Wednesday, June 1, 2011

Maxis terus terajui pasaran

KUALA LUMPUR 31 Mei - Maxis Bhd. (Maxis), meneruskan penguasaannya di dalam industri telekomunikasi tempatan apabila merekodkan margin pendapatan sebelum faedah, cukai penyusutan dan pelunasan (EBITDA) yang kukuh sebanyak RM1.09 bilion bagi suku pertama tahun ini.

Berikutan keputusan yang positif itu, margin EBITDA juga meningkat kepada 51.1 peratus manakala keuntungan selepas cukai sebanyak RM540 juta beserta pertumbuhan ketara bagi hasil bukan suara dengan sumbangan 42.1 peratus kepada keseluruhan hasil mudah alih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sandip Das berkata, Maxis terus menerajui pasaran dalam persekitaran yang sengit serta berjaya mencatatkan prestasi kewangan yang stabil walaupun berhadapan dengan impak bermusim.

"Jumlah langganan kami berjumlah 14.1 juta orang pada suku ini sekali gus menerajui pasaran bagi pasca bayar dan pra bayar dengan 3.3 juta orang dan 10.8 juta orang," katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat kewangan suku pertama 2011 Maxis di sini hari ini.

Suku pertama yang berakhir 31 Mac lalu, Maxis mencatatkan perolehan sebanyak RM2.13 bilion berbanding RM2.15 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.

Penurunan kecil itu disebabkan oleh penurunan hasil suara, kadar sambungan perantara dan perkhidmatan gerbang antarabangsa.

Menurut Das, pasaran suku pertama agak mendatar dan menyebabkan hasil berkurangan dan berikutan itu Maxis cuba untuk mengoptimumkan margin agar berada di atas paras 50 peratus.

Beliau berkata, dalam meluaskan liputannya, Maxis telah membelanjakan RM257 juta selain menambah rangkaian 3G HSPA dan liputan jalur lebar tanpa wayar kepada 80 peratus liputan rangkaian 3G untuk 5,002 kawasan.

"Maxis juga komited untuk meneruskan pelaksanaan teknologi 900Mhz untuk meningkatkan kelajuan perkhidmatan dalam bangunan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: