Wednesday, June 8, 2011

Laluan Hijau PKS inovatif

TERBAIK...Muhyiddin menyampaikan piala kepada Pengarah Urusan ProEight,  Azhar Zainal Abidin sambil  disaksikan Mohamed Al Amin (tengah) dan Mukhriz.
TERBAIK...Muhyiddin menyampaikan piala kepada Pengarah Urusan ProEight, Azhar Zainal Abidin sambil disaksikan Mohamed Al Amin (tengah) dan Mukhriz.

SEKTOR Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menerima satu lagi insentif daripada kerajaan menerusi pengenalan pakej Laluan Hijau sebagai galakan untuk pemain industri berkenaan agar lebih berinovatif dalam penghasilan produk bagi menyokong pertumbuhan masing-masing.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PKS yang layak akan mempunyai akses terhadap potongan cukai atas perbelanjaan bagi mendapatkan Persijilan 1-innoCERT seperti audit tapak, persijilan dan kos logistik.


“Selain itu, kemudahan rebat faedah sebanyak dua peratus untuk pinjaman yang diluluskan oleh Institusi Pembangunan Kewangan (DFIs) dan duti setem dikecualikan untuk dokumen perjanjian turut diberikan.

“Bukan itu saja, pemotongan cukai diberikan untuk mendapatkan pensijilan 1-Innocert dan diberikan pendaftaran segera di dalam e-Pemerolehan, berbanding tujuh hari sekarang ini kepada sehari, sebaik saja mengemukakan dokumentasi lengkap,” katanya selepas merasmikan pameran SMIDEX 2011: Pameran Inovasi PKS di Kuala Lumpur, semalam.


Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi SME Malaysia, Datuk Ir Mohamed Al Amin Abdul Hadi.


Beliau berkata, sektor PKS kini menyumbang antara 40 dan 60 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain menyediakan kira-kira 70 peratus peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

“Di dalam menyokong pembangunan dan pertumbuhan sektor ini, kerajaan memperuntukkan dana RM26.6 bilion bagi program pembangunan untuk manfaat lebih 2.4 juta orang dan tahun ini kerajaan melalui pelbagai kementerian serta agensi turut melaksanakan 219 program pembangunan bernilai RM5.9 bilion,” katanya.


Pada majlis itu juga, syarikat Proeight Offshore Engineering Sdn Bhd memenangi Anugerah Inovasi Terbaik di dalam Pengeluaran serta Anugerah Hadiah Utama dengan menerima wang tunai keseluruhan berjumlah RM1.2 juta.

Sementara itu, Mukhriz berkata SME Corp bekerjasama dengan Sirim Bhd bagi melaksanakan penilaian dan audit meluas 1-InnoCERT bagi tahun ini dengan sejumlah 169 syarikat telah melalui penilaian dalam talian, apabila tujuh daripadanya adalah syarikat ulangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: