelah keluar daripada program Mentor, banyak tawaran berlakon yang diterimanya. Jadi, oleh kerana ingin memberi fokus terhadap bidang lakonan, Keena terpaksa tangguhkan dahulu kariernya di dalam bidang nyanyian.
“Misi utama Keena kini adalah untuk meneruskan perjuangan di dalam bidang seni, tidak kiralah nyanyian mahupun lakonan.
“Keena telah mempertaruhkan bakat dalam bidang ini dan justeru pastinya Keena tidak akan mensia-siakan segala usaha, pengorbanan dan titik peluh untuk bergelar seorang insan seni dan menjadi pelapis untuk memartabatkan industri muzik tanah air,” ujar Keena yang juga ingin mencuba bakatnya dalam bidang pengacaraan jika diberi peluang.
Bagi Keena, single pertamanya merupakan batu loncatan untuk meluaskan lagi karier untuk bergelar seorang penyanyi di dalam industri muzik tempatan.
Kini, Cinta Luluh telah pun diputarkan di beberapa corong-corong stesen radio swasta dan kerajaan dan telah mula mendapat tempat di hati peminat yang telah lama menantikan kemunculan Keena.
Berehat selama tiga tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Apabila ditanya mengenai album penuh, jawabnya, buat masa ini dia lebih selesa untuk mempromosikan single satu persatu dahulu.
“Perancangan bikin album memang ada, mungkin suatu hari nanti. Beberapa lagu telah disiapkan, dan selepas ini untuk single kedua, Keena belum lagi pilih apa lagu yang hendak dikeluarkan. Apa yang boleh diberitahu, single kedua Keena kelak akan berentak catchy pula,” ujar Keena yang juga sedang menunggu tayangan dua filem lakonannya iaitu Ajak dan Tokak pada bulan Julai kelak.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: