Wednesday, June 8, 2011

Poland tertekan

STADIUM NARODOWY, WARSAW
STADIUM NARODOWY, WARSAW

DENGAN hanya baki setahun menjelang Euro 2012, tuan rumah bersama Euro 2012 iaitu Poland kini berdepan tekanan untuk memastikan persiapan serba sempurna menerusi pemantauan rapi setiap hari, ketika penganjur mengakui semuanya berjalan lancar.

Fokus ketika ini terarah kepada masalah pemasangan tempat duduk di stadium nasional baru di Warsaw, ibu negara berkenaan di mana sepak mula Kejuaraan Eropah itu akan berlangsung pada 8 Jun 2012.

Firma pembinaan itu sudah menerima peringatan terakhir dan pegawai tinggi turut campur tangan termasuk Perdana Menteri, Donald Tusk.

Selepas penangguhan pembinaan stadium di bandar pelabuhan Baltic di Gdansk memaksa Poland menukar venue perlawanan persahabatan dengan Perancis ke stadium kelab di Warsaw, esok mereka tidak mahu kejadian sama berulang untuk perlawanan pertama di stadium berkenaan menentang Jerman pada 6 September ini.


Dalam nada suram, akhbar Falk menyiarkan tajuk berita: “Mungkinkah penganjuran Euro 2012 akan ditarik balik?” manakala sebuah lagi akhbar, Polska melaporkan, “Adakah Euro 2012 di luar kemampuan kita?”


Jurucakap badan pe�nganjur PL.2012, Mikolaj Piotrowski menegaskan tajuk berita berkenaan agak menyimpang.

“Dengan baki setahun lagi, kami masih cukup selamat, biarpun masih banyak yang perlu dilakukan pada masa depan,” katanya.

“Saya ingin memberitahu bahawa Euro 2012 tidak terjejas,” katanya.

Masalah infrastruktur dilihat mencetuskan kebimbangan sejak 2007, apabila badan induk bola sepak Eropah, Uefa memilih Poland dan Ukraine sebagai tuan rumah bersama untuk pertandingan 16 negara, mengetepikan calon pilihan, Itali.

Sebagai kejohanan edisi pertama di bekas negara Tirai Besi itu, ia satu persembahan yang cukup dinantikan.

“Kami akan menjadi tumpuan berbilion peminat bola sepak,” kata Piotrowski.
Austria dan Switzerland menganjurkan Euro 2008, sementara Euro 2016 akan diadakan di Perancis.

Era komunis di negara itu berkubur dua dekad lalu tetapi Poland yang menyertai Kesatuan Eropah pada 2004 bakal berdepan pelbagai cabaran biarpun berjaya mengatasi kegawatan ekonomi.

Laporan persediaan Uefa 2008 memberikan kad kuning kepada negara itu dan perlu bekerja keras untuk memulih�kan imej mereka.

Stadium pertama Euro 2012 di Poland, terletak di Poznan dibuka September lalu.
Stadium di Gdansk dan Warsaw dijangka sedia digunakan dalam tempoh beberapa bulan lagi manakala arena terakhir di Wroclaw, dijangka siap Oktober ini.

“Kualiti, keselamatan dan piawaian adalah sesuatu yang cukup penting. Stadium Gdansk tidak hanya dibina secara khusus untuk perlawanan menentang Perancis. Stadium ini dibina untuk Euro 2012 dan selepas itu,” katanya.

Pemerhati Euro di Uefa, Martin Kallen memberitahu, masalah seperti ini biasa dihadapi dalam mana-mana kejohanan utama.

“Kami berpuas hati dengan apa yang berlaku tetapi kami memantaunya setiap hari. Masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian tetapi tidak perlu berasa panik,” katanya.

Beliau membandingkannya dengan persediaan tuan rumah Euro 2004, Portugal.

“Kami berada di tahap yang sama, atau sedikit ketinggalan,” katanya.

Pelaburan berkaitan Euro 2012 di Poland ini kini mencapai 80 bilion zloty (RM89.3 bilion) majoritinya membabit�kan pengangkutan.

Sembilan puluh peratus daripadanya membabitkan wang rakyat, hampir separuhnya digunakan daripada tabungan EU yang digunakan untuk membantu negara miskin di kalangan 27 negara dalam kesatuan itu.

Orang ramai yang bercuti kini berdepan kesesakan lalu lintas berikutan kerja menaik taraf jalan raya dan jalan kereta api.

Pegawai memaklumkan pengangkutan di negara itu perlu dinaik taraf untuk meningkatkan ekonomi negara itu dengan jaringan lebih raya yang kurang memuaskan di negara yang mempunyai penduduk seramai 38 juta itu.

Bagaimanapun hanya 45 peratus daripada lebuh raya yang dirancang serta 40 peratus rel kereta api dijangka siap pada 2012 menurut Janusz Piechocinski dari suruhanjaya infra�struktur di parlimen.

Ketika sesi kelayakan masih berlangsung, pe�nganjur perlu menunggu sehingga 2 Disember untuk melihat pasukan manakah akan bermain di Poland atau Ukraine.

“Kami membayangkan pelbagai kemungkinan,” kata Piotrowski yang meng�anggarkan seramai 1 juta hingga 1.5 juta. “Siapa, dari mana, dan bagaimana mereka ke Poland, sama ada menaiki kereta api, kereta, kapal terbang atau feri.

Kallen berkata Uefa berpuas hati dengan soal penginapan penonton.

Pihak berkuasa Poland juga bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan untuk menghadapi 5,000 perusuh bola sepak di negara itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: