Sunday, June 26, 2011

Asyik melihat Tango di La Ventana Tango

Tarian itu menjadi darah daging rakyat Argentina sejak sekian lama.
Tarian itu menjadi darah daging rakyat Argentina sejak sekian lama.

TANGO dan Argentina tidak dapat dipisahkan. Ini dapat dirasakan ketika berada di negara terbabit di mana tarian itu menjadi darah daging rakyatnya sejak sekian lama. Oleh itu, tidak lengkap melancong ke negara Amerika Selatan itu jika tidak menonton tarian berkenaan.

Penulis bersama isteri dan tiga lagi rakan tidak melepaskan peluang menyaksikan tarian yang lahir di negara berkenaan ketika berkunjung ke Buenos Aires, baru-baru ini. Persembahan selama dua jam dengan bayaran RM140 seorang di La Ventana Tango, San Telmo di bandar raya itu sungguh mengasyikkan.


Turut sama menyaksikan persembahan itu ialah rakan karib penulis yang juga Duta Besar Malaysia ke Argentina, Datuk Zulkifli Yaacob dan isteri, Datin Jamilah Mohamad Yusof. Zulkifli sendiri secara bergurau memberitahu penulis jangan pulang ke Malaysia jika tidak menonton tango.

Memang benar kata beliau. Rasanya hilang sesuatu jika tidak menonton tarian itu.

Malangnya, penonton tidak dibenar merakamkan gambar persembahan pada malam itu bagi mengelak gangguan kepada penari tango. Penonton termasuk penulis kecewa kerana tidak dapat merakamkan tango untuk dijadikan kenangan.

  • Foto

    Penulis (kiri) bersama Zulkifli dan rakan, Khoo Kiam Hong di ladang kuda Santa Susana

  • Foto

    UNIK...bangunan kedai warna-warni di Caminito, La Boca,

  • Foto

    SANTAI...kawasan di Caminito, La Boca menjadi tumpuan pelancong.

  • Foto

    WARISAN...bangunan lama menjadi perhatian di Buenos Aires.

Bagaimanapun, jika mahu menyaksikan secara percuma pelancong boleh mengunjungi kawasan Caminito di La Boca tetapi persembahannya tidak sehebat di La Ventana Tango.

Apapun, ia tetap menarik perhatian pengunjung yang bersiar-siar di kawasan itu sambil menyaksikan deretan bangunan kedai berwarna warni berbeza dari tempat lain di Buenos Aires. Banyak aktiviti diadakan di Caminito iaitu antara kawasan tumpuan pelancong. Tarian itu juga boleh disaksikan di beberapa tempat lain sekitar bandar raya itu yang kebanyakannya dikenakan bayaran.


Selain tango, penulis dibawa Zulkifli berkunjung ke ladang kuda Santa Susana kira-kira sejam perjalanan dari Buenos Aires. Ia pengalaman berbeza kerana pertama kali mengunjungi ladang kuda di luar negara. Ladang berkenaan memang menjadi tumpuan pelancong untuk melihat aktiviti yang disediakan seperti gauchos (koboi) mengendalikan kuda sambil menunjukkan aksi menghiburkan.


Tidak hairanlah mengapa bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed sering berkunjung ke Argentina untuk menunggang kuda kerana ia menjanjikan pengalaman berlainan. Bagaimanapun, penulis tidak pergi ke ladang yang dikunjungi Dr Mahathir kerana pada waktu itu tiada aktiviti dilakukan berikutan pemiliknya yang juga rakyat Malaysia berada di luar Argentina.

Di Santa Susana, penulis dapat melihat bekas rumah pemilik ladang pada zaman dulu yang kini dijadikan muzium. Pengunjung yang pandai menunggang kuda boleh berbuat demikian sambil meninjau sekitar ladang tersebut. Jika tidak boleh menunggang kuda, cukup sekadar menaiki kereta kuda yang dikendalikan gauchos.

Jika selama ini hanya menyaksikan kereta kuda dalam filem koboi, penulis berpeluang menaikinya bersama beberapa pelancong lain. Selepas menjalankan aktiviti itu, penulis juga berpeluang menonton persembahan tradisional dan tidak ketinggalan tango turut dipersembahkan. Pendek kata, tango memang tidak boleh dipisahkan dengan Argentina.

Apa lagi yang menarik di Buenos Aires? Sudah pasti bola sepak. Penulis tidak melepaskan peluang berkunjung ke stadium bola sepak Boca Juniors yang terkenal di Argentina sambil membeli cenderahati seperti jersi dan topi. Kelab ini terkenal kerana banyak menjuarai kejohanan besar termasuk liga negara berkenaan.

Bintang bola sepak terkenal, Diego Maradona dan Carlos Teves pernah bermain dengan kelab ini. Patung Maradona boleh disaksikan sebaik saja melangkah masuk ke muzium stadium berkenaan. Ia ramai dikunjungi pelancong, terutama dari Amerika Selatan. Selain Boca Juniors, pelancong boleh berkunjung ke stadium River Plate di bandar raya itu iaitu pasukan yang menjadi musuh tradisi Boca Juniors.


Bagaimana dengan membeli-belah? Sudah pasti Buenos Aires dikenali sebagai syurga barangan kulit seperti beg, kasut dan jaket. Pelancong tidak melepaskan peluang membeli barangan berkenaan kerana selain kualiti terjamin harganya juga berpatutan, malah lebih murah berbanding negara lain.

Ia boleh didapati sekitar Buenos Aires terutama di Florida Street dan Santa Fe yang menjadi tumpuan pelancong. Jadi tidak hairanlah jika ada yang menggambarkan Buenos Aires sebagai "Paris Amerika Selatan". Cuma yang pening kepala ialah urusan membeli-belah seperti ayam dengan itik kerana sebahagian besar penduduknya tidak boleh berbahasa Inggeris.


Satu lagi perkara menarik mengenai Argentina ialah menikmati daging lembu. Ia dikatakan paling baik di dunia walaupun sukar mendapat daging halal. Ada beberapa restoran Islam yang menyajikan makanan itu tetapi harganya agak mahal tetapi berbaloi dengan bayaran yang dikenakan kerana ia sungguh enak berbeza dengan daging lembu yang pernah kita makan di negara sendiri.

Zulkifli turut menjamu penulis dengan barbecue daging lembu di rumahnya di Belgrano, berhampiran Kedutaan Malaysia sehari sebelum pulang ke tanah air selepas menginap di rumahnya selama dua minggu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: