Thursday, June 16, 2011

Keranamu Sam

  • Foto

  • Foto

    BERGANDINGAN bersama Pierre Andre (kiri) dan Farid Kamil.

Diana sanggup potong rambut, bertukar perangai jadi lebih kasar

KETIKA penonton dihiburkan dengan barisan filem pelbagai genre daripada aksi hingga kepada seram seperti Kongsi, Nur Kasih The Movie, Karak dan sekarang KL Gangster yang sedang hangat di pawagam, muncul pula filem bercorak komedi berjudul 3,2,1 Cinta untuk menarik perhatian.
Filem arahan Azhari Zain itu mula ditayangkan hari ini (16 Jun) dengan barisan pelakonnya terdiri daripada Farid Kamil, Pierre Andre, Diana Amir, Mustapha Kamal, Faith Zakie dan Adey Syafrien.
Filem 3,2,1 Cinta mengisahkan Sam lakonan Diana, seorang gadis berperwatakan kasar seperti lelaki baru berpindah kolej untuk menyambung pelajaran. Dia bertemu semula kawan baiknya ketika sekolah, Faiz. Sam mula ditakut-takutkan dengan mengatakan perwatakan kasarnya itu boleh membuatkan lelaki tidak mahu mendekatinya dan hidup bersendirian sehingga mati.

Bagi memberikan kelainan, Diana Amir, 25, berani memotong rambutnya, khusus untuk filem 3,2,1 Cinta.

Demi memenuhi tuntutan wataknya sebagai Sam atau Siti Aishah Mohd, seorang gadis tomboy, Diana tidak ragu-ragu untuk tampil dengan imej seperti lelaki - berambut pendek dan berpakaian ranggi.

“Pada mulanya agak takut untuk memotong rambut. Takut takut kurangnya tawaran berlakon selepas itu. Namun di atas sebab watak Sam ini begitu berbeza daripada tawaran sebelum ini, saya sanggup berbuat demikian.
“Demi watak Sam juga, saya bukan saja perlu mengorbankan rambut panjang, malah belajar mengubah sikap seperti lelaki dengan mendalaminya melalui dunia realiti. Saya belajar cara makan, minum, berjalan, duduk dan bercakap seperti seorang tomboy. Bukan saja itu, dalam 3,2,1 Cinta juga saya perlu menunggang motosikal dan menyanyi,” katanya.

Menurutnya, menerusi sokongan daripada Zack, watak gadis perwatakan kasar itu menjadi lebih senang dihayati. Malahan dengan imej rambut pendek ini membuatkan dirinya lebih mudah menjiwai watak.

Karektor Sam digambarkan sebagai panas baran dan bermasalah yang secara tidak langsung menyebabkan dia sering dibuang kolej.

“Tapi dengan kemunculan watak yang dibawa oleh Farid Kamil, iaitu Nazril, jejaka idaman ramai, wakat kasar Sam beransur berubah menjadi wanita bagi meraih cinta Nazril. Pelbagai cara dilakukan untuk mendapatkan Nazril,” ujarnya yang ditemui di Studio Hip baru-baru ini.

Namun bukan seorang lelaki muncul dalam hidup gadis tomboy ini. Fariz, watak yang dibawa oleh Pierre Andre juga kawan baik kepada Sam itu turut menyimpan perasaan cintanya terhadap Sam dalam diam-diam.

Menurut Diana, imej tomboy Sam dalam filem ini bukannya mahu memberi imej negatif kepada golongan ini, mahupun sesiapa saja yang menontonnya.

Di sebalik perwatakan kasar Sam terselit jiwa kewanitaan yang tidak mungkin tenggelam begitu saja. Sam menjadi sebegitu bukan di atas kemahuannya, namun dia menjadi mangsa keadaan kerana kekurangan kasih sayang dari seorang ayah.
Sam juga seperti gadis biasa yang lain, ingin dicintai dan dibelai dengan kasih sayang. Tidak dinafikan dengan kehadiran cinta, ia mampu mengubah peribadi mahupun penampilan seseorang itu.

“Filem ini mempunyai jalan cerita yang ringan dan senang difahami serta pelbagai elemen diselitkan, ada kelakar dan juga sedih. secara tidak langsung membuatkan ia bertambah menarik,” katanya yang akan menyusul dengan filem Senario Ops Pocot, Pertiga dan Keramat.

Sinopsis: 3,2,1 Cinta

321 Cinta mengisahkan Sam, anak gadis yang berperwatakan kasar seperti lelaki yang baru berpindah untuk menyambung pelajaran di sebuah kolej. Sam terserempak dengan Nazril, lelaki idaman seluruh kolej. Dia tercabar dengan sikap Nazril yang hanya melayan gadis cantik menyebabkannya tekad untuk memikat Nazril. Pelbagai kejadian lucu dan romantis berlaku sepanjang Sam berusaha untuk memikat Nazril.

Sam merubah penampilan dan sikap kasarnya. Akhirnya, Nazril jatuh cinta dengan kesungguhan Sam apabila sanggup membantunya menguruskan rumah anak yatim yang dibina. Sam mengajar anak-anak yatim dengan caranya yang tersendiri.
Bagaimanapun, tanpa disedari, Faiz menyimpan perasaan terhadapnya selama ini. Faiz menerima Sam seadanya. Sam tersepit antara cinta Nazril dan Faiz. Siapakah pilihan Sam?

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: