Sunday, June 19, 2011

Lagu kisah rumah tangga


SOHAIMI muncul lagi dengan idea terbarunya, kali ini memberi nasihat dan pengajaran untuk kaum ibu dan bapa pula.


NAK buat lagu bukan mudah sekarang. Dah tak boleh buat lagu cinta macam muda-muda dulu. Bukan apa, saya dah ada anak yang besar panjang, jadi kena lebih sensitif pada semua perkara sebelum buat sebarang lagu,” jelas Sohaimi Mior Hasan.

Memang benar, penangan penyanyi ini cukup berbisa. Sejak kembali memanaskan arena muzik tanah air dengan lagu Kalau Berpacaran, lagu tersebut cukup ‘berhantu’ dan diminati ramai.

Bukan sahaja menjadi siulan anak muda, tetapi turut digemari seisi keluarga. Cukup terkesan dengan fenomena ciptaannya itu, Sohaimi yakin percaturannya menjadi.

Tidak mahu terus berpuas hati dengan kejayaan yang dikecapi menerusi Kalau Berpacaran, kini penyanyi yang pernah mencetuskan populariti dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley sekitar awal tahun 1980-an ini membuat percaturan baru.

Dia yang baru sahaja selesai merakamkan lagu Dalam Berumah tangga bersama Erra Fazira dan Dani cukup teruja dengan penglibatan pelakon dan penyanyi yang cukup popular itu.

Dani pula merupakan pendatang baru dalam industri seni tanah air dicungkil bakatnya melalui pertandingan Bintang Klasik Nasional.

Pancaindera yang berkesempatan berkunjung ke Studio NAR Record di pinggir ibu kota baru-baru ini sempat menyaksikan sendiri ketiga-tiga penyanyi ini merakamkan lagu Dalam Berumah tangga itu.

Cukup teruja dengan komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh mereka yang terlibat dalam proses membuat lagu ini, Sohaimi mengharapkan agar lagu ini bakal meledak sedikit masa lagi.

“Memang sudah lama saya menyimpan niat untuk berduet dengan Erra. Tapi atas kesibukan Erra dengan pelbagai projek, niat itu terpaksa ditangguhkan dan baru sekarang ia dapat dilakukan.

“Sebenarnya lagu ini merupakan kesinambungan kepada Kalau Berpacaran. Cuma saya mahu masukkan elemen dalam rumah tangga yang memang jarang diketengahkan.

“Bukan apa, banyak sangat perkara dalam rumah tangga yang orang lain tak tahu. Apa salah saya selitkan mesej yang baik untuk semua orang yang dah berumah tangga.

“Banyak sangat orang kita lupa apa yang perlu mereka lakukan bila dah berkeluarga. Kesibukan sesetengah daripada mereka kadangkala buat anak terabai. Adakah kita benar-benar bertanggungjawab?” kata Sohaimi lagi.

Bercerita lanjut dengan anak kelahiran Perak ini lagi, dia cukup yakin formula yang diguna pakai ini mampu memberikan ‘pulangan’ seperti mana yang diharapkan.

“Kalau sambutan yang diterima terus menunjukkan hasil yang positif, tidak mustahil untuk saya membuat kembali album baru dengan memuatkan lagu-lagu sebegini.

“Nak buat lagu balada kisah cinta tu, memang dah bukan zaman saya. Tak sesuai pun kalau nak nyanyi lagu cinta. Baik saya fokus pada lagu-lagu berunsur nasihat yang memang jarang diketengahkan sekarang,” katanya lagi.

Erra Fazira kembali

EMPAT tahun tidak merakamkan sebarang lagu, ternyata tempoh ini sememangnya memberikan rasa rindu yang mendalam buat Erra Fazira. Kesibukan sebagai isteri, ibu dan pelakon membataskan kerjaya nyanyian Erra selama ini.

Cuma penglibatan penyanyi ini dalam program realiti Mentor membuah hasil apabila orang mula buka mata kembali pada Erra yang pernah popular dengan lagu Yang Terindah Hanya Sementara ini lagi.

“Sudah lama abang Sohaimi tawarkan Erra menyanyi bersamanya. Cuma masa sahaja yang menjadi kekangan dan selepas Mentor selesai barulah saya berkesempatan masuk ke studio.

“Saat kali pertama kami berbincang mengenai lagu ini, saya sudah jatuh hati pada bait-bait lirik dan susunan melodi lagu yang dibuat oleh abang Sohaimi.

“Memang ini pengalaman yang menarik memandangkan saya sendiri sudah lama tak masuk ke dalam studio untuk rakaman. Macam sesi pemanas badan,” jelas Erra lagi.

Sambil membayangkan lagu ini persis lagu duet P. Ramlee dan Saloma, Erra cukup berbangga kerana dia menjadi pilihan penyanyi hebat itu apatah lagi lagu yang disampaikan lain daripada yang lain.

Akui Erra dia cukup yakin lagu ini mampu diterima ramai memandangkan melodi lagu itu sendiri yang cukup indah dan tidak mustahil untuk mencetuskan fenomena seperti mana lagu sebelumnya.

“Niat nak aktif tu memang dah ada sejak dulu. Kalau single ni berjaya, tak mustahil untuk saya teruskan karier nyanyian dengan single yang lain. Niat nak buat album tu tak pernah padam walaupun kesuntukan masa.

“Insya-Allah saya tetap akan muncul dengan projek khas dengan Suria Record. Memang dah ada perjanjian antara kami dan saya cuba untuk selesaikan juga.

“Ramai juga yang tanya kenapa tak aktif macam dulu. Untuk pengetahuan semua memang masih ada minat dan cita-cita nak menyanyi balik, cuma keutamaan tu dah terbatas dengan macam-macam drama.

“Apa yang paling penting saya mampu buat. Kalau tak mampu saya tak akan buat sebab banyak komitmen lain yang kena didahulukan,” luah Erra jujur.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: