Sunday, June 19, 2011

Nostalgia 27 tahun legenda rock


SUARA Ito tidak berubah meskipun semakin berusia.


DUA kumpulan legenda rock tanah air, Sweet Charity dan Blues Gang sekali lagi akan bergabung selepas 27 tahun tidak bersatu di pentas. Kali ini bagi menjayakan konsert 2 Raksaksa berlangsung pada 9 Julai depan di Stadium Merdeka Kuala Lumpur.

Sebelumnya, dua kumpulan legenda rock ini pernah menghiburkan peminat-peminat mereka dengan konsert seumpama ini pada 1984 lalu yang begitu menggamit memori kepada mereka serta para peminat muzik rock tanah air ketika itu.

Menurut vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip, konsert tersebut merupakan peluang untuk mengembalikan semula memori 27 tahun lalu, ketika konsert pertama mereka.

“Konsert ini merupakan kesinambungan daripada konsert pertama kami yang diadakan pada tahun 1984, yang banyak memberi kami kenangan manis.

“Ia juga bakal mengembalikan nostalgia dan mengubat kerinduan peminat-

peminat Blues Gang dan Sweet Charity yang bukan sahaja terdiri daripada golongan tua tetapi juga muda,” katanya pada sidang media Konsert 2 Raksasa 2011 di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jelas Ramli lagi, meskipun bakal mengadakan persembahan tanpa dua orang anggota kumpulan asalnya, ia sedikit pun tidak menjejaskan persembahan mereka.

“Kami menerima hakikat perkara tersebut merupakan ketentuan Ilahi, ada banyak kenangan antara kami semua. Tapi kami yakin dengan membawa tiga pemuzik undangan pastinya persembahan kami nanti akan tetap sama seperti biasa.

“Kita membawa tiga pemuzik undangan iaitu Hamid Ahmad, Kudin Ramly dan Kamrulbahrin Hussin ini kerana kami yakin mereka mampu mengimbangi dan mengikut rentak muzik kami,” katanya. Sejumlah kutipan penjualan tiket konsert kelak akan diberikan kepada keluarga dua pemuzik yang telah meninggal dunia.

Sementara itu, bagi vokalis Blues Gang, Ito, sebab utama mereka mengambil masa yang begitu lama untuk mengulangi kenangan indah itu kerana tiada masa dan penganjur untuk tampil semula mengadakan persembahan segah itu.

“Memang kami menunggu masa yang lama biar dapat buat satu konsert yang besar seperti yang dulu, masing-masing ada komitmen sendiri itu antara punca nak buat konsert agak susah. Tapi faktor utamanya ialah, ketiadaan penganjur,” katanya.

Menyentuh mengenai stamina dan kekuatan mereka berbanding 27 tahun yang lalu, jelas Ito, itu bukanlah satu masalah utama kerana masing-masing mempunyai pengalaman berpuluh tahun beraksi di pentas.

“Kami rasa tiada sebarang masalah tentang itu kerana kami menyanyi menggunakan teknik tertentu dan bukan menggunakan kudrat.

“Biarpun kami sudah agak lama tidak muncul di televisyen tetapi kami masih aktif sebagai penyanyi, saya yakin kami mampu melakukannya,” katanya.

Tiket konsert yang dianjurkan oleh Netzah Productions Sdn Bhd ini dijual dengan harga RM 73.00 dan boleh didapati di www.airasiaredtix.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: