Sunday, June 26, 2011

Menangis lihat penyu bertelur




KELIBAT wanita muda ini tidak lagi asing bagi penduduk Pulau Redang di Terengganu. Ketika remang senja mencipta pemandangan menakjubkan di kaki langit pulau pelancongan terkenal itu, Dr. Juanita Joseph sebaliknya leka mencari sarang penyu bertelur di tepi pantai sebelum mengorek pasir dan mengutip telurnya untuk dikaji.

Pada hari yang lain pula, beliau serius memberi penerangan mengenai penyu secara 360 darjah kepada beratus-ratus pelajar sekolah.

Juanita, 37, kini bagai tidak dapat dipisahkan lagi daripada sang penyu. Beliau mengetuai sebuah institusi penyelidikan penyu yang terkenal di Malaysia iaitu Unit Penyelidikan Penyu (Seatru), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Redang.

Semasa unit itu ditubuhkan pada tahun 1993, Juanita sedang mengikuti pengajian Ijazah Perikanan di Universiti Putra Malaysia (UPM). Terlibat dengan penyelidikan penyu dan dunia marin belum ada dalam fikirannya ketika itu.


PENGALAMAN melihat penyu bertelur menjadi momen yang tidak dapat dilupakan Juanita.


Satu-satunya perkara berkaitan air yang diingati Juanita ialah peristiwa dia menyelam di dalam sungai di kampung halamannya di Penampang, Sabah.

“Dalam keluarga saya, bapa mewajibkan kami adik-beradik belajar berenang dan menyelam. Dia mahu kami menyesuaikan diri dengan kehidupan di darat dan di laut,” kenang anak kepada bekas guru besar Joseph Chin Sang, 69, dan suri rumah, Agnes Majamin, 65, ini.

Pengalaman itulah, kata Juanita, yang mendekatkan dirinya dengan kehidupan sungai dan laut khususnya penyu.

Bagaimanapun, hanya pada tahun 1995 Juanita dapat melihat sendiri spesies itu dari dekat.

“Pada masa itu, saya menjalani latihan amali selama dua bulan di Pulau Taman Penyu yang terletak 40 kilometer dari utara bandar Sandakan.

Pantai

“Pada satu hari sekitar pukul 9 malam, buat pertama kali saya melihat seekor penyu agar bertelur. Perasaan ketika itu biasa sahaja sehinggalah saya nampak ada cecair keluar dari mata penyu tersebut.

“Dalam hati saya berkata, betulkah penyu itu menangis dan kenapa? Tiba-tiba saya teringat lirik lagu ‘Penyu menangis siapa yang tahu’ nyanyian Sudirman.

“Perasaan saya jadi sayu dan benarlah seperti kata orang tua-tua penyu memang menangis. Sejak itu, saya jatuh cinta dengan penyu dan ingin tahu lebih mendalam mengenainya,” cerita beliau.


SUDAH 15 tahun Juanita terlibat dalam bidang penyelidikan penyu di negara ini.


Enggan impiannya hilang begitu sahaja, Juanita menyambung pengajian di peringkat Sarjana di UPM dengan memberi tumpuan kepada populasi penyu di Malaysia pada tahun 1998.

Tidak cukup dengan itu, beliau meluaskan kajiannya, kali ini di peringkat doktor falsafah (Ph.D) di Royal Holloway, Universiti London dalam bidang pemuliharaan genetik penyu di Asia Tenggara.

“Kesempatan melengkapkan ijazah Ph.D telah membuka lebih banyak peluang kepada saya menjelajah dan melawat pantai persarangan penyu di rantau ini. Malah, saya pernah tinggal di pulau terpencil seperti Pulau Con Dao di Vietnam.

“Bukan setakat kajian di daratan, saya juga merupakan penyelam skuba dan telah menjelajah hampir semua pantai di Malaysia dengan membuat kajian berkaitan hidupan dasar laut,” tambah anak kelima daripada enam beradik ini.

Sekarang, sudah 15 tahun Juanita terlibat dalam bidang penyelidikan penyu.

“Kadangkala orang lebih suka bertanya tentang kesihatan penyu yang saya jaga berbanding kesihatan saya sendiri,” katanya kepada Jurnal.

Pulau Redang pula ibarat rumah kedua Juanita. Bermula sebagai pembantu penyelidik di Seatru pada tahun 2000, Juanita dilantik sebagai Ketua Projek unit itu sejak Mei 2009.

“Saya menjejakkan kaki di Pulau Redang pada tahun 1993 ketika mengambil lesen skuba.

“Tak sangka pula selepas hampir 15 tahun, saya kembali lagi ke pulau ini.


JUANITA menerima anugerah Khidmat Komuniti Cemerlang 2011 daripada Universiti Malaysia Terengganu.


“Walaupun sibuk dengan tugasan sebagai pensyarah di kampus UMT di Kuala Terengganu, saya akan berkunjung ke Pulau Redang sebanyak tiga atau empat kali dalam sebulan,” kata pensyarah di Institut Oseanografi UMT ini.

Tidak dinafikan, Seatru popular dalam kalangan sukarelawan pemuliharaan hidupan marin. Menurut Juanita, dalam setahun pihaknya menerima penyertaan kira-kira 300 sukarelawan.

“Dalam seminggu, kami hanya boleh mengambil lapan sukarelawan untuk membantu kami. Program sukarelawan itu dimulakan Seatru di Chagar Hutang.

“Pantai terpencil itu merupakan salah satu daripada tiga kawasan penyu bertelur di Pulau Redang dan isytiharkan sebagai santuari penyu pada tahun 2005.

Si Kudung

“Pada tahun-tahun awal operasi Seatru, kami terpaksa membeli telur penyu daripada pengutip telur berlesen pada harga RM120 sesarang.

“Namun, sumbangan daripada syarikat korporat dan rakyat Malaysia yang prihatin membolehkan kami membeli telur-telur itu dan menetaskannya menerusi kaedah inkubator,” kata Juanita.

Tambah beliau, Seatru yang kini mempunyai lebih 4,000 ahli sukarelawan dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah berperanan untuk mengkaji semua aspek berkaitan biologi dan ekologi penyu termasuk ancaman kepada populasi spesies ini.

“Walaupun pantai Chagar Hutang hanya sepanjang 350 meter, kawasan ini adalah satu-satunya lokasi paling sesuai bagi penyu agar dan karah bertelur.

“Bila tiba sahaja waktu malam, kami akan bersiap sedia dan menanti kehadiran penyu yang datang bertelur. Dengan cara ini sahaja populasi penyu dapat diselamatkan daripada ancaman pengutip telur penyu haram,” ujarnya.

Difahamkan, sejumlah RM500,000 diperuntukkan dari tahun 1993 hingga 2004 untuk membeli sarang berkenaan.

Sejak itu, sebanyak 5,261 sarang penyu agar dan 111 sarang penyu karah dilindungi menerusi program Seatru. Daripada jumlah itu, sebanyak 350,000 ekor penyu agar dan 7,000 ekor penyu karah menetas dan dilepaskan ke laut.

Menurut Juanita lagi, perasaan sedih dapat dirasainya setiap kali melihat peniaga memperdagangkan telur penyu terutamanya di Pasar Payang di Kuala Terengganu.

Namun, beliau mengakui situasi itu amat sukar untuk diatasi selagi wujudnya permintaan daripada pihak tertentu.

“Telur penyu hanya akan menetas dalam tempoh dua bulan. Jika diusik sebelum tempoh itu, kemungkinan ia akan rosak. Ini bermakna seekor penyu telah mati,” katanya.

Berkongsi cerita, Juanita berkata beliau amat merindui seekor penyu bernama Si Kudung.

Jelas beliau, Si Kudung ditemuinya buat kali pertama pada tahun 1996 ketika penyu agar itu mendarat di Pulau Redang untuk bertelur.

“Keadaan Si Kudung yang berumur antara 30 hingga 50 tahun amat menyedihkan. Kaki sebelah kirinya telah terputus.

“Untuk menggali lubang, spesies ini perlu menggunakan keempat-empat kakinya dan Si Kudung tidak mampu melakukannya. Jadi kami terpaksa membantu Si Kudung menggali lubang,” ujarnya lagi.

Istimewanya tentang Si Kudung ialah kesungguhannya untuk naik ke pantai dengan hanya berkaki tiga.

“Memang kasihan melihatnya. Kini kami sentiasa menanti bilakah Si Kudung akan datang ke sini lagi,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: