Thursday, June 16, 2011

Fouziah kena rasuk

Sebahagian pelakon yang membintangi Rasuk.
Sebahagian pelakon yang membintangi Rasuk.
Filem seram ditayang 23 Jun, uji keserasiannya dengan Iqram

PADA pandangan ramai, menghasilkan filem berunsur seram mudah. Hanya selitkan saja kemunculan hantu dan kesan khas bunyi yang menyeramkan sudah memadai untuk membuatkan penonton ketakutan.
Kebanyakan pengarah dan produser filem menghasilkan filem seram kerana menyedari peluang besar untuk meraih kutipan tinggi. Namun menghasilkan filem seram tanpa isi juga tidak memberikan sebarang makna, lebih-lebih lagi sehingga menimbulkan kekeliruan pada jalan ceritanya.
Khurafat yang membuka tirai filem seram untuk tahun ini, mencatat kutipan paling tinggi sebanyak RM 8.08 juta. Walaupun baru memasuki suku tahun kedua, sembilan buah filem seram kini sudah pun ditayangkan.

Pada 23 Jun ini, sebuah lagi filem seram terbitan White Melati Entertainment, Rasuk akan mengintai 65 panggung tempatan, lapan di Singapura, dua di Jepun, dua lagi Hyderabad, India dan dua di Iran.

Ini adalah percubaan pertama S Baldev Singh dalam filem bergenre seram. Sebelum ini beliau pernah mengarahkan filem Kecoh Betul lakonan Nabil dan menerbitkan filem kontroversi Akhirat.

Rasuk yang menyaksikan gandingan Fouziah Gous dan Iqram Dinzley, mengisahkan kejadian misteri yang berlaku di sebuah banglo lama. Fouziah yang memegang watak Melati mewarisi banglo berkenaan daripada ibu bapanya.
Melati tidak tahu banglo berkenaan menyimpan misteri. Selepas mendiami banglo itu bersama suaminya Arman, berlaku beberapa insiden antaranya kematian ibu Arman secara mengejut.

Sejak menemui sebuah batu tanda di halaman rumahnya, Melati sering mendapat ‘gangguan’ misteri. Dia berjaya menghalau hantu jepun yang merasuknya selepas suaminya membacakan ayat Kursi bagi menghalau roh jahat itu.

Kewibawaan Iqram membawakan watak utama dalam filem, nampaknya kurang meyakinkan. Ternyata Iqram masih memerlukan masa untuk memperbaiki lagi mutu lakonannya yang dilihat terlalu dibuat-buat dan terlampau mengikut skrip.

Manakala keupayaan Fouziah memang ada peningkatan. Cuma dia juga masih terlalu bergantung kepada skrip sehingga menghilangkan kesantaian dalam perbualan antara suami isteri.

Namun kemampuan Fouziah menghayati adegan dirasuk wajar diberikan pujian. Bagi menghayati adegan itu dengan baik, Fouziah mengakui dia melakukan kajian dan banyak bertanya kepada mereka yang berpengalaman.

“Saya banyak mengkaji bagaimana gaya dirasuk, perkara yang paling saya berikan perhatian lebih adalah pada bahagian mata. Apabila dirasuk, mata kita tidak boleh berkelip. Badan dan tangan juga perlu dikejangkan.

“Memang tertekan membawakan watak Melati apatah lagi ketika orang sibuk membuat persiapan untuk Hari Raya Aidiladha, kami sibuk menghabiskan penggambaran pada malam raya. Walaupun penat, mengah sehingga menangis membawakan watak Melati, tetapi secara jujur, saya seronok kerana pengalaman ini.

“Saya kini mahu lebih bersikap memilih. Dulu saya terima semua jenis tawaran kerana ingin belajar tapi selepas lebih lima tahun jadi pelakon, saya perlu bersikap memilih. Saya tidak mahu menerima semua tawaran semata-mata untuk mengejar wang,” katanya yang mengakui tidak mudah apabila terpaksa berlakon dengan rakan baiknya Iqram.

Bagi Iqram, pertama kali muncul di layar lebar adalah satu perkara yang cukup mendebarkan buatnya. Sudah pasti dia ternanti-nantikan apakah maklum balas penonton terhadap hasil lakonannya. Namun dia menganggap, peluang diberikan Baldev sebagai pembuka jalan untuk dia melebarkan namanya ke dunia perfileman.

Dia tidak memerlukan pengenalan kerana yakin peminat sudah mengenali siapa dirinya, tetapi kini mahu mencari lebih peluang sebagai pelakon filem. Walaupun digandingkan bersama sahabat baiknya sendiri, Iqram mengakui mereka masih perlu mencari keserasian kerana ada ketikanya mereka juga tidak terlepas dari pertikaian ketika berada di set.

“Saya berterima kasih kepada Baldev kerana dia banyak membantu menjernihkan kembali hubungan saya dan Fouziah. Orang ingat bila berlakon dengan rakan sendiri lebih mudah mencipta keserasian, sebenarnya tidak mudah juga.

“Saya mengakui memang berdebar menantikan maklum balas daripada penonton tetapi saya berharap supaya media dan penulis blog yang sudah menonton hasil lakonan saya janganlah terlalu mengkritik. Saya bukanlah tidak boleh dikritik langsung tetapi janganlah memberikan kritikan yang melampau. Saya harap dapat diberikan lagi peluang untuk beraksi di dalam filem lagi selepas ini,” katanya.

Daripada filem jadi drama bersiri

MUNGKIN kali pertama menghasilkan filem seram menyebabkan Rasuk kelihatan ada kekurangan di sana sini. Namun sebagai penerbit baru, tidak mustahil lama kelamaan Baldev dapat memperbaiki lagi mutu filemnya.

Biarpun ada kekeliruan kecil kepada jalan cerita filem ini, tetapi penggunaan imej janaan komputer (CGI) dalam filem ini kelihatan kemas. Selain itu, Baldev juga cuba bermain teka teki dengan tidak mendedahkan secara terang apa yang berlaku. Sebaliknya penonton diberi sedikit demi sedikit gambaran supaya penonton tidak dapat mengagak penyudah filem itu.

Baldev berkata dia akan cuba memperbaiki lagi kelemahan pada jalan cerita Rasuk apabila menghasilkan drama bersirinya kelak. Selain Iqram dan Fouziah, Rasuk turut dibintangi oleh Sidek Hussin, Linda Hashim, Frank Peterson, Fauziah Nawi, Hasni Maulad dan ramai lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: