Wednesday, June 1, 2011

Greece dapat pinjaman baru


kakitangan Hellenic Postbank memegang replika tabung bank itu dengan memaparkan perkataan 'untuk dijual'. Kerajaan Greece akan mewujudkan entiti baru, Dana Hartanah Awam bagi memantau pelaksanaan penswastaan yang menyaksikan penjualan aset negara.


ATHENS 31 Mei - Greece akan menerima pinjaman baru dari Eropah dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas ia melaksanakan penswastaan dan pengurangan perbelanjaan.

Akhbar Ta Nea melaporkan negara itu telah memuktamadkan rundingan dengan Kesatuan Eropah, IMF dan Bank Pusat Eropah bagi pinjaman baru yang dipetik daripada sumber di Brussels.

Pinjaman baru itu dijangka mencecah sehingga 60 bilion euro atau AS$86 bilion (RM258 bilion) bagi membolehkan Greece memenuhi jadual pembayaran mulai tahun depan.

Sebagai balasan daripada pinjaman itu, kerajaan akan membuat pengurangan tambahan sehingga 10 peratus kepada kakitangan kerajaan yang memperoleh gaji tinggi dan melaksanakan prosedur ketat dalam pengambilan pekerja.

Kerajaan Greece didakwa akan mengisi hanya satu kekosongan jawatan bagi setiap 10 jawatan yang ditawarkan.

Sebuah entiti baru yang dikenali sebagai Dana Hartanah Awam juga akan diwujudkan untuk melihat pelaksanaan penswastaan.

Penswastaan itu diwujudkan bagi meraih kira-kira 50 bilion euro (RM215 bilion) melalui penjualan aset negara seperti syarikat telekomunikasi dan tenaga.

IMF, EU dan Bank Pusat Eropah telah memberi bantuan kewangan kepada Greece sebanyak AS$157 bilion (RM471 bilion).

Greece perlu menjadual semua ansuran pinjaman yang berjumlah 12 bilion euro (RM51.6 bilion) dengan membayarnya pada Julai nanti.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: