Wednesday, June 8, 2011

Menangis seronok

MERIAH...kemeriahan cukup terasa bagaikan kenduri kahwin.
MERIAH...kemeriahan cukup terasa bagaikan kenduri kahwin.

MAJLIS bermula jam 12 tepat dengan jamuan makan tengah hari. Tetapi sebelah pagi ada doa selamat, berzanji dan persandingan. Suasana di tengah rumah tampil berseri-seri. Ada pelamin dihias indah. Di kiri kanannya ada bunga pahar keemasan.

Ini bukan majlis kenduri kahwin tetapi majlis berkhatan untuk tiga sepupu; Mohammad Syakir Usamah, 9, Mohd Zulfiqar Ahmad Zaki, 11 dan Shahrul Nizam Ahmad Zaki, 10.

  • Foto

    KERENAH...Salunah menyuap minum Zulfiqar.

  • Foto

    SEDAPNYA...hidangan istimewa buat ‘pengantin kecil’.

  • Foto

    PENGALAMAN MENARIK...Roszalina (kanan) bersama Salunah tidak sangka majlis begitu meriah.

  • Foto

    PENGANTIN KECIL...(dari kiri) Zulfiqar, Syakir dan Shahrul.

Majlisnya meriah, umpama majlis kenduri kahwin kerana tiga budak yang bakal menjengah alam dewasa diraikan seperti zaman dulu - bersanding dan dihidang lauk-pauk istimewa.

Keadaan ini mungkin sudah agak jarang dilakukan sekarang kerana upacara berkhatan sudah menjadi bertambah senang dengan adanya klinik swasta yang menawarkan pakej khatan sempena cuti sekolah. Kehadiran tok mudim ke rumah rasanya sudah tidak ada lagi.


Syakir, Zulfiqar dan Shahrul bertuah kerana keluarga mereka mahu meneruskan tradisi yang semakin terpinggir ini.


Ibu kepada Zulfiqar dan Shahrul, Salunah A Jalan, 42, sangat teruja kerana dua anaknya sekali berkhatan sempena cuti sekolah kali ini.

“Alhamdulillah, seluruh ahli keluarga membantu kami menjayakan majlis yang diadakan di rumah ibu mentua di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak.

“Tidak sangka majlis berlangsung sungguh meriah, semuanya berjalan dengan lancar seperti dirancang,” katanya.

Menurut Salunah, kedua-dua anaknya sendiri tidak sabar menunggu hari majlis berkhatan yang diadakan untuk mereka.

“Mereka ini mungkin berbeza dengan kanak-kanak dulu yang selalunya takut hendak berkhatan sebaliknya kedua-duanya teruja hendak melalui suasana yang sangat bermakna bagi budak lelaki.

“Bersunat zaman sekarang tentu saja banyak perbezaannya berbanding zaman dulu. Mungkin kerana peralatan semakin canggih jadi semuanya mudah dan tidak seremeh dulu,” katanya.

Salunah sebenarnya tidak terfikir hendak mengadakan majlis yang begitu meriah bagi meraikan hari berkhatan dua anak lelakinya. Namun dia gembira dapat berkongsi hari bermakna itu bersama saudara mara dan jiran tetangga.

“Kemeriahannya macam kenduri kahwin pula dan ini pasti menjadi kenangan manis buat kami sekeluarga terutama pada Zulfiqar dan Shahrul,” tambah ibu kepada empat anak yang berasal dari Sabah ini.

Jika pengalaman mengkhatankan anak adalah pengalaman kedua bagi Salunah, Roszalina Ahmad pula adalah pengalaman pertamanya.

“Pertama kali anak lelaki bersunat memang sebagai ibu rasa kekok tetapi saya bersyukur Syakir tidak banyak kerenah dan sentiasa menurut kata orang tua.

“Memang pernah terfikir mahu mengadakan majlis untuk anak saya tetapi tidak sangka keluarga mentua mempunyai hajat yang sama, jadi kami jadikannya kenyataan,” katanya.

Roszalina, 39, berasal dari Kampung Som, Jerantut, Pahang, berkata dia berasa seolah-olah menjadi ibu pengantin.

“Bercampur-baur perasaan saya. Berdebar-debar, bimbang dan macam-macam lagi kerana anak sulung lelaki saya hendak berkhatan. Sekarang baru tahu bagaimana perasaan ibu yang resah apabila anak sendiri yang mahu berkhatan,” katanya.

Roszalina sebenarnya bimbang Syakir menangis atau meronta-ronta tidak mahu berkhatan pula di hari yang ditetapkan tetapi dia bersyukur semuanya berjalan lancar.

“Dia dapat menahan sakit walaupun pada mulanya dia menangis, kemudian boleh ketawa pula,” katanya yang berada di dalam bilik doktor sepanjang proses berkhatan berlangsung kerana mahu menemani anak kesayangannya.

Cerita Roszalina, majlis meriah sebenarnya sudah sedia diatur oleh keluarga mentuanya dan lebih banyak membabitkan adat istiadat negeri Perak. Bagi dia dan birasnya, Salunah, majlis ini memberi pengenalan serta pendedahan kepada mereka mengenai budaya dan adat negeri suami masing-masing.

“Syakir sebenarnya agak terkejut kerana perlu bersunat cuti sekolah kali ini. Ini kerana perancangan awal sebenarnya tahun hadapan tetapi akhirnya dia sendiri seronok kerana dapat melaluinya bersama dua sepupunya,” katanya.

Selepas majlis berakhir, tugas ibu berdua itu tidak selesai lagi. Mereka perlu menjaga anak masing-masing sehingga sembuh daripada luka berkhatan. Kerenah masing-masing memang pelbagai tetapi tetap dituruti dengan sabar. Demikianlah kasih ibu, sentiasa berkorban demi anak-anak tercinta.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: