Sunday, June 26, 2011

WPU bawa kelainan dalam muzik

BERSEMANGAT..ahli WPU ini mempunyai stamina yang cukup tinggi.
BERSEMANGAT..ahli WPU ini mempunyai stamina yang cukup tinggi.

MENDENGAR ketukan gendang yang dimainkan, jantung seakan berdegup mengikut rentak ketukan alat muzik itu dan persembahan bertenaga yang dilakukan sekumpulan anak muda membuatkan bulu roma terasa berdiri dan meremang.

Jika mata ditutup dan hanya mendengar saja muzik yang dimainkan, pasti kita menyangka alat muzik drum saja yang digunakan namun hakikatnya ia adalah persembahan sebuah kumpulan perkusi.


Itulah kelainan yang cuba dibawa oleh sekumpulan anak muda yang menggelarkan diri mereka sebagai White Percussion Unit (WPU).

  • Foto

    PUKUL..memerlukan sekurang-kurangnya empat alat muzik snare ketika mengadakan persembahan.

  • Foto

    RAMAI..mempunyai 11 ahli yang mampu bermain pelbagai jenis alat muzik.

  • Foto

    WPU

Mengetengahkan konsep muzik alternatif perkusi, WPU dianggotai seramai 11 ahli yang boleh dikatakan serba boleh kerana mampu bermain pelbagai alat muzik.


Mungkin ramai yang tertanya-tanya bagaimana muzik perkusi yang kebiasaannya dimain menggunakan alat muzik jenis gendang boleh digabungkan dengan muzik alternatif.

Walaupun kedengaran agak asing di negara ini, muzik itu sudah menjadi fenomena di negara jiran serantau seperti Singapura sehingga pelbagai pertandingan dianjurkan. Ketua WPU, Mohd Hisharudy Mahmud, 26, berkata pada asalnya mereka memilih konsep 'Brazilian Batucada' iaitu sejenis muzik dari Brazil.


Katanya, untuk menarik minat pendengar tempatan, mereka akhirnya mengubah konsep kepada alternatif perkusi yang lebih sesuai dengan selera penggemar muzik di negara ini.

"Secara rasminya WPU ditubuhkan pada 2008 dan ketika itu kami memilih konsep Brazilian Batucada untuk diketengahkan.


"Oleh kerana muzik berkenaan tidak dikenali di Malaysia, kami berdepan dengan masalah untuk mendapatkan alat muzik yang sesuai sehingga memaksa kami membuat sendiri alat muzik itu," katanya yang bertindak sebagai vokalis utama.

Menurutnya, walaupun membuat alat muzik sendiri, mereka mengikut spesifikasi sebenar alat muzik itu berpandukan maklumat yang diperoleh dari Internet.


Bermula tahun lalu, mereka terus kekal dengan muzik alternatif perkusi dengan ditambah beberapa alat muzik moden seperti gitar, bass dan drum.


Dilihat daripada bilangan ahli yang agak ramai iaitu 11 orang, pastinya menimbulkan tanda tanya mengapa memerlukan ahli sebegitu ramai.


Mohd Hisharudy berkata, kekuatan muzik perkusi adalah keharmonian alat muzik yang dimainkan dan alunannya lebih sempurna jika dimainkan lebih daripada 10 orang.


"Muzik jenis ini memerlukan lebih banyak alat muzik dimainkan kerana irama dan persembahan lebih 'menyengat' dan sedap didengar.


"Kami pernah juga bermain dengan jumlah ahli yang sedikit dan walaupun ia tidaklah mencacatkan persembahan kami, ia kurang sempurna," katanya.


Menariknya, mereka juga menerapkan genre samba dalam persembahan mereka seperti paltido alto, samba raggae, baia'o dan samba batucada.


Bagi memantapkan persembahan, WPU 'berguru' dengan seorang pemuzik dari Brazil iaitu Valtinho Anastachio untuk mempelajari selok-belok sebenar muzik samba ini.


Perkusi atau percussion berasal daripada perkataaan latin, 'Percussio' iaitu alat muzik yang mengeluarkan bunyi apabila diketuk, digoncang, digosok, dikikis atau apa pun cara yang menyebabkan alat itu bergetar.


Klasifikasi perkusi dibahagikan kepada empat paradigma iaitu cara penghasilan bunyi, fungsi muzikal dan orkestrasi, penggunaan secara pengetahuan umum dan budaya dan tradisi.


Sesuatu yang menarik mengenai WPU ini adalah mereka bukan hanya tertumpu pada irama muzik moden tetapi mampu memainkan muzik tradisional dengan baik.


Malah mereka juga bijak menggabungkan muzik tradisional dengan perkusi sehingga terciptanya irama yang indah dan harmoni.


"Kebiasaannya muzik tradisional agak perlahan temponya namun apabila digabungkan dengan muzik moden, ia kedengaran agak rancak dan 'catchy'.


"Tidak bermaksud untuk merosakkan muzik tradisional itu sendiri, sebaliknya kami menggunakan alat muzik yang lazimnya digunakan dalam muzik tradisional," katanya.


Abdillah Firlani Abdul Malik, 25, berkata mereka sebolehnya mahu menyuntik identiti Malaysia dalam persembahan mereka melalui penggunaan alat muzik yang sesuai seperti gendang.


Katanya, negara kita mempunyai kepelbagaian jenis gendang kerana setiap kaum memiliki alat muzik tradisional yang tersendiri.


"Sama ada sedar atau tidak, kita mempunyai lebih 100 jenis gendang dan kami mengambil peluang yang ada untuk menggunakan alat muzik itu dalam persembahan kami.


"Antara gendang yang pernah kami gunakan adalah seperti dhol, rebana dikir dan gendang dua muka," katanya yang bertindak sebagai pengurus WPU.


Ditanya mengenai penerimaan penggemar muzik tempatan akan genre yang dibawa mereka, dia berkata sambutan diterima amat menggalakkan terutamanya golongan muda.


Bagaimanapun, terselit juga kekesalan apabila ada pihak yang salah anggap akan perjuangan mereka malah tidak kurang juga yang menafikan hak mereka untuk 'bernafas' di persada muzik tanah air.


Katanya, mereka banyak menyertai pertandingan kumpulan muzik yang dianjurkan namun nasib seringkali tidak menyebelahi mereka walaupun persembahan mereka cukup mantap.


"Ada yang tidak berani mengetengahkan kami kerana bimbang jenis muzik yang kami bawa tidak diterima pendengar selain memberi alasan ahli kumpulan kami terlalu ramai.


"Walau apapun alasan yang diberi dan cabaran yang terpaksa kami lalui, itu tidak sedikitpun mematahkan niat kami untuk terus memperjuangkan muzik ini," katanya.


Bagi membuktikan kewujudan mereka dalam industri ini adalah serius dan bukan hanya mencuba pasaran (test market), WPU mengeluarkan album bertajuk People of Rhyme.


Satu-satunya bunga di dalam WPU, Amyra Farhana Ahmad Hamidi, 21, berkata dia pada mulanya agak janggal berada dalam WPU namun lama-kelamaan perasaan itu berjaya ditepis.


Bermain alat muzik 'chocalho' iaitu sejenis 'shaker' sememangnya memberi cabaran kepadanya kerana ia memerlukan stamina yang tinggi.


"Bagi yang melihat mungkin menganggap tugas saya cukup mudah kerana hanya perlu menggoyangkan chocalho tetapi hakikatnya saya perlu mengikut tempo yang dimainkan oleh rakan lain.


"Jika goncangan alat muzik itu tidak selari dengan muzik, ia akan menjadikan muzik tidak harmoni sekaligus mencacatkan persembahan," katanya.


Menurutnya, berat alat muzik itu sekitar tiga kilogram dan dia perlu melakukan latihan dengan lebih kerap supaya mahir menggunakannya.


Bagi Khairul Azwan Abdullah, 32, minatnya terhadap dunia muzik banyak dipengaruhi oleh ibunya yang pernah terbabit dalam Kombo Pancaragam Polis Diraja Malaysia.


Darah seni seakan mengalir dalam tubuhnya dan dia sering bereksperimen dengan pelbagai muzik bagi mencari yang sesuai dengan jiwanya.


"Ramai yang menganggap menjadi pemuzik tidak akan bertahan lama dan sering mengaitkan dengan gejala negatif namun bagi saya dalam setiap apa yang kita lakukan, aspek ikhlas perlu berada di tempat teratas.


"Semuanya terpulang kepada diri kita sendiri untuk menilai baik buruk sesuatu perkara dan mampu mengelakkan elemen yang tidak sihat," katanya.


Dia yang mula bermain alat muzik sejak usia 18 tahun mempunyai harapan yang cukup tinggi agar WPU dapat berdiri sama tinggi dengan kumpulan muzik tanah air yang sedia ada.



>INFO
> White Percussion Unit ditubuhkan pada 2008 dan mempunyai 11 ahli.
> Setiap ahli mampu bermain lebih dari satu alat muzik.
> Mengetengahkan muzik alternatid perkusi.
> Sebarang maklumat boleh diperoleh menerusi lawan web, www.whitepercussion.com atau melalui laman sosial facebook dengan menaip White Percussion Unit (Official)

>PROFIL
NAMA: Abdillah Firlani Abdul Malik
UMUR: 25 tahun
ASAL: Seremban, Negeri Sembilan
KELUARGA: Sulung dari tiga beradik
POSISI: Bermain snare drum

>PROFIL
NAMA: Khairul Azwan Abdullah
UMUR: 32 tahun
ASAL: Bukit Mertajam, Pulau Pinang
KELUARGA: Sulung dari dua beradik
POSISI: Bermain Malacacheta

>PROFIL
NAMA: Mohd Hisharudy Mahmud
UMUR: 26 tahun
ASAL: Pasir Puteh, Kelantan
KELUARGA: Bongsu dari lima beradik
POSISI: vokal utama, bermain repinique

>PROFIL
NAMA: Amyra Farhana Ahmad Hamidi
UMUR: 21 tahun
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Sulung dari lima beradik
POSISI: Bermain chocalho

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: