Sunday, June 26, 2011

Kumpul kereta antik

HEBAT... kereta  Duesenberg keluaran 1931 yang dibaik pulih oleh Jay Leno kini berharga RM3 juta.
HEBAT... kereta Duesenberg keluaran 1931 yang dibaik pulih oleh Jay Leno kini berharga RM3 juta.

JAY Leno sering digelar ‘pengumpul kereta terhebat dunia’ memandangkan dia memiliki lebih 100 kereta dan motosikal, kebanyakannya yang jarang dilihat dan amat mahal.

Hos rancangan ‘Tonight Show’ itu pernah berkata: “Adalah lebih murah untuk memiliki 35 kereta dan seorang kekasih daripada sebuah kereta dan 35 kekasih.”

Satu daripada koleksi terbaru Leno ialah sebuah kereta Dusenberg Model J yang dikeluarkan pada 1931 yang kini dianggarkan berharga AS$1 juta (RM3 juta) serta menyebabkan dia disaman. Kes itu bagaimanapun diselesaikan baru-baru ini.


Terma penyelesaian itu dirahsiakan tetapi akhbar New York Post memetik satu sumber bahawa keluarga yang terbabit dalam kes itu mendapat sejumlah wang, tetapi bukan daripada Leno. Leno pula mendapat hak terhadap kereta itu.

  • Foto

    DULU... keadaan kereta yang usang ketika Leno membelinya pada 2005.

  • Foto

    SEKARANG... pandangan belakang Duesenberg di garaj Leno.

  • Foto

    MEMUKAU... bahagian enjin kereta Duesenberg Model J.

  • Foto

    BANGGA... Leno dengan kereta Duesenbergnya.

Ronald Berg dan Bruce Bronster, peguam Leno memberitahu akhbar berkenaan, anak guamnya gembira dengan hasil penyelesaian itu.


Saman berkenaan mendakwa Leno memperoleh kereta berkenaan menerusi jalan ‘kotor.’ Pada 2005, kereta Duesenberg itu dan sebuah lagi kereta vintaj milik John Strauss, cucu pengasas bersama Macy’s dan mangsa Titanic, Isador dan Ida Strauss, dilelong.


Strauss berusia 85 tahun ketika itu dan menghadapi masalah hilang ingatan, kata keluarganya.

Menurut mereka, garaj New York itu yang menyimpan kereta vintajnya selama puluhan tahun mengancam melelong kereta berkenaan untuk membayar tunggakan bil parkir yang dihutang Strauss.


Menurut akhbar New York Post, Strauss menjelaskan bil berkenaan tetapi kereta itu tetap dilelong.

Seorang pembeli membeli kereta Rolls Royce buatan 1930 sementara Leno membeli kereta Dusenberg Model J yang dibuat pada 1931 dengan harga AS$180,000 (RM540,000).

Leno berkata, harga itu berpatutan memandangkan kereta itu sudah berkarat dan dalam keadaan teruk selepas dibiarkan dalam garaj yang bocor selama puluhan tahun.


Minat Leno terhadap kereta itu muncul beberapa tahun lalu.


Dia memiliki beberapa kereta klasik Duesenberg yang diletakkan di bahagian tersendiri di Big Dog Garage miliknya di kawasan perindustian Burbank, California.


Koleksi besar-besaran kereta Leno meliputi tiga gudang yang setiap satu mempunyai kawasan seluas padang bola sepak. Temboknya dihiasi dengan poster kereta klasik.


Leno menggaji beberapa mekanik untuk menjaga keretanya dan dia mempamerkan operasinya itu dalam laman webnya, Jay Leno’s Garage.


Antara yang dimilikinya ialah beberapa Stanley Steamer, kereta menggunakan kuasa wap yang dikeluarkan pada awal 1900-an; kereta elektrik Baker keluaran 1909, sebuah kereta Auto dua silinder 1916, kereta Ford Model T, pikap Ford 1934 (kereta koleksi pertamanya) dan beberapa Lamborghini, Bughatti, Bentley, dan kereta McLaren F1 yang boleh mencecah kelajuan 320 kmj.


Mengenai Duesenberg Model J, Leno berusaha keras memulihkannya, menjadikan kereta itu ‘lebih baik daripada baru.’

Leno berkata, kereta itu adalah kereta Duesenberg yang terakhir diketahui masih dalam simpanan pemilik asalnya.


Menurutnya, ia ditempatkan di garaj di Manhattan sebaik selepas dibeli pada 1931.


Leno berkata: “Saya tidak pasti kenapa. Mungkin kerana era kemelesetan. Mungkin kerana ia terlalu cantik untuk zaman itu. Apa saja kemungkinan yang boleh difikirkan.

“Tidak banyak yang berlaku sehinggalah kami mengeluarkannya pada 2005.”

Katanya lagi: “Yang menyedihkan, kereta itu rosak teruk. Terdapat kebocoran pada bahagian bumbung garaj di Manhattan itu dan selama 60 hingga 70 tahun air menitik pada bahagian belakang. Kerja untuk membaik pulihnya sungguh rumit.


Kabin di dalamnya pula penuh dengan tayar reput.


Untuk itu, Leno mengupah Randy Eama, yang orang paling pakar mengenai Duesenbergs, untuk membaik pulihkan kereta itu untuknya.


Odometernya menunjukkan 7,000 batu. Tetapi apabila mereka membongkar enjinnya satu per satu, mereka dapati pembatuannya jauh lebih tinggi, mungkin 107,000 batu.


Mereka juga membuang antara kira-kira 18 kilogram kotoran dan gris.


Leno berkata: “Kami berjaya membaik pulihnya. Ia kini lebih baik daripada yang baru. Badannya diperbuat oleh syarikat Woods yang turut membina pedati jenazah Lincoln (bekas Presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln).


“Ia juga adalah kereta yang dinaiki orang kaya di sekitar New York.” Menurut Leno, dia percaya Presiden Herbert Hoover adalah antara mereka yang pernah menaikinya.


Kini, Leno mengelilingi Los Angeles dengan kereta klasik Duesenberg itu, menghidupkan semula era kegemilangan kereta berkenaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: