Sunday, June 26, 2011

Rosnani doktor Zhulian




MELIHAT wajahnya yang putih bersih tanpa sebarang kedutan dan solekan tebal, pasti ramai yang tidak menyangka wanita ini sudah berusia 47 tahun.

Bukan hanya wajah yang putih bersih, susuk tubuhnya yang tinggi lampai turut menyerlahkan lagi personaliti Dr. Rosnani Sabtu.

Pemilik Pusat Rawatan An-Nur di Gangsa Melaka ini mungkin sudah mencapai segala yang diimpikannya. Beliau mempunyai kerjaya yang bagus sebagai doktor perubatan, keluarga yang bahagia bahkan mampu memandu kereta mewah sendiri.

Namun, semua itu tidak datang bergolek. Baginya, kebahagiaan dan kekayaan perlu dicari dan digali.

Lantaran itulah, semasa masih menjadi pegawai perubatan di Hospital Melaka lagi beliau menceburkan diri dalam perniagaan pemasaran berbilang peringkat (MLM) Zhulian Marketing Sdn. Bhd.

Menerusi Zhulian, Rosnani menjual produk kecantikan, barang kemas bahkan produk penjagaan rumah. Ia sangat berbeza daripada kerjaya seorang doktor yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Menurut Rosnani, walaupun beliau boleh merawat berpuluh orang pesakit dalam satu hari tetapi untuk mencari seorang pelanggan Zhulian dalam tempoh 24 jam pada awal perniagaannya dahulu bukanlah perkara mudah.

Positif

“Bukan senang untuk meyakinkan seseorang supaya menyertai perniagaan ini. Silap-silap kita pula akan dilabel penipu,” kata pemilik agensi Zhulian di Batu Berendam, Melaka ini.

Ditambah pula ketika itu tiada kemudahan telefon bimbit dan Internet.

“Jadi saya akan pergi ke rumah kenalan dan kawan-kawan untuk memberi penerangan.

“Saya masih ingat semasa memulakan perniagaan ini pada tahun 1993, suami kepada salah seorang wanita yang saya jumpa itu menentang habis-habisan perniagaan Zhulian ini.

“Mujurlah peristiwa itu tidak pernah mematahkan semangat saya. Saya sentiasa berfikiran positif,” katanya lagi.

Menurut anak kelahiran Parit Jawa, Muar, Johor ini, sejak dahulu lagi beliau berpegang pada satu prinsip iaitu berfikiran positif dalam apa jua keadaan sama ada susah mahupun senang.


WANITA ini bukan sahaja berjaya dari segi perniagaan malah dalam masa yang sama menyandang status doktor dan Pengarah Urusan, Pusat Rawatan An-Nur di Melaka.


Dengan kerjaya sebagai pegawai perubatan pada masa itu mungkin ramai yang bertanya adakah wanita ini tidak cukup wang sehingga terpaksa melakukan dua kerja dengan berniaga Zhulian?

Kata Rosnani, beliau melakukan dua kerja bukan disebabkan tidak cukup wang tetapi lebih kepada untuk menimba ilmu dan memajukan diri sendiri.

“Saya begitu seronok apabila melihat individu berjaya dan mempunyai pendapatan yang baik atas usaha mereka sendiri. Jadi saya fikir saya juga mampu melakukannya” tambah beliau.

Ujar Rosnani lagi, pada waktu itu, beliau menanamkan sifat yakin dan mampu menjadi seorang usahawan dan dalam masa yang sama menjadi doktor yang dapat menabur khidmat bakti kepada masyarakat.

Ternyata usaha selama 18 tahun itu tidak sia-sia. Rosnani kini boleh dikatakan selesa dengan pendapatan yang diraihnya.

Bagaimanapun bagi anak keenam daripada tujuh beradik ini, walaupun sudah mengecapi kejayaan, beliau tidak sekali-kali alpa dengan kesenangan yang dimilikinya.

“Sebab itu saya perlu bekerja lebih keras, dan saya tidak akan sesekali mengaku kalah dengan apa jua kerja yang dilakukan,” katanya yang menganggap dirinya sebagai seorang yang gila bekerja.

Rosnani bagaimanapun berkata, kesibukan sebagai doktor dan ahli perniagaan bukan alasan untuk beliau mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada Siti Amalina, 23, Mohd Afiq, 21, dan Muhamad Aiman, 18, dan isteri kepada Mohamad Hashim Mohd. Shah.

Ujarnya, beliau akan sedaya upaya meluangkan masa dengan keluarga setiap hari.

“Oleh itu, saya jadikan tempat kerja sebagai rumah kedua untuk kami berjumpa. Sebagai contoh, di kedai Zhulian ini, anak kedua saya akan berada di kedai manakala anak sulung saya bekerja di klinik.

“Dengan itu kami boleh berjumpa dengan lebih kerap,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: